Rabu, 20 Jun 2012

Sahih Tirmidzi

[[ Bab Keperibadian Nabi Muhammad saw ]]

Fizikal Rasulullah saw

1. Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)

2. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. Rambut beliau tidak terlalu kerinting dan tidak pula lurus tergerai. Warna kulit beliau berwarna coklat. Ketika berjalan, tubuh beliau saw tegap. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)

3. Al-Bara' ibnu Azib r.a : Saya belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telinganya serta mengenakan baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah saw. Rambut beliau saw separas bahu, tubuh di antara kedua bahunya lebar, dan postur beliau saw sederhana (tidak pendek dan tidak tinggi)."

Tanda Kenabian Rasulullah saw

4. Dari Jabir bin Samurah r.a : Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu Rasulullah saw; iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati. (Riwayat Tirmidzi, Muslim dan Ahmad)

Rambut Rasulullah saw

5. Dari Anas ibnu Malik r.a : Panjang rambut Rasulullah saw sampai setengah telinga beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

6. Abdullah ibnu Mughaffal : Rasulullah saw melarang kami untuk merapikan rambut dengan berlebihan, kecuali hanya sesekali. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

7. Dari Ibnu Abbas r.a : Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah saw, "Wahai Rasulullah saw, anda telah beruban." Rasulullah saw bersabda, "Yang membuatku beruban adalah Surah Hud, Al-Waqiah, Al-Mursalat,An-Naba' dan At Takwir." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd dan Hakim)

8. Dari Qatadah : Saya bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya? Beliau menjawab, "Rasulullah saw tidak pernah melakukannya, meski pada kedua pelipisnya terdapat uban. Tetapi Abu Bakar r.a pernah mewarnai rambutnya dengan inai dan al-katm." (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ahmad dan Abu Dawud)

9. Dari Jabir bin Samurah : Jika Rasulullah saw memakai minyak rambut, uban beliau tidak terlihat. Tapi, ketika beliau sedang tidak memakai minyak rambut, nampaklah uban beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Nasa'i dan Ahmad)

10. Utsman bin Mauhab : Abu Hurairah r.a pernah ditanya "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya?" Abu Hurairah r.a, mengiyakannya. (Riwayat Tirmidzi)

Bercelak

11. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw memiliki sebuah bekas celak yang beliau saw gunakan untuk bercelak setiap malam, sebanyak tiga kali di sini (mata kanan) dan sebanyak tiga kali di sini (mata kiri). (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim)

12. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, "Alat celak yang paling baik bagi kalian adalah batu celak (al-itsmid) kerana hal itu dapat memperjelas penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa'i dan Ahmad)

Sandal/Selipar/Kasut

13. Dari Abu Hurairah r.a : Salah seorang dari kalian tidak boleh berjalan dengan menggunakan satu sandal (bukan sepasang). Hendaklah ia menggunakan atau melepaskan keduanya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, Malik dan Ibnu Majah)

14. Dari Abu Hurairah r.a : Apabila salah seorang dari kalian menggunakan sandal, hendaklah ia memulai dari kaki kanan, dan ketika ia melepaskannya, hendaklah ia memulai dari kaki kiri. Jadikan kaki kanan sebagai kaki pertama ketika menggunakan sandal dan kaki terakhir ketika melepaskannya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Ahmad dan Humaidi)

Cincin

15. Dari Ibnu Umar : Rasulullah saw membuat cincin dari perak. Beliau saw memfungsikan cincin itu sebagai stempel (cop), bukan untuk digunakan. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

16. Dari Anas bin Malik : Ketika Rasulullah saw hendak mengirim surat kepada Raja Persia, Raja Romawi dan Raja Najasyi, beliau saw mendapatkan maklumat bahawa mereka tidak akan menerima surat yang tidak berstempel. Maka Rasulullah saw membuat cincin yang lingkarannya terbuat dari perak dan bertuliskan 'Muhammad Rasul Allah'. (Riwayat Tirmidzi dan Muslim)

17. Dari Ali bin Abi Thalib : Rasulullah saw mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Serban

18. Amr bin harits r.a : Sungguh, Rasulullah saw pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan menggunakan serban hitam di kepala beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad)

19. Ibnu Umar r.a : Ketika Rasulullah saw mengenakan serban, beliau saw menjulurkan serban itu di antara kedua bahu beliau. (Riwayat Tirmidzi dan Abu Syaikh)

