Rabu, 20 Jun 2012

Buang Bayi atau Membunuh...

Minta maaf kalau coretan ini sangat keterlaluan bagi kalian.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering dihambat dengan berita berkenaan dengan kes membuang bayi, pembunuhan, seks bebas, dan isu politik.

Bagi kes membuang bayi..erm, kesian. Itulah luahan yang kita selalu dengar, tetapi berapa ramai yang berani menyahut cabaran bagi mengurangkan gejala ini. Begitu juga dengan seks bebas dan pembunuhan.

Aku sangat berbeza pendapat dengan kalian, kerana pada aku buat apa nak kesian pada orang yang dah mati...kita doakanlah kesejahteraan untuknya. Tetapi, bagaimana dengan yang hidup adakah patut kita menghukum mereka. Pada aku mereka tidak patut dihukum, ini berkemungkinan kerana mereka tidak tahu yang mana halal dan yang mana haram. Tetapi, jika perundangan mengikut kenyataan daripada al-Quran...mereka wajib dihukum. Hukuman yang perlu dilaksanakan adalah hukuman hudud yang membawa kepada 'diyat' (denda yang dikenakan mengikut kadar 100 ekor unta. Soalnya, jika kita nak denda mereka dengan apa mereka perlu bayar jika mereka tidak berkemampuan. Untuk orang kaya memang senang je, diorang boleh bayar. Jadi, pembayaran ini akan perlu ke Baitulmal (Perbendaharaan Negara).

Jika kerajaan menggunakan wang ini, maka akan berlaku satu pembaziran keatas wang rakyat. Bila wang rakyat dibazirkan, maka pembangunan yang sepatutnya berjalan terpaksa ditunda kerana masalah ini. Rakyat pula akan melenting kerana segala prasarana yang dijanjikan tidak dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah.

Soalnya sekarang ekonomi di Malaysia, tidak 100% mengikut perundangan Islam. Ia masih lagi bercampur aduk dengan ekonomi konvensional. Jadi, kerajaan tidak akan membayar wang denda ini. Ia terpaksa ditanggung oleh pemiutang atau pemiutang akan diisytiharkan muflis jika tak bayar hutang. Hakikatnya pada zaman lampau tidak berlaku soal begini, ia hanya berlaku pada zaman jahiliyah. Adakah kita pun masih berada di zaman jahiliyah pada abad ke-21 ini?

Semoga coretan ini, membawa kita untuk berfikir adakah selama ini sistem yang kita benar2 mengikut panduan daripada al-Quran dan Hadith Rasulullah. Sama-samalah kita renungkan bersama dalam mencari kebenaran dan keredhaan Allah s.w.t..

Buang amalan khurafat


Bolehkah kita membuat binaan atas kubur?

ABU HASSAN: Terlebih dahulu kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan membuat binaan. Setakat kita membuat dinding simen atau mar mar di sekeliling kubur itu bukan termasuk dalam binaan atau perhiasan.

Tetapi jika sampai ke tahap membuat bumbung di kubur, itu sudah termasuk dalam membuat binaan. Ini diharamkan kecuali pada kubur para rasul, sahabat dan yang setaraf dengannya.
Ada pun, amalan masyarakat yang suka menabur bunga di pusara, ini pun tidak ada nas yang mensyariatkannya. Adalah dibimbangi perbuatan sedemikian boleh membawa kepada termasuk dalam perhiasan itu tadi.

Kalau ada pun dalam syarak adalah amalan para ulama yang menyiram air atas pusara selepas jenazah disemadikan.

Perbuatan memacak sesuatu yang basah seperti pelepah tamar atau kelapa, ada nas menyebut selagi ia masih basah ia masih bertasbih pada Allah memohon keampunan pada mayat.
Barangkali berdasarkan nas tadi, agak masyhur di kalangan masyarakat kita untuk menanam pokok kemboja kerana ia basah dan akan mendoakan si mati.

