Rabu, 20 Jun 2012

Susahnya Jadi Perempuan, Payahnya Jadi Lelaki


Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya, ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.

Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan jahat di hati lelaki. Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi seorang wanita"

Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada kaum hawa ini.

Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah kehinaan jika tiada cinta kepada ALlah.

Wanita Kebanggaan Islam

Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2 orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan), walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALlah melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan gigih di dalam agama ALlah.

Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLahu... ALlah..

Kitalah Lelaki Itu

Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah ALlah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :
" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )


Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...

Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi ALLah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada ALlah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.

Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka

Agungnya akhlaqmu ya RasuluLLah menjadi suri tauladan sepanjang zaman. Tarbiah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum ALLah. Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyaLlahu 'anhum. Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba ALlah?

Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan RasuluLlah), pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah ALlah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyaLLahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama RasuluLLah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.

Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata
"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada ALlah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.

Selanjutnya qadar ALlah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :
"Ya ALlah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
ALLahu...ALlah...

Tugas Kita Sebagai HambaNya

Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang ALlah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah at Taubah : Ayat 71)

Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada ALlah..

Sumber rujukan :

1. Muhammad al Ghazali, Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara' dan Rasional, 2003, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Malaysia
2. Dr Yusuf al Qardawi, Iman Dan Kehidupan, 1985, Dewan Pustaka Fajar, Selangor
3. Pendidikan Akhlaq Darjah Enam, 1998, Jabatan Agama Johor, Synergymate

Hukum Wanita Bekerja


Matlamat utama kehidupan kita di dunia ialah untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun kehidupan akhirat itu hendaklah lebih diutamakan.
Untuk mencapai kesejahteraan hidup di akhirat, corak kehidupan di dunia ini mestilah berjalan di atas landasan hukum syari ‘at Allah iaitu ajaran Islam.
Dengan demikian apapun usaha, tingkah laku dan budaya yang hendak kita amalkan mestilah menurut ketetapan syari ‘at Islam termasuklah dalam memilih dan menyusun organisasi sesuatu pekerjaan.

Bagi kaum wanita tugas pertama dan utama, yang tidak ada pertikaian mengenainya ialah mengasuh dan mendidik generasi (anak) sesuai dengan fitrah yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala secara fizikal dan spiritual. Tugas dan tanggungjawab yang besar dan mulia ini perlu diutamakan dan tidak wajar dinafikan dengan kerja-kerja kebendaan.

Dalam mengendalikan tugas tersebut tidak seorang lelaki pun yang dapat mengambil alih tempat seorang wanita seperti tugas menyusukan anak. Peranan ini juga menggambarkan bahawa masa depan sesuatu ummah itu lebih banyak bergantung kepada corak asuhan dan didikan awal kaum wanita terutama dalam melahirkan manusia yang berguna.
Selain itu tugas dan tanggungjawab kaum wanita juga ialah menjaga dan memelihara rumahnya, membahagiakan suaminya, membentuk keluarga bahagia dengan berasaskan harmoni, kasih sayang dan rahmat. Firman Allah Ta ‘ala:
Tafsirnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah ar-Rûm:21)
Adapun tugas mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga itu wajib ditanggung oleh kaum lelaki terutama orang yang menjadi ketua keluarga seperti bapa atau suami. Firman Allah Subhanahu Wata’ala:
Tafsirnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ( dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagaian daripada harta mereka.”
(Surah an-Nisâ’ : 34)
Ini bererti kaum wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara hidup ahli keluarganya.
Keterangan di atas menunjukkan bahawa tugas utama seorang wanita itu ialah mengurus rumahtangganya sebagaimana firman Allah Ta’ala :
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”
(Surah al-Ahzâb:33)
Walau bagaimanapun, tidaklah ia bermaksud atau memberi pengertian bahawa wanita yang berkerja di luar rumah itu haram hukumnya menurut syara’ secara mutlak kerana tidak ada nash syara’ yang sabit mengenainya.
Pada dasarnya wanita diharuskan bekerja di luar rumah. Bahkan ada kalanya tuntutan bekerja itu perlu, kalau pun tidak wajib jika keadaan mengkehendakinya, seperti mencari nafkah bagi janda atau perempuan yang ditalak dalam keadaan tidak ada sumber nafkah atau kekayaan dan keluarga yang boleh menampung keperluan mereka. Dalam keadaan sedemikian bekerja di luar rumah itu adalah lebih baik baginya daripada hidup merempat meminta-minta dan mengharapkan belas kasihan orang, selama mana kerja tersebut tidak mencemarkan kemuliaan diri dan agama.