Pakaian

20. Dari Abu Burdah : Aisyah r.anha menunjukkan sehelai pakaian yang kasar dan sebuah sarung yang tebal kepada kami, kemudian ia berkata, "Rasulullah saw wafat ketika mengenakan pakaian ini. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad dan Abu Syaikh)

Cara Berjalan

21. Dari Ali bin Abi Thalib : Apabila Rasulullah saw berjalan, tubuh beliau tegap, seperti sedang menuruni tanah yang landai. (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)
  
Makanan

22. Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah saw bersabda, "Makanlah minyak zaitun dan manfaatkanlah sebagai minyak. Sungguh, minyak zaitun berasal dari tumbuhan yang diberkati." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim)

23. Dari Aisyah r.anha : Rasulullah saw menyukai manis-manisan dan madu. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim Abu Dawud dan Ibnu Majah)

24. Dari Abdullah bin Harits r.a : Kami memakan daging bakar bersama Rasulullah saw di dalam masjid. (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

25. Dari Aisyah r.anha : Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah minuman yang manis dan dingin. (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Hakim dan Abu Syaikh)

Cara minum 

26. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah pernah meminum air zam-zam dengan berdiri (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

27. Dari Abdullah ibnu Amr ibnu Ash r.a : Saya terkadang melihat Rasulullah saw minum dalam keadaan berdiri dan kadangkala dalam keadaan duduk. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

28. Dari Barra' ibnu Zaid ibnu Ibnati Anas ibnu Malik : Suatu ketika Rasulullah saw bertamu ke rumah Ummu Sulaim. Di sana ada qirbah (bekas air daripada kulit) yang sedang digantung. Beliau saw minum dari mulut qirbah itu dalam keadaan berdiri, kemudian Ummu Sulaim mengambil dan melepaskan qirbah itu (dari gantungan). (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Darami)

Wangian

29. Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, "Ada tiga pemberian yang tidak boleh ditolak, iaitu bantal, minyak wangi dan susu." ((Riwayat Tirmidzi, Abu Syaikh dan Baghawi) - Hadis Hasan

30. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Wewangian bagi lelaki adalah wangian yang keras, aromanya (bau) keras dan warnanya tidak nampak. Sedangkan wangian bagi perempuan adalah wangian yang warnanya nampak dan aromanya tidak menyengat (hidung)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad) 


Berbicara


31. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw mengulangi perkataannya sebanyak tiga kali agar mudah difahami (oleh pendengarnya). (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)


Bergurau


32. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw pernah memanggilnya, "Wahai orang yang memiliki dua telinga!" (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud dan Ahmad) - Maksud hadis - Rasulullah bergurau begitu kerana Anas r.a pendengar yang baik.


Tidur

33. Dari Bara' bin Azib r.a : Ketika hendak tidur Rasulullah saw selalu meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan beliau dan berdoa 'Rabbi qiniy adzaabaka yama tab'a-tsu 'ibaadaka (Ya Rabb, lindungilah aku dari azab-Mu pada hari ketika engkau membangkitkan hamba-hambaMu |dari kubur|) (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Nasa'i)

34. Dari Hudzaifah r.a : Setiap hendak tidur Rasulullah saw selalu berdoa (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan hidup). Dan setiap kali bangun tidur, beliau berdoa (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah sebelumnya mematikan kami dan kepadaNyalah (kami) dibangkitkan). (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud dan Ibnu Majah dan Nasa'i)






Dosa sebar fitnah hilangkan pahala terkumpul


HATI adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.
Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.
Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.
Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.
Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.
Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.
Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 191)
Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.
Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.
Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.
Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.
Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.
Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.
Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.
Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

BAHAYA FITNAH !!!



"Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan."
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.