Tetapi tidak pula disebut memacak payung di atas pusara. Tidak ada nas menyuruh perbuatan sebegini dan ulama menyebut ia termasuk dalam bidaah dan khurafat.
Bagaimana pula dengan tahlil arwah yang dilihat mesti dibuat apabila berlaku kematian?
ABU HASSAN: Ini satu lagi perkara yang sampai sekarang masih diperdebatkan. Bagi yang tidak mengharuskannya, ia dianggap bidaah atas alasan antaranya Nabi SAW tidak pernah membuat tahlil arwah dan juga bersandarkan hadis bermaksud: Apabila mati anak Adam putuslah amalnya kecuali tiga iaitu amal jariah, doa anak soleh dan ilmu yang bermanfaat (riwayat Muslim)

Bagi ulama yang mengharuskannya, tahlil dibolehkan berdasarkan hadis yang sama. Cuma yang terputus adalah amalan orang yang mati. Sedangkan amalan orang yang masih hidup untuk di mati masih belum putus dan boleh dilaksanakan.

Keharusan tahlil juga bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW di mana pada suatu hari baginda didatangi oleh seorang wanita. Kata wanita itu: "Ya Rasulullah, ibu saya baru meninggal dunia dan belum mengerjakan haji. Lalu Nabi menjawab, kerjakan olehmu haji untuk ibumu itu".
Bersandarkan peristiwa itu, ulama memutuskan bahawa orang yang hidup boleh membuat ibadat seperti haji, puasa dan sedekah untuk si mati.

Bagaimanapun, soal menetapkan tarikh tahlil pada malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan 100, ini tidak ada nasnya. Bahkan ada pendapat ulama bahawa hal ini tergolong dalam bidaah.
Kalau nak buat tahlil, buat sahaja pada bila-bila masa jangan kaitkan dengan masa atau tarikh tertentu.

Lagi pun, bagi saya, tahlil untuk si mati itu bukan kemestian. Ia sekadar untuk membantu atau menambah sedikit pahala kepada si mati.

Itupun dengan syarat si mati itu orang yang semasa hidupnya beribadat dan bertakwa. Jika semasa hayatnya, si mati tadi dikenali sebagai orang yang tidak pernah solat malah hidupnya sentiasa bergelumang dengan maksiat, secara peribadi saya melihat tahlil tiada ada faedah baginya.

Contohnya, seorang bapa semasa anak mudanya masih hidup tidak pernah menyuruh anaknya solat malah hidup anaknya terlalu bebas sehingga tidak mengenali Tuhan.

Tiba-tiba anaknya itu mati, adakah tahlil boleh membantu atau memberi faedah kepadanya, kebanyakan ulama berpendapat, ia tidak memberi sebarang faedah.

Kalau hendak membantu anak atau kaum keluarga daripada api neraka pastikan ia dibuat semasa hayat mereka bukan setelah mereka mati.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka...(al-Tahrim: 6).
Ada juga pandangan mengatakan majlis cukur jambul yang sebahagian besar kita buat sekarang adalah bidaah. Benarkah?

ABU HASSAN: Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Seorang anak terikat dengan akikahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama". (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah sendiri mencukur rambut cucunya iaitu Hasan dan Husin semasa melakukan akikah. Mencukur di sini bermaksud membotakkan kepala anak.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi SAW mengakikah seekor kambing untuk cucunya dan berseru: "Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambutnya). Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham". (riwayat Tirmidzi)
Sayangnya, menjadi amalan dalam masyarakat kita dalam majlis bercukur jambul akan diadakan berzanji dan marhaban. Kemudian bayi tadi dibawa bersama sebiji kelapa dan hadirin akan menggunting sedikit rambutnya dan dimasukkan ke dalam kelapa itu.

Berdasarkan pandangan ulama, perbuatan begini adalah bidaah dan khurafat. Kita dilarang melakukan qazak iaitu mencukur sebahagian tertentu kepala anak itu sahaja.

Daripada Abdullah bin Umar r.a., bahawasanya dia berkata: Nabi SAW melarang daripada mencukur sebahagian kepala anak kecil, dan meninggalkan yang sebahagian lain, iaitu qazak. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara kelebihan mencukur kepala, rambut yang ada pada kepala bayi dibimbangi mengandungi kuman yang dibawa bersama daripada dalam rahim.

