Rabu, 20 Jun 2012

ETIKA BERPAKAIAN MENURUT ISLAM


Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t. dengan meningkatkan lagi kualiti ibadah samada yang wajib ataupun sunat sebagai bukti ketakwaan kita kepada Allah. Justeru, marilah kita pada hari yang berbahagia ini terus memastikan tahap ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. terus mantap dan mampu kita jelmakan dalam amalan dan perbuatan seharian. Jadikan takwa itu, sebagai bekalan kita untuk melayari hidup ini dan mudah-mudahan hembusan nafas terakhir kita tatkala meninggalkan alam ini juga diiringi dengan takwa.

Pakaian adalah salah satu di antara tiga keperluan asas dan terpenting yang perlu dimiliki dan dipenuhi oleh setiap manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Selain sebagai keperluan asasi, pakaian juga boleh menjadi ukuran keperibadian seseorang, sebagai simbol atau tanda dan lain-lain perlambangan. Kriteria berpakaian itu tidak memadai hanya berdasarkan ukuran adat, kerana adat boleh berubah. Justeru itu, pakaian juga boleh berubah. Oleh kerana itulah ukuran agama adalah yang paling tepat bagi menentukan etika atau kriteria berpakaian iaitu menutup aurat yang menepati kehendak hukum syara’.

Permasalahan mengenai pakaian bukanlah bersifat peribadi sehingga seseorang itu menganggap ia boleh memakai apa sahaja pakaian yang disukainya. Tetapi dalam keadaan atau situasi tertentu, pakaian yang dipakai itu perlu mengikut peraturan atau etika yang telah ditetapkan. Pakaian untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah contohnya, ia telah ditetapkan kriterianya. Bahkan dalam majlis-majlis tertentu sekalipun, kita dituntut untuk berpakaian dengan sopan. Ringkasnya, pakaian itu bukan sahaja mempunyai hubungkait dengan maruah, budi pekerti dan ketertiban, malahan ia sangat berkait rapat dengan tuntutan agama.

Apabila berbicara mengenai pakaian, kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang aurat kerana dalam Islam pakaian dan aurat adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain. Dari segi bahasa, aurat itu berasal dari perkataan Arab yang bererti aib atau sesuatu yang memalukan. Menurut istilah syara’ pula, aurat adalah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan orang lain. Aurat bagi lelaki adalah anggota yang ada antara pusat dan kedua belah lutut. Sementara aurat bagi wanita pula adalah seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga pergelangan tangan.

Untuk memenuhi tuntutan menutup aurat itu, Islam telah menggariskan pakaian yang wajib dipakai oleh setiap Muslim dan Muslimah sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w.
Pertama, bagi lelaki hendaklah pakaian itu menutup seluruh anggota badannya yang ada di antara pusat dan kedua belah lutut. Tujuannya untuk menyelamatkan anggota yang ada di antara pusat dan kedua lutut itu supaya jangan terdedah.
Bagi perempuan pula, hendaklah pakaian itu menutup seluruh anggota badannya, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan ( depan dan belakang ) sehingga dua pergelangan tangan. Cara begini adalah dalam keadaan biasa. Sekiranya dalam keadaan yang boleh membawa fitnah atau mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu keganasan terhadapnya, maka menutup muka dan tapak tangan menjadi wajib.

Kedua, hendaklah pakaian lelaki dan perempuan itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

Ketiga, hendaklah pakaian perempuan itu luas, tidak sempit atau tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badannya, seperti menampakkan bentuk buah dada, perut, punggung dan anggota yang lain yang boleh mendatangkan fitnah.

Keempat, hendaklah pakaian perempuan itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, begitu juga sebaliknya.

Kelima, hendaklah pakaian perempuan itu tidak berbau wangi atau harum kerana ianya akan menarik perhatian orang lain. Larangan sedemikian berdasarkan hadis Nabi s.a.w.
Maksudnya : Setiap wanita yang mengenakan wangi-wangian (baik ke badan mahupun pakaiannya), kemudian dia berjalan melintasi sesuatu kaum agar mereka dapat mencium bau yang wangi itu, maka wanita itu adalah wanita penzina.
(riwayat Nasa’i)

Keenam, hendaklah pakaian itu tidak dihias secara berlebih-lebihan kerana pakaian yang berhias itu boleh menarik pandangan orang lain, dan boleh membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandangnya.