Berat atau ringannya jenazah tidak menunjukkan apa-apa petanda


Ust. Abdul Kadir

Tidak terdapat sebarang bukti dari syariat Islam yang menunjukkan orang yang jahat jenazahnya akan menjadi berat manakala orang baik jenazahnya menjadi ringan. Cuma sebahagian ahli fekah kemudian ini ada yang menukilkan apa yang terdapat di dalam Hasyiah kepada Nihayah al-Muhtaj(2/446) yang ada menyebut:

إذا خفت فصاحبها شهيد ; لأن الشهيد حي ، والحي أخف من الميت
Maksudnya: “Jika ringan (sesuatu jenazah), maka orang itu mati syahid, kerana orang yang mati shahid itu sebenarnya hidup, dan orang yang hidup lebih ringan daripada mayat…”
Sebenarnya kenyataan ini tidak ada bukti sama sekali. Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mayat lebih berat daripada orang yang hidup, tidak ada bukti dari sudut agama mahupun dari sudut akal, apatah lagi untuk dijadikan sebagai tanda kepadahusnul khatimah (mati dalam keadaan baik) atau suul khatimah (Mati dalam keadaan buruk). Ia tidak tidak boleh dijadikan tanda jenazah tersebut orangnya dahulu baik ataupn jahat. Terutamanya kebelakangan ini ada sebahagian orang yang beranggapan buruk kepada jenazah yang berat, sedangkan perkara itu tidak ada dalil sama sekali.
Di dalam fatwa Majlis Fatwa Arab Saudi (9/86) terdapat soalan yang bertanyakan:
“Sekumpulan orang-orang yang baik dan memiliki pandangan yang lurus menceritakan kepada saya yang mereka pernah menyaksikan jenazah seorang lelaki muslim yang benar-benar ringan, manakala yang seorang lagi benar-benar berat, dan yang seorang lagi, ketika mereka hendak mengeluarkannya dari rumah, jenazah itu terangkat dan bergerak-gerak di atas kepada orang ramai, apakah pandangan islam dalam persoalan ini?
Jawapan:

لا نعلم لخفة الجنازة وثقلها أسبابا سوى الأسباب الحسية ، وهي نحافة الميت ، وضخامة الجسم ، أما من يزعم أن ذلك يدل على كرامة الميت إذا كان خفيفاً ، وعلى فسقه إذا كان ثقيلا، فهذا شيء لا أصل له في الشرع المطهر فيما نعلم . وأما حركة الجنازة على النعش فيدل ذلك على حياته ، وأنه لم يمت ، فلينظر في شأنه ، وليعرض على الطبيب المختص حتى يقرر موته وحياته ، ولا يستعجل في دفنه حتى يعلم يقينا أنه ميت
Maksudnya: “Tidak kami ketahui berat dan ringannya jenazah sebarang petunjuk melainkan petunjuk kepada fizikalnya samaada kurus ataupun gemuk. Adapun orang yang beranggapan perkara tersebut menunjukkan kemulian mayat jika ia ringan, dan keburukan mayat jika dia berat, maka kepercayaan ini termasuk perkara yang tidak ada asasnya di dalam agama berdasarkan pengetahun kami. Adapun tentang pergerakan jenazah, ia menunjukkan orang itu masih lagi hidup dan belum lagi meninggal dunia. Hendaklah dilihat keadaan jenazah itu, dan rujuklah kepada doctor yang berkeahlian sehingga disahkan dia masih hidup atau sudah meninggal dunia, dan jangan tergopoh-gapah hendak mengebumikannya dia sehingga diyakini dia benar-benar mati.”
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya Ahkam al-Jana-iz telah memasukkan: “Kepercayaan sebahagian orang yang beranggapan jenazah orang soleh menjadi ringan ke atas orang yang membawanya dan lebih cepat dapat dibawa.” Sebagai salah satu daripada perkara bid’ah yang direka-rekakan.
Wallahu a’lam.