Jika tidak dibuang dibimbangi kuman atau virus itu akan meresap dalam kepala dan otak yang mungkin menjejaskan mental bayi tersebut.
Apa pula hukum melukis inai pada tangan terutama bagi gadis yang mahu berumah tangga?
ABU HASSAN: Islam melarang perbuatan melukis pada mana-mana anggota badan tidak kira apa juga bahan yang digunakan sama ada kekal atau sementara.

Ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Allah melaknat (washam) yang bekerja sebagai melukis di badan orang dan orang yang meminta supaya dilukis".

Sepatutnya, berkahwin itu adalah perbuatan yang baik, maka jangan dicampur aduk dengan benda atau perbuatan yang kurang baik lebih-lebih yang khurafat.

Dibimbangi akan kurang keberkatan dalam perkahwinan tersebut. Tentang pakai inai ia memang diharuskan tetapi jangan dilukis.

Demikian juga dengan upacara menepung tawar yang kini dilihat sudah jadi tradisi dan sebati dalam masyarakat. Sedangkan ia bukan budaya Islam.

Sebab itu, ulama berpendapat perbuatan merenjis dengan tepung tawar itu untuk tujuan apa sekali pun adalah termasuk dalam bidaah dan khurafat. Ia patut ditolak.

Ada juga sebahagian ulama yang membolehkan merenjis dengan syarat jangan guna tepung tawar. Gantikan dengan benda lain seperti merenjis air mawar.

Kedua, jangan ada niat tertentu tetapi seelok-eloknya jangan amalkan budaya ini.
Kebelakangan ini ada di kalangan orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan. Apakah hukum memelihara anjing sebagai kegemaran?

ABU HASSAN: Memang tidak ada nas yang melarang kita memelihara anjing. Cuma kita kena tengok apakah tujuan berbuat demikian.

Dalam kitab fiqh ada istilah kalbul mu'allim iaitu anjing yang dilatih untuk berburu. Dalam keadaan ini adalah diharuskan untuk kita menggunakan anjing. Syaratnya, tempat gigitan anjing itu tidak boleh dimakan.

Berdasarkan hukum ini, ulama berpendapat tidak jadi kesalahan jika orang Islam pelihara anjing bagi tujuan menjaga keselamatan harta benda dan rumah.

Tetapi pada masa yang sama, kita perlu tahu bahawa anjing itu adalah binatang bernajis. Jika ia menjilat atau kita terkena jilatan anjing maka ia perlu disamak.

Dalam hal memelihara anjing untuk tujuan suka-suka, dibimbangi kita terkena najisnya. Apatah lagi jika anjing itu dibiar berkeliaran dalam rumah. Dalam keadaan demikian, kita tidak boleh memastikan tentang najis anjing itu yang keluar masuk ke rumah.

Pada masa yang sama, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Malaikat tidak akan masuk dalam mana-mana rumah yang ada anjing dan patung. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau demikian, bagaimana kita hendak mendapat rahmat Allah?

Ingatan bagi pelupa: Pengaruh nafsu, syahwat bezakan manusia dengan haiwan

FAHAMAN yang berbahaya jika menular di kalangan suatu bangsa, alamat budi pekerti dan kesopanan bangsa itu akan rosak binasa, akalnya ditumbuhi kejahatan, hati tiap-tiap orang akan penuh dengan tipu daya, sehingga melemahkan pergantungan umat itu dalam kehidupan.

Syahwat dan nafsu angkara murka itulah kelak yang akan menjadi pedoman kehidupan mereka.

Di antara satu dengan lain hilang rasa amanat, percaya mempercayai, akhirnya hilanglah nama umat atau bangsa itu, jatuh kepada melarat dan perhambaan.

Ada golongan yang mengaku pintar, mengatakan bahawa dengan mengingkari Tuhan dia menjadi orang merdeka dan menghidupkan budi pekerti mulia, menegakkan kesopanan serta mengangkat kedudukan suatu bangsa.

Disebabkan kepercayaan salah itu banyak tersiar, berlaku kerosakan kepada negeri dan bangsa, rakyat serta pemerintah sama-sama kehilangan pegangan.