Ada kalanya juga keluarga seseorang perempuan itu memerlukannya bekerja kerana tidak ada tempat lain untuk berharap seperti membantu suaminya yang uzur untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya yang masih kecil atau membantu bapanya yang sudah tua. Sebagai contoh ialah seperti kisah Nabi Syu’aib ‘Alaihissalatu wassalam yang mempunyai dua orang anak perempuan yang diceritakan oleh al-Qur’an dalam surah al-Qashash ayat 23, yang mana kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka sebagai pengembala kambing.

Ada kalanya pula kerjaya itu khusus dilakukan oleh kaum wanita terutama kerja-kerja kemasyarakatan seperti doktor sakit puan, jururawat, bidan dan sebagainya.
Sebenarnya keharusan kaum wanita menjawat sesuatu pekerjaan itu adalah tertakluk kepada bentuk tugas yang akan dilakukan. 
Terdapat beberapa syarat yang mesti diambil kira dalam menilai kesesuaian kerjaya seorang wanita menurut hukum syara’. Antaranya ialah:
i) Perkerjaan itu tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara’. Sebagai contoh kerjanya itu menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan kaum lelaki di tempat yang sunyi lagi terasing daripada orang lain umpamanya kerja itu dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan dalam satu bilik. Tugas tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: “Hendaklah jangan seorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan.”
(Hadis riwayat al- Bukhari)
ii) Pekerjaan itu tidak menghendakinya belayar keluar negara bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya, mahramnya atau sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :
Maksudnya:“Janganlah seseorang perempuan itu melakukan pelayaran kecuali bersama mahramnya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
iii) Pekerjaan itu tidak akan menyebabkan seorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut Islam apabila wanita itu keluar rumah hendaklah menutup aurat serta memenuhi adab-adab Islam seperti firman Allah Subhanahu Wata’ala:
Tafsirnya: “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan-perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah an-Nûr : 31)
iv) Pekerjaan itu mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal dan naluri / fitrah semula jadi kewanitaannya. Tugas-tugas yang lasak adalah tidak sesuai dengan wanita kerana fitrah semula jadi mereka adalah lemah lembut sekalipun kerja-kerja lasak itu dianggap oleh orang yang tidak beragama sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.
v) Bagi wanita yang bersuami pula pekerjaan itu hendaklah mendapat restu dan izin daripada suaminya iaitu apabila tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Suami berhak menghalangnya daripada bekerja sekiranya kerja itu boleh menyebabkan seorang isteri itu cuai pada menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Suami lebih berhak menegah isterinya bekerja sekiranya pekerjaan itu mengundang kepada fitnah atau boleh berlaku fitnah, seperti pekerjaan yang tiada batasan agama atau adab sopan di dalam bentuk campur gaul yang bebas di antara lelaki dan perempuan, sama ada ianya berlaku di daratan, lautan atau di mana-mana saja. Jika terdapat unsur-unsur begini, atau ghalib zhan fitnah itu mungkin berlaku, maka suami wajib menegahnya. Jika tidak, suami itu akan dianggap dayus, sedangkan orang dayus tidak akan mencium bau syurga.
Manakala bagi wanita yang belum bersuami pula dikehendaki meminta izin dan kebenaran daripada walinya.
Menurut pendapat bekas Syeikh al-Azhar, al-Allamah al-‘Alim al-Imam Abdul Halim Mahmud Rahimahullah di dalam fatwanya berkaitan wanita bekerja di luar rumah, antara lain beliau berkata:
“ Mana-mana wanita tidak ditegah bekerja di luar rumahnya apabila dia terpaksa berbuat demikian. Akan tetapi apabila wanita berkenaan telah mendapat limpah kurnia rezeki yang cukup daripada Allah, maka rumah, mengasuh anak-anak dan berusaha memberikan kebahagiaan kepada keluarga adalah lebih baik untuk sepanjang masa…….”

Perlu diingat, walaupun mempunyai pekerjaan, namun tugas dan tanggunggjawab utama sebagai seorang suri rumahtangga jangan sekali-kali diabaikan. Jangan nanti disebabkan penat atau letih bekerja dijadikan alasan untuk tidak dapat melaksanakan kerja-kerja rumah dan memberi perhatian atau melayani suami dan anak-anak. Perkara ini hendaklah dihindari daripada berlaku.
Demikianlah serba sedikit mengenai hukum wanita dan kerjaya yang dipetik daripada fatwa Mufti Kerajaan siri 21/2001 untuk ingatan bersama khususnya kita sebagai wanita hari ini yang mempunyai pelbagai kerjaya. Semoga ianya akan dapat dimanfaatkan dan membantu kita dalam menjalani kehidupan seharian berlandaskan hukum-hukum yang telah digariskan syara’.
Seandainya ada di kalangan kita yang telah tersilap langkah dalam memilih sesuatu kerjaya yang disebabkan oleh gaji yang lumayan dan keistimewaan yang banyak, sehingga perkara hukum kita abaikan, rasanya masih belum terlambat untuk balik ke pangkal jalan. Apa yang penting ialah ada usaha dan kemahuan untuk memperbetulkan diri daripada kesilapan atau mungkin disebabkan kejahilan diri.