Menjawab Syubhat Ke atas aurat wanita: Penipuan di dalam Majalah al-Islam


Hafiz Firdaus Abdullah
Kelihatan serangan dan penyelewengan ke atas ilmu-ilmu Islam semakin rancak akhir-akhir ini. Sebagai contoh “serangan” yang dimaksudkan, saudara-saudari boleh merujuk kepada majalah AL-ISLAM edisi Februari 2004, artikel karangan Zainudin Idris yang bertajuk “Rambut Wanita Bukan Aurat.”
Jelas dari artikel tersebut, penulis cuba mencari dalil bagi menghalalkan pendedahan aurat yang berleluasa dalam masyarakat kita pada hari ini. Kepada mereka yang tidak mendalami agama dan tidak dapat membuat rujukan kepada kitab-kitab Fiqh, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah tersebut. Apatah lagi ianya disiarkan oleh majalah yang membawa nama Al-Islam.
Sebenarnya artikel tersebut penuh dengan penyelewengan dan hujah-hujah batil yang disengajakan untuk mengelirukan masyarakat Islam. Hujah-hujah itulah juga yang dipakai oleh Astora Jabat dalam beberapa penulisannya dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia. Kesimpulan dari artikel itu, anggota yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau perempuan. Ini bermakna kebanyakan manusia di dunia ini sudah menutup aurat sekalipun dia bekerja sebagai penari separuh bogel.
Sebagai menunaikan tanggungjawab, di sini saya akan cuba menjelaskan kepada saudara-saudari penyelewengan tersebut satu-persatu dan bagaimana penulis secara sengaja telah menfitnah ulamak-ulamak muktabar dengan mengambil dan memutar-belitkan kata-kata mereka secara tidak amanah.
Pertama:
Pengarang artikel, Zainudin Idris yang cuba mengelirukan pembaca dengan mendakwa yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) telah menukil dan menterjemah kata-kata al-Dahlawi sebagai berikut:
Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah ada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:
“Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/ belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat.”
Komen:
Rujukan saya kepada kitab Hujjah Allah al-Balighah adalah edisi terbitan Dar al-Ma’rifah, Beirut 1997, jld. 2, ms. 219-222. Sesiapa yang memiliki edisi terbitan syarikat lain boleh rujuk nukilan di atas dalam bab “Berkenaan Aurat” yang terletak dalam kitab “Bab-bab yang berkenaan urusan dalam rumah.”
Daripada penjelasan al-Dahlawi yang sepanjang 3 mukasurat, Zainudin Idris hanya ambil satu perenggan yang letaknya di separuh kedua. Agaknya apa kata al-Dahlawi di separuh pertama?
Di sini saya tidak akan terjemah semuanya kerana ia amat panjang. Akan tetapi saya hanya akan kemukakan poin-poin al-Dahlawi.
Syaikh al-Dahlawi rahimahullah memulakannya dengan menjelaskan bahawa apabila seorang lelaki memandang aurat wanita, ia akan menimbulkan syahwat yang akhirnya membawa kepada perkara-perkara maksiat. Atas dasar ini maka
Islam menggariskan beberapa cara untuk menutup jalan-jalan yang akan
membawa kepada syahwat dan kemungkaran ini. Antara jalan-jalan tersebut
adalah:
[1] Tempat wanita adalah di rumah. Mereka hanya keluar apabila terdapat keperluan yang mendesak. Dalilnya ialah firman Allah: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu” [al-Ahzab 33:33]
[2] Wanita memakai jilbab (tudung) dan tidak menampakkan perhiasannya
kecuali kepada suami dan mahramnya. Dalilnya ialah firman Allah dalam
surah
al-Nur 24:31. Rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada (1) wajah sebagai
bentuk pengenalan dan (2) tangan kerana ia banyak membuat kerja. Selain
itu rukhsah juga diberi kepada wanita tua yang sudah tiada daya
tarikan.
[3] Tidak boleh berdua-duan (khalwat).
[4] Tidak boleh memandang aurat sesama jantina. Lelaki tak boleh pandang aurat lelaki, wanita tak boleh pandang aurat wanita.
[5] Tidak boleh sesama jantina tidur satu “pakaian”, yakni tidur satu selimut bersama-sama. Poin ke 4 & 5 ini untuk mengelakkan kemaksiatan seperti gay & lesbian.
Demikian ringkasan daripada keterangan al-Dahlawi. Jelas daripada keterangannya bahawa aurat wanita bukanlah kemaluan depan belakang sahaja tetapi semua kecuali muka dan tangan. Ini adalah sebagaimana yang kita semua fahami dan amalkan sekarang ini.
Sekarang tibalah kita ke perenggan yang dinukil dan diterjemahkan oleh Zainudin Idris. Perhatian kita ditumpukan kepada satu ayat yang diterjemah olehnya sebagai:
“Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan…”
Sengaja atau tidak, Zainudin Idris telah meninggalkan huruf “waw” sebelum perkataan “dua kemaluan”. Sekalipun kita biasa menterjemah huruf “waw” sebagai “dan”, yang benar di dalam ilmu bahasa Arab huruf “waw” memiliki 5 peranan atau fungsi. Peranan huruf “waw” di dalam ayat di atas adalah untuk memberi tumpuan atau penekanan (emphasis) sehingga terjemahannya dalam bahasa kita adalah:
“Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, khasnya dua
kemaluan…”
Dhamir “nya” yang diterjemahkan sebagai “tersebut” merujuk kepada awal perenggan: “…maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai..”
Dalam ertikata lain, terjemahan yang dikemukakan oleh Zainudin Idris memberi erti kononnya di sisi al-Dahlawi aurat yang perlu ditutup adalah DUA KEMALUAN SAHAJA.
Akan tetapi maksud sebenar al-Dahlawi, yang perlu ditutup ialah SEMUA ANGGOTA BADAN YANG MENDATANGKAN AIB TERUTAMANYA DUA KEMALUAN.
Maksud sebenar al-Dahlawi ini selari dengan apa yang beliau jelaskan sejak dari awal (sebagaimana yang telah saya ringkaskan poin-poinnya di atas). Akan tetapi Zainudin Idris hanya kemukakan SATU PERENGGAN yang terletak di separuh kedua perbincangan dengan terjemahan YANG SALAH sehingga akhirnya tersasar jauh daripada maksud sebenar al-Dahlawi. Semoga Allah memelihara para alim ulama’ kita daripada fitnah seperti ini.
Seterusnya Zainudin Idris menulis:
“Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat? Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A’raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik.”
Komen:
Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggung jawab. Kata-kata al-Dahlawi sebenarnya hanyalah sehingga “”Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat?” Itu pun telah berlaku beberapa lagi kesilapan menterjemah.
Selebihnya bukan kata-kata al-Dahlawi tetapi kata-kata Zainudin Idris sendiri. Akan tetapi Zainudin Idris tidak memecahkannya kepada perenggan baru, seolah-olah ia masih merupakan kata-kata al-Dahlawi.
Selain itu, perbincangan syari’at Islam tentang aurat wanita tidak terletak dalam ayat 26 surah al-’Araf. Ini contoh terbaik penyalahgunaan ayat al-Qur’an.
Kedua:
Zainudin Idris menulis:
“Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab. Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”
Komen:
Kata-kata di atas tidak berdasarkan rujukan ilmiah tetapi sekadar untuk membenarkan teori kaum modernis bahawa memakai tudung hanyalah budaya Arab dan bukannya tuntutan agama.
Sejauh manakah kebenaran teori Zainudin Idris ini? Kata-kata berikut: “Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya” adalah bukti yang jelas akan kesalahan teori Zainudin.
Cuba para saudara-saudari perhatikan:
[1] Imam Malik rahimahullah tidak pernah keluar daripada Madinah sepanjang hayatnya kecuali untuk menunaikan ibadah Haji di Kota Mekah.bJauh sekali bahawa Imam Malik pernah ke Eropah.
[2] Orang Eropah tak pernah ke Madinah, kerana Semenanjung Arab adalahbtanah larangan bagi kaum kuffar.
[3] Manhaj fiqh bagi Mazhab Imam Malik ialah amalan penduduk Madinah, bukan Eropah.
[4] Di zaman Imam Malik, iaitu lebih kurang 1200 tahun yang lalu, wanita-wanita Eropah sendiri berpakaian sepenuhnya. Mereka tak pakaib”seluar dalam” sahaja sehingga menampakkan anggota badan yang lain.
Ketiga:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Imam Abu Bakar al-Jassas.
“Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata: “Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.”
KOMEN:
Sebenarnya dalam kata-kata Imam al-Jassas tidak terkandung apa-apa hujah yang dapat membantu Zainudin Idris. Ia dinukil sekadar memberi solekan kosmetik kepada para pembacanya.
Keempat:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibn ‘Arabi dari kitabnya al-Futuhat al-Makkiah:
“Ibnu al-Arabi berkata dalam al-Futuhat al-Makkiah jilid 1, halaman 521 pada bahagian `pada menyatakan batas aurat: “Sebahagian ulama mengatakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah dua kemaluannya sahaja (qubul dan dubur). Manakala sebahagian ulama pula mengatakan aurat lelaki itu dari pusat ke lutut. Di sisi kami (Ibnu al-Arabi) hanyalah dua kemaluannya sahaja yang dikira aurat yang hakiki, iaitu anggota-anggota manusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya. Dua kemaluan itu adalah tempat kepada apa yang kami sebutkan itu adalah menepati hukum haram, anggota-anggota selain daripada dua kemaluan itu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah adalah menepati hukum syubhat yang sepatutnya berjaga-jaga kerana berternak di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk ke dalamnya.’’
KOMEN:
Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari kepada ejaan nama pengarang kitab al-Futuhat al-Makkiah oleh Zainudin Idris.
Terdapat dua orang yang bernama hampir sama: Ibn ‘Arabi dan Ibn al-’Arabi. Yang pertama adalah tokoh Sufi yang dihukum sesat oleh banyak ulama, yang kedua adalah seorang tokoh besar Mazhab Maliki.
Pengarang asal kitab al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn Arabi dan bukan Ibn al-Arabi sebagaimana yang didakwa oleh beliau. Ibn Arabi ialah sang Sufi yang berkata Aku adalah Tuhan dan Tuhan adalah aku.
Ini jauh berbeza dengan al-Imam Ibn al-Arabi di mana beliau ialah seorang ahli hadis, ahli fiqh dan ahli tafsir yang terkenal bagi Mazhab Maliki. Perlu dibezakan tambahan alif lam bagi nama Arabi. Sang Sufi Ibn Arabi bukanlah seorang mujtahid mahupun ahli fiqh, justeru apa-apa pendapatnya tidak boleh dijadikan sandaran hukum yang muktamad. Kitab al-Futuhat al-Makkiah bukanlah rujukan dalam hukum-hukum Fiqh, sebagaimana buku
Ekonomi bukanlah rujukan kepada pelajar Engineering.
Pengarang al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn ‘Arabi (tanpa AL), akan tetapi Zainudin Idris telah menyebutnya sebagai Ibn AL-Arabi. Jika bab “alif lam” pun berlaku kesilapan, pasti sahaja bab aurat dalam syari’at Islam terlebih-lebih silapnya.
Walaupun kitab ini bukanlah rujukan dalam Fiqh, elok juga kita cuba memahami apa yang ditulis oleh Ibn ‘Arabi tersebut. Apakah ianya boleh difahami sebagaimana yang didakwa oleh Zainudin Idris atau itu hanyalah dakwaan palsu beliau semata-mata.
Berdasarkan kepada terjemahan beliau itu pun, jelas di sini, walaupun Ibnu ‘Arabi menyatakan aurat yang sebenar untuk lelaki ialah dua kemaluan, tetapi beliau juga menyatakan bahawa anggota yang selain dari dua kemaluan iaitu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah juga hendaklah ditutup kerana syubhat. Di dalam sebuah yang sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat bermakna dia terjerumus ke dalam perkara haram.”
Kelima:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibnu ‘Arabi lagi:
“Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A’raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.”
KOMEN:
Perhatikan kepada kenyataan tersebut: “Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.”
Maksudnya ialah walaupun aurat sebenar pada Ibnu ‘Arabi adalah dua kemaluan, tetapi menurutnya juga, apabila perempuan disuruh menutup anggota yang lain maka ia mesti ditutup juga kerana itu adalah undang-undang (perintah) syarak. Jadi Ibnu ‘Arabi sendiri pun tidak menyatakan bahawa selain dari dua kemaluan boleh didedahkan, bahkan ia mesti ditutup juga.
Keenam:
Zainudin Idris seterusnya membuat rumusan:
“Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan.”
Komen:
Di atas jelas satu dusta. Malah ini adalah satu rumusan yang menyalahi nukilan-nukilan Zainudin Idris sendiri.
Perhatikan 2-3 perenggan sebelum rumusan di atas, Zainudin Idris sendiri telah menukil kata-kata Ibn ‘Arabi dalam aurat wanita:
“Pada bahagian `Batas aurat perempuan’ pula beliau berkata: “SEBAHAGIAN ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. ADA PULA ULAMA yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. ADA YANG MENGATAKAN perempuan keseluruhannya aurat.”
Daripada nukilan kata-kata Ibn ‘Arabi ini, sudah jelas ada 3 pendapat. Lalu bagaimana Zainudin Idris boleh membuat rumusan ijmak ke atas satu pendapat yang tidak termasuk dalam mana-mana daripada 3 pendapat di atas?
Di sini kita tak perlu fikir atau bahas panjang kerana rumusan Zainudin Idris telah dibatalkan oleh nukilan yang beliau sendiri kemukakan.
Ketujuh:
Untuk mempertahankan pendapatnya yang menyeleweng itu, Zainudin Idris seterusnya menyatakan:
“Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: ‘Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.
Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang. Sebab perselisihan mereka di dalam menentukan perkara itu ialah kerana hadis-hadis dan athar sahabat yang menjadi tunjang kepada masalah itu didapati saling bercanggah kenyataannya serta para sahabat telah berbeza dalam memahami maksud firman Allah (al-A’raf, ayat 31):
“Wahai anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu pada setiap kali ke masjid. Adakah suruhan Allah dengan menggunakan perhiasan itu menunjukkan suruhan wajib atau sunat jua.”
KOMEN:
Nukilan di atas mengandungi beberapa penyelewengan ke atas Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H) dan Mazhab Maliki. Justeru saya akan cerita panjang sedikit.
Pertama:
Zainudin Idris telah menterjemah perkataan “Sunan” di dalam teks Arab
kitab Bidayah al-Mujtahid sebagai “Sunat” padahal yang benar perkataan “Sunan” tersebut adalah satu istilah yang perlu difaham mengikut
standard Mazhab Maliki.
Seolah-olah Zainudin Idris ingin mengambil kesempatan mudah daripada hukum “Sunat” ini bagi menyatakan nak tutup aurat silakan, tak mahu tutup tak apa kerana ia hanya sunat hukumnya. Berikut ialah terjemahan saya terhadap kata-kata Ibn Rusyd, rujukan saya ialah Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 82, (Kitab Solat, Bab ke 4 berkenaan menutup aurat dan pakaian dalam solat, fasal pertama):
Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu syarat daripad syarat-syarat sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita.
Dan yang zahir di dalam Mazhab Maliki bahawa ia adalah daripada Sunan Solat manakala Abu Hanifah dan al-Syafie berpendapat bahawa ia adalah daripada kefardhuan solat.
Sekian perenggan pertama kata-kata Ibn Rusyd.
Soalnya, apakah yang dimaksudkan dengan Sunan ? Al-Baji rahimahullah (474H) di dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh al-Muwattha’ (Dar al-Kitab al-Islami, Beirut tp. thn.), jld. 1, ms. 247 (Bab Rukhsah dalam bersolat dengan sehelai pakaian) telah berkata:
Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka adapun yang fardhu bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya.
Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu fardhu daripada kefardhuan solat dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie. Dan berkata al-Qadhi Abu Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada Sunan Solat, dan ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr.
Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah Sunan) maka berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah batal solatnya.
Sekian al-Baji.
Ringkasnya terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat. Yang pertama berkata ia adalah Fardhu, sesiapa yang tidak menutup aurat maka batal solatnya. Yang kedua berkata ia adalah Sunan, sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi dia berdosa besar.
Ini jauh berbeza dengan istilah Sunat yang sedia kita fahami, bahawa
jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Ertinya, menutup aurat dalam solat dapat pahala manakala tak tutup aurat tak dapat apa-apa dosa. Padahal yang dibahas dalam Mazhab Maliki dengan istilah Sunan ialah sah atau tidak solat, menutup aurat sah solatnya, tidak menutup aurat tetap juga sah tetapi mendapat dosa.
Perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan dengan istilah Sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat dan bukan keseluruhan solat.
Mujtahid Mazhab Maliki, al-Haththabi rahimahullah (954H) dalam kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (Dar al-Fikr, Beirut 1398H), jld. 1, ms. 498 (Kitab Solat, Fasal: Menutup aurat dalam solat) berkata:
(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn al-Qasim daripada Musa: Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat adalah
daripada Sunan Solat.
Sekian al-Haththabi.
Ringkasnya yang dimaksudkan dengan Sunan Solat dan kaitannya dengan menutup aurat adalah, jika aurat terdedah dan ia ditutup semula maka solat tetap sah. Jika ia dibiarkan terdedah maka batal solat tersebut dan perlu diulangi semula.