Manusia tersesat berasa tidak cukup dan lengkap hidupnya sebelum tercapai segala kehendak syahwatnya.

Apabila kepercayaan kepada Allah sudah hilang, syahwat yang memerintah. Untuk mencapai kehendak syahwat, ada jalan lurus dan ada yang bengkok, ada baik dan ada mendatangkan malu, ada dikerjakan dengan terus terang.

Jika masyarakat hendak diatur, keamanan dan keharmonian terus dijaga, manusia tidak disamakan hidupnya dengan binatang perlu ada empat rukun untuk dijaga iaitu mempertahankan diri, menjaga kehormatan, mengikut peraturan serta mengakui kekuasaan ghaib melindungi alam dan memberi ganjaran baik buruk di hari kemudian.

(Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka)
Berita Harian, 16/01/2010

Hukuman sebat syariah tidak seperti sebatan sivil


Isu sebat sepatutnya tidak dibesar-besarkan. Bahkan penjelasan mengenainya telah pun dibincangkan melalui satu seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April lalu berhubung Hukuman Sebat Jenayah Syariah.

"Jika dibuat perbandingan di antara sebat syariah dan sebat sivil, kesimpulannya, sebat sivil itu lagi kejam," demikian kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jasri Jamal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu hukuman sebat terhadap Dewi Sari Kartika Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Negeri Pahang kerana meminum arak di khalayak ramai, baru-baru ini.

Ujar Jasri, Islam itu agama yang indah dan sebat yang termaktub di dalam hukum syariah pula mempunyai banyak hikmah di sebaliknya.

Oleh itu mengapa ia harus dipertikaikan oleh banyak pihak. Walhal dari sudut perundangan, apa sahaja yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tiada pihak yang boleh mempertikai apatah lagi pihak yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau menggesa supaya diberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk membuat semakan di atas keputusan yang telah diputuskan.

"Sebagai ahli akademik, kes pertama ini dilihat sebagai kes teladan atau rujukan yang boleh dilihat sekiranya berlaku kes yang seumpamanya pada masa hadapan.

"Tetapi apabila kes ini 'dikacau' oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya bersuara, maka hukuman ke atas Kartika tergendala," jelasnya.
Kaedah Sebat 

Sementara itu kekecohan kaedah sebat yang menjadi bualan masyarakat yang mempersepsikan kaedah tersebut menyerupai kaedah sebat sivil, ia harus diperbetulkan.

Menurut Dr. Jasri, kekeliruan ini berlaku mungkin disebabkan ia menjadi kes pertama.
Ditambah pula selama ini, demonstrasi sebat yang diadakan di tempat-tempat awam hanya menunjukkan kaedah sebat sivil.

Justeru sudah tiba masanya, kaedah sebat syariah dipertontonkan kepada masyarakat supaya salah faham ini boleh diperbetulkan.

Dalam pada itu memetik kertas kerja yang bertajuk, 'Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah:Satu Pandangan' oleh Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad, dalam seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah, menjelaskan, daripada aspek pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah, Jabatan Penjara tidak mengalami sebarang masalah kerana semua bentuk hukuman sebat telah diajar kepada Pegawai Sebat Rotan.

Di samping itu apabila terdapat hukuman yang melibatkan sebatan rotan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah ia akan dirujuk kepada Bahagian Keselamatan, Ibu Pejabat Malaysia agar tiada sebarang kesilapan semasa pelaksanaan.

"Jabatan Penjara Malaysia perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah kerana ia melibatkan tatacara yang berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain," katanya.
Dalam pada itu, Masran menjelaskan, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan hukuman sebat rotan terhadap pesalah-pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut yang terdiri dari berbagai-bagai-bagai kategori seperti berikut:

Jenayah

Jenayah Syariah

Pecah Amanah (CBT)

Juvana

Pesalah tatatertib penjara

Menurut Masran, secara purata pada setiap tahun selepas tahun 2005 sejumlah 775 pesalah telah dilaksanakan hukuman sebat rotan (1,700 sebatan setiap tahun secara purata).