Beberapa Kesilapan Yang Mengakibatkan Sembahyang Tidak Sah Bab 1



BEBERAPA KESILAPAN YANGMENGAKIBATKAN SEMBAHYANG TIDAK SAH

(BAHAGIAN PERTAMA)
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Dalam sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan dan perkara-perkara sunat jangan diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.

Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang mana ia boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.

(1) Membaca Di Dalam Hati

Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia
boleh menjejaskan sembahyang?

(i) Rukun Qauli (Bacaan-Bacaan Yang Wajib)

Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir dan salam melafazkannya dengan suara
yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.

Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.

(ii) Bacaan-Bacaan Sunat

Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti doa al-iftitah, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fatihah, tasyahhud awal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyangnya, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.

(2) Mengerjakan Sembahyang Dengan Cepat

Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai dari mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian
dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah.

Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان الله ” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.

Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidal, kedua-dua sujud dan duduk antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa ketika
mana seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:

Maksudnya:
“Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan.” Kemudian Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali.


Lalu berkata lelaki itu:
“Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku.” Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.”
(Hadits riwayat Muslim)

Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidal. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidal ialah tetap anggotanya semasa i‘tidal sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.

Thuma’ninah ketika duduk antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.

Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian baharulah dia berdiri untuk i‘tidal. Maka sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesagesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.

(3) Sujud Dengan Tidak Mengendahkan Kedudukan Jari Kaki 

Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi. Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua tangan dan
sebahagian perut jari kedua kaki.

Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung. Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk
meletakkannya.

bersambung

PERIHAL KEMATIAN DAN KENDURI ARWAH



`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Cara Mengucapkan Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibkematian keluarganya dengan ucapan :

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati dari keluarga kamu”.

Cara Membalas Ucapan Takziah
Maka elok bagi keluarga yang diucapkan takziah membalas dengan ucapan:

Maksudnya: “Moga-moga Allah Ta‘ala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran”.

Menangisi dan Meratapi Mayat
Menangis kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, seperti kematian seseorang adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya :

“Kami masuk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mulai mencucurkan air mata”. Kemudian Abd Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang), kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diridhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang sedemikian diancam dengan siksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya :
“Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak-teriak seperti memanggilnya orang Jahiliyah”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya :
“Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat akan dibangkitkan di hari kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap”.
(Hadis riwayat Muslim)

Menangisi mayat dengan meratapinya dan memanggil-manggil dengan ucapan: “wahai sandaranku! wahai kemuliaanku! wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan menjadi sebab mayat tersebut tersiksa. Perkara ini juga digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya yang maksudnya :
“Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: Waa jabalah! Waa sayyidah! (Duhai pujaanku ! Duhai kemuliaanku!) atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?”
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya mayat itu disiksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya”.

HUKUM MENGUMPAT


Mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian samalah hukumnya dengan mengumpat.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun begitu di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam. Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawirahimahumallah mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syara`.

Kesimpulannya adalah seperti berikut
1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu dibanteras.
2. Perbuatan mengumpat (mendedahkan) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "orang itu melakukan kemungkaran maka cegahlah dia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
3. Meminta fatwa daripada ahli agama yang mana orang yang bertanya terpaksa mengumpat bagi menjelaskan masalahnya. Contohnya dia bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
4. Memberikan peringatan kepada muslimin terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.
6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan
Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:
1. Seandainya Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemerentah tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan menjulang pemerintah. Namun begitu sekiranya penyelewengan pemerintah didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemerintah yang tidak amanah dengan pemerintah yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan pemerintah yang tidak amanah adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمنله عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanah mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di bawah sistem demokrasi pada hari ini.
2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimerintah pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir kepada rakyat dan orang awam.
Al Iman Al-Ghazali berkata:
وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه
Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telahpun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.
Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.
3. Pendedahan kejahatan para pemerintah kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup
Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran.

Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

WALLAHU `AA`LAM

Umat Islam dibelenggu pelbagai fitnah


Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah


  
Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : �Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit.� Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.
Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.
Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu �ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.
Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam
1- Fitnah melalui kepimpinan negara. 2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan. 3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian. 4- Fitnah melalui ungkapan. 5- Fitnah melalui penulisan. 6- Fitnah melalui iklan produk. 7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan. 8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid. 9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat. 10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah�..oh fitnah�..dan banyak lagi.
1- Fitnah melalui kepimpinan negara.
Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah �Negara Islam�, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.
Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.
2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.
Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).
Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.
3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.
Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.
Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.
Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.
4- Fitnah melalui ungkapan.
Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.
5- Fitnah melalui penulisan.
Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.
6- Fitnah melalui iklan produk.
Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.
7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.
Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.
Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.
8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.
Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.
9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.
Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.
10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.
Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu �ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.
Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.
Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT. _