Demikian maksud sebenar istilah Sunan dan kaitannya dengan hukum menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia bukanlah sunat dan tidak boleh diterjemahkan sebagai sunat.
Kedua:
Asal perbincangan dan penghujahan Zainudin Idris ialah berkenaan batas aurat wanita. Saya hairan kenapa Zainudin Idris hanya mengemukakan perenggan pertama perbahasan Ibn Rusyd yang hanya merupakan “muqaddimah” dan mendiamkan perenggan seterusnya yang merupakan hujah yang menutupi segala penyelewengan beliau.
Berkata Ibn Rusyd di mukasurat seterusnya (Bidayah al-Mujtahid, 1/83), fasal ketiga:
“Dan adapun masalah ketiga, ia adalah berkenaan batas aurat wanita, maka kebanyakan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah aurat kecuali wajah dan tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman dan Ahmad (bin Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.”
Sekian Ibn Rusyd.
Jadi sekalipun wujud perbezaan pendapat di kalangan fuqaha, tiada sedikitpun ia mendekati hujah yang cuba dibangkitkan oleh Zainudin Idris bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya.
Kelapan:
Zainudin Idris cuba lagi menegakkan pendapat songsangnya dengan menyatakan:
“Riwayat daripada Abu Hanifah, beliau berkata: ‘Aurat terbahagi kepada dua bahagian, aurat mughallazah (aurat berat) dan aurat mukhaffah (aurat ringan).
Aurat mughallazah itu adalah qubul dan dubur dan aurat mukhaffah, iaitu anggota-anggota selain daripada apa yang telah disebut ia daripada aurat.’”
KOMEN:
Zainudin Idris cuba menyeleweng maksud aurat besar dan aurat kecil mengikut takrifan Abu Hanifah. Dengan takrifan ini, dia berkesimpulan aurat wanita yang perlu ditutup ialah dua kemaluannya, manakala rambut (dan selainnya) boleh dibiar terdedah. Dalam erti kata lain, ciri-ciri wanita Islam yang menutup aurat mengikut Zainudin Idris ialah mereka yang memakai panty sahaja.
Adapun pembahagian Mazhab Hanafi kepada aurat besar dan kecil, ia hanyalah bagi membezakan aurat yang darurat dan bukan darurat. Yakni, Jika seseorang itu hanya memiliki pakaian yang terhad setelah dikerah segala usaha termampu, maka bahagian tubuh badan yang perlu diberi prioriti untuk ditutup ialah aurat besar. Saya pasti semua orang faham hal ini. Di sisi Mazhab Hanafi, aurat besar dan aurat kecil adalah dua pembahagian yang sama-sama duduk di bawah kemutlakan hukum wajib. Jauh sekali daripada penafsiran Zainudin Idris bahawa aurat besar adalah wajib manakala aurat kecil tidak wajib.
Sehingga ini sahaja komen saya ke atas bahagian pertama artikel Zainudin Idris tentang aurat wanita. Kita nantikan sambungan bahagian kedua.
Sebenarnya saya tidak kisah jika Zainudin Idris atau teman semazhab dengannya Astora Jabat hanya ingin memakai daun di depan dan belakangnkemaluannya atau bercawat sahaja ketika ke pejabat atau bersiar-siar.nDemikian juga, sesiapa yang berpendapat aurat hanyalah dua kemaluan, DIPERSILAKAN. Akan tetapi janganlah membenarkan pendapat ini dengan atas nama “Syari’at Islam” atau “Hujah para ulama Islam.”
Kepada saudara-saudari yang saya muliakan:
[1] Berhati-hatilah dengan orang yang berbicara agama demi mencapai tujuan atau objektifnya tersendiri. Fitrah manusia memang suka mencari nama, harta dan kedudukan. Jika tak boleh buat cara baik, dia akan buat cara tak baik, asalkan dapat apa yang dihajati.
Jika kita perhatikan artikel Zainudin Idris di atas, jelas dia telah buat kajian dengan membuka kitab-kitab besar. Akan tetapi untuk apa kajiannya? Tidak lain ialah menyalahgunakan kata-kata ulama’ untuk membenarkan teorinya sendiri.
Cuba perhatikan nukilan Zainudin Idris daripada kitab Bidayatul Mujtahid di akhir artikelnya. Kemudian rujuk kepada jawapan saya. Perhatikan bagaimana dia menukil sebahagian dan meninggalkan sebahagian.
[2] Kita perlu bersatu untuk memerangi orang-orang seperti ini. Mereka memiliki kekuatan media, akan tetapi kita memiliki kekuatan kebenaran. Yang tinggal ialah menyebarkan kebenaran tersebut.
Maka janganlah malu-malu atau keberatan untuk sebarkan artikel ini atau mana-mana tulisan yang seumpama daripada penulis lain. Sebarkannya dan tampalkannya di papan notis pejabat dan sebagainya.
Jika kita orang Islam tak melakukannya, maka siapa lagi?
Firman Allah:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Taubah 9:71]