Justeru, merujuk kes Kartika Dewi Sari, ia sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekecohan apatah lagi, sebatan syariah sama sekali jauh berbeza dengan sebatan sivil.

Bahkan menurut Dr. Jasri, ia boleh diibaratkan antara langit dan bumi.

Oleh itu mengapa perlu gusar sekiranya hukuman sebat syariah perlu dilaksanakan.

[Petikan: Utusan Malaysia, ARKIB 28/09/2009]

Nur Ramadan: Hukum bersetubuh pada siang Ramadan



ABU Hurairah, berkata, “Ketika kami duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki menemui baginda, lalu berkata: Ya Rasulullah, aku telah binasa dan sengaja membuat bencana”. Nabi bersabda: “Apa yang terjadi”. Orang itu berkata: “Aku menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa”. Rasulullah bersabda, “
Adakah anda mempunyai hamba perempuan untuk dimerdekakan? Lelaki itu menjawab: “Tidak punya”. Sabda Nabi lagi: “Adakah anda mampu berpuasa dua bulan berturut-turut iaitu tidak berbuka sehari pun dalam tempoh dua bulan”, Jawabnya: “Tidak mampu’. Sabda Nabi lagi: “Adakah anda memiliki makanan untuk 60 penduduk miskin,” Jawabnya: “Tidak punya makan sebanyak itu”.

Nabi terdiam, kami semua berdiam diri, tiba-tiba disampaikan kepada Nabi SAW sekarung kurma. Nabi bersabda: ”Mana lelaki yang bertanya tadi?”. Lelaki itu berkata: “Akulah orang itu”. Sabda Nabi, “Ambil semua kurma ini dan sedekahkan”. Lelaki itu bertanya,” Apakah wajib bersedekah kepada orang yang lebih fakir atau miskin dari diriku? Ya, Rasulullah, Demi Allah, tiada satu keluarga pun yang berada di antara (sempadan) Madinah ini lebih miskin dari keluarga ku. Mendengar itu, Nabi SAW tertawa sehingga jelas nampak beberapa gigi taringnya kerana hairan mendengar keterangan sahabat yang amat miskin itu. Beliau terus bersabda,” Kalau demikian, berikanlah makanan itu kepada keluargamu saja - iaitu anak isteri anda,” 1839 Sahih Bukhari.

Halal penentu sempurna ibadat



MEGA:
 Makanan halal adalah salah satu aspek kesempurnaan ilmu. Apa kesan bagi mereka yang 'membujur lalu melintang patah' dalam bab makan minum ini?
DR. AMINI: Makanan halal mencakupi semua perkara yang kita ambil seharian untuk membolehkan kita beribadat kepada Allah SWT dan menjalankan fungsi kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Rezeki kita mestilah datang daripada sumber yang halal jika kita ingin sentiasa mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.
Mereka yang mengambil berat dalam soal makanan amatlah teliti sumber pengambilan makanannya. Ini kerana setiap makanan atau minuman yang kita ambil menjadi darah dan daging serta menjadi keberkatan hidup. Makanan yang kita ambil menentukan kecemerlangan ilmu.
Orang yang selalu memakan 'bangkai' (makanan yang tidak halal), tidak akan dapat mencapai kesempurnaan ilmu dan mencapai keberkatan Allah.
Kita perlu mengambil hanya rezeki yang baik lagi halal. Perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud:Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)
Manusia perlu meningkatkan kecemerlangan diri, akhlak, sahsiah dan ekonomi. Justeru Allah SWT mewajibkan manusia mengambil sumber rezeki yang halal dan menghindari jalan pemerolehan rezeki yang tidak halal.
Di samping mengambil rezeki yang halal, manusia Muslim mesti memastikan mengambil sumber rezeki yang baik juga. Ada makanan yang halal tetapi tidak baik seperti monosodium glutamate dan minuman bergas atau berkarbonat.
Begitu juga dalam menggunakan sumber perolehan rezeki, manusia Muslim perlu menggelakkan diri daripada pembaziran dan perkara yang sia-sia.
Islam juga mengharuskan manusia mengambil faedah dan menggunakan keperluan-keperluan dunia untuk menuju ke akhirat. Tiada larangan untuk manusia mencari kebahagiaan di dunia asalkan ia dilakukan secara tidak melampau.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikurniakannya untuk hamba-hambanya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya. Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga tidak beriman) dalam kehidupan dunia. (Nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah kami jelaskan ayat-ayat keterangan kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui". (al-A'raaf: 32)
Ada yang beranggapan halal itu hanya jenis dan bentuk makanan itu sahaja. Benarkah begitu?
DR. AMINI: Halal bukan pada zahirnya sahaja seperti makanan halal. Yang lebih penting punca dan sumbernya untuk mendapatkan makanan tersebut mestilah daripada cara yang halal seperti tidak menipu, rasuah dan lain-lain.
Kaedah dan prinsip mencari rezeki juga mestilah dengan jalan yang halal. Jika melibatkan kaedah atau cara yang haram, maka sumber rezeki itu juga haram. Tuntutan agama untuk mencari sumber rezeki yang halal mestilah dipatuhi.
Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah. (riwayat Al- Bukhari)
Kenapa pahalanya begitu besar diberi kepada orang yang mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarganya?
Besar juga pahala orang yang kerjanya melibatkan berbagai-bagai cabaran dan godaan dan dia berjaya melepasinya seperti kerja-kerja yang terdedah kepada risiko rasuah, suapan, komisen dan seumpamanya.
Orang yang pasrah kepada rasuah dan perlanggaran integriti adalah mereka yang gagal dan tidak prihatin terhadap masa depan keluarganya dan pembalasan di akhirat kelak.
Makanan yang halal membentuk jiwa, peribadi dan mental yang baik. Pemilihan makanan yang baik lagi halal dan seimbang boleh membentuk kesihatan yang baik seterusnya menghasilkan fikiran yang baik.
Makanan-makanan ringan umpamanya, walaupun halal tetapi tidak berapa baik untuk kesihatan. Justeru, pemilihan makanan yang berkhasiat, baik dan seimbang diperlukan untuk membentuk akal yang baik.
Akal yang baik dan tubuh badan yang sihat membolehkan akal berfungsi dengan sepenuh keupayaannya.
Zaman Nabi SAW, umat Islam diuji dengan peperangan pada bulan Ramadan. Hari ini, sebahagian besar 'tewas' tanpa berperang sehingga ada yang tidak solat akibat kekenyangan selepas berbuka. Kenapa jadi begitu?
DR. AMINI: Ini adalah satu masalah besar. Kita cuba melakukan satu tanggung jawab agama yang besar tetapi kita tidak prihatin atau mengabaikan satu lagi tanggung jawab agama yang besar. Orang seperti ini tidak faham agama.
Apa gunanya berpuasa kalau tidak bersolat! Begitu juga, apa gunanya bersolat kalau tidak berpuasa! Walau bagaimanapun ada kes yang lebih teruk, tidak bersolat sama sekali dan juga tidak berpuasa serta tidak menutup aurat. Ini kes yang sangat 'teruk bin teruk'.
Sebab itu, orang yang tidak solat kerana kekenyangan berbuka adalah mereka yang tidak faham tentang kewajipan bersolat dan adab berbuka.
Puasa sepatutnya mengubati penyakit rohani seperti bakhil, kedekut, tidak kasihan dan prihatin kepada orang lain, mementingkan diri sendiri dan puasa juga sepatutnya mengubati penyakit agama iaitu tidak bersolat dan tidak menutup aurat.
Ramai yang berpuasa tetapi masih meninggalkan ajaran agama. Ini menunjukkan puasa mereka bermasalah dan tidak mendatangkan kesan kepada penghayatan beragama dan komitmen beragama.
Kita sepatutnya membudayakan menjemput rakan berbuka di rumah. Ini sepatutnya menjadi budaya hidup kita untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia.
Rasulullah SAW menyarankan bahawa orang yang menjemput seseorang yang berpuasa ke rumahnya untuk berbuka puasa mendapat pahala sama seperti pahala puasa orang yang dijemputnya itu.
Adakah makanan yang haram menjadi punca amalan dan doa kita tidak dimakbulkan?
DR. AMINI: Memang betul, amalan dan doa tidak dimakbulkan jika kita mengambil makanan yang haram. Elakkanlah mengambil makanan yang haram sebabnya implikasinya membawa banyak musibah seperti amalan dan doa ditolak oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Demi (Allah) yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya 40 hari". (riwayat Tabrani)
Makanan yang haram tidak semestinya babi dan haiwan yang tidak disembelih sahaja. Ia termasuklah juga sumber-sumbernya. Orang yang mendapat gaji kerana bekerja tetapi selalu curi tulang atau ponteng adalah contoh mereka yang memperolehi sumber rezeki yang haram.
Kadang-kadang kita lihat, orangnya kaya raya tetapi anak-pinaknya hidup dalam keadaan kucar kacir dan tungganglanggang atau tidak 'menjadi'.
Kalau kita buat analisis secara tuntas, kita akan dapati orang ini walaupun kaya-raya, sumbernya datang daripada jalan salah.
Maka kesannya bukan sahaja ke atas yang empunya diri, bahkan melibatkan anak-pinaknya juga.
Telah dinukilkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, bab Adab Makan, satu hadis bermaksud: "Hendaklah kamu makan daripada makanan orang yang bertakwa". Apakah huraian hadis ini?
DR. AMINI: Pertama, makanan orang yang bertakwa ialah makanan yang halal lagi baik dan daripada sumber yang halal.
Kedua, makanan yang menepati sunah Nabi Muhammad SAW dan apa yang dianjurkan oleh Allah SWT.
Ketiga, makanan yang berkualiti dan berkhasiat yang dapat meningkatkan kualiti ibadah kita.
Keempat, makanan yang diambil oleh para nabi, wali dan orang-orang soleh.
oleh Dr Amini Amir Abdullah
[petikan Utusan Malaysia, 25 Ogos 2009

ITTIBA’ SEBAGAI BUKTI KECINTAAN KEPADA NABI




Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. Firman Allah S.W.T: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman-Nya lagi: 
"Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri." – Surah al-Ahzab (33) : 6.

Oleh itu saban tahun menjelangnya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia menyambut hari yang dianggap sebagai ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara seperti perarakan, ceramah-ceramah khas, majlis marhaban dan lain-lain lagi dianjurkan demi untuk menunjukkan kecintaan kepada Nabi s.a.w.. Namun begitu secara realitinya program-program tersebut kurang membangkitkan kecintaan yang hakiki kepada baginda s.a.w.. Umat Islam diseluruh dunia masih mengabaikan sunnah-sunnah baginda dan lebih memilih untuk melakukan amalan-amalan bidaah yang dianggap baik oleh mereka. Ini tidak lain tidak bukan kerana kurang penekanan konsep ittiba’ di dalam majlis-majlis sempena Mawlidurasul tersebut walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu ringgit. Ittiba’ merupakan cara yang paling efektif untuk menterjemahkan hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.

Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t..

Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:
“Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, hadis no: 2697
“Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 1718.

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain di atas perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:
Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:“Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:
“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) 
SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidurasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bidaah.

2) 
JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam atau itik sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih untuk ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) 
KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) 
TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah maka ibadah tersebut terbatal.

5) 
WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) 
TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana tedapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: 
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Ittiba’ merupakan suatu amalan yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah di atas.

c) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: 
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

d) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: 
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

e) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih dari Allah S.W.T.. Firman-Nya: 
“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

f) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

g) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: 
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

h) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. 
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 7280.

i) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T: 
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: 
"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

Menerusi penjelasan yang serba ringkas ini maka tidak hairanlah sekiranya kita simpulkan bahawa cara yang paling utama untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan memahami, mengamalkan serta menyebarkan konsep ittiba’. Untuk kita menerapkan konsep ittiba’ ini ternyata ianya bukan satu proses yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu ketika sambutan Mawlidurasul. Ianya perlu disemaikan ke dalam minda setiap umat Islam sepanjang masa. Oleh itu sempena sambutan Mawlidurasul tahun ini marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan ittiba’ dan membanteras sehingga ke akar umbi segala perkara maksiat yang dilarang oleh syarak.