Ketujuh, pakaian yang dipakai itu tidak bertujuan untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.

Kelapan, mengenai pakaian lelaki pula, ia tidak boleh diperbuat dari benang sutera yang tulin.
Sidang Jummat yang dirahmati Allah,

Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis. Di antaranya firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.”
(Surah an-Nur : 31)

Sementara itu, sabda Rasulullah s.a.w. yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat diriwayatkan oleh Bahz bin Hakim daripada bapanya:

Maksudnya : Saya bertanya wahai Rasulullah (Kepada siapakah) dari aurat kami boleh kami perlihatkan dan (kepada siapa) kami hindarkan? Rasulullah s.a.w. bersabda: Peliharalah aurat kamu melainkan dari isteri kamu atau hamba sahaya perempuan kamu”. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana pula jika ada orang-orang berhimpun sebahagiannya dengan sebahagian yang lain? Rasulullah s.a.w. bersabda: Jika kamu berdaya agar jangan dilihat aurat kamu oleh seseorang, maka janganlah dia melihat aurat kamu”. Saya bertanya: Bagaimana pula jika seseorang itu bersendirian? Rasulullah s.a.w. bersabda : Allah itu lebih berhak dimalui daripada memalui manusia.”(riwayat Abu Daud)

Melalui dalil-dalil ini, jelaslah bahawa Islam amat mengambil berat terhadap masalah aurat sehingga diterangkan dengan penjelasan yang begitu terperinci sebagaimana disebutkan di dalam ayat 31, surah Al- Nur tadi, dan lebih daripada itu kita juga digalakkan untuk menutup aurat dalam keadaan kita berseorangan meskipun di tempat yang tertutup.

Hukum wajib menutup aurat tidak boleh dipertikaikan lagi dan tidak boleh dimansuhkan dengan hujah akal walau sehebat mana logiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu telah ditetapkan dengan nas yang jelas, yang tidak boleh diijtihadkan.

Nas yang terang dan jelas mengatasi akal rasional, kerana nas itu adalah wahyu yang nyata maksudnya, tidak memerlukan akal rasional untuk menerangkannya, apalagi untuk membatalkan konsepnya yang jelas itu. Walau bagaimana pintarnya seseorang itu dan cerdiknya seorang pejuang hak wanita, namun mereka tidak akan dapat menentang dan menukar ketetapan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Malah sikap sebahagian mereka yang memperkecil-kecil dan mempersenda-sendakan hukum Allah jelas memperlihatkan kejahilan dan kecetekan akal fikiran mereka dalam menanggapi hikmah di sebalik larangan-larangan Allah yang pada mereka amat mengongkong kebebasan dan pergerakan.

Sungguhpun begitu, akal rasional boleh meneliti hikmah di sebalik kewajipan itu bagi menambah keyakinan terhadap kebenaran hukum yang telah ditetapkan oleh nas.

Di antara hikmah kewajipan menutup aurat itu ialah untuk melindungi diri daripada jenayah seks. Sebagaimana yang kita ketahui jenayah seks adalah di antara jenayah yang sangat berleluasa dan kerap berlaku pada dekad ini. Jenayah-jenayah seperti rogol, zina, sumbang muhram dan khalwat memang sudah tidak asing lagi pada pendengaran kita. Punca yang banyak menyumbang ke arah berlakunya perkara ini ialah pendedahan aurat. Kenyataan ini boleh dibuktikan daripada berbagai-bagai sudut kajian dan penemuan.

Tiada siapapun dapat menyangkal pendedahan aurat berlaku di mana-mana, sama ada di tempat-tempat awam atau di majlis-majlis tertentu. Meskipun di negara kita kejadian seumpama ini masih terkawal, namun ada juga segelintir remaja mahupun golongan dewasa yang tidak segan silu mendedahkan auratnya. Lelaki misalnya, ada yang memakai seluar pendek yang menampakkan paha dan memakai seluar ketat yang boleh menampakkan raut anggotanya.

Biasanya kita boleh melihat mereka ini semasa mereka menjalankan aktiviti riadah.
Sementara perempuan pula, ada yang tidak memakai tudung, memakai seluar dan baju ketat, serta yang lebih dahsyat lagi ada yang memakai baju yang singkat hingga menampakkan perut.

Ada pula yang memakai tudung tetapi masih mempamerkan rambut di atas dahi dan ada pula yang memakainya di atas paras dada.
Semua bentuk pendedahan yang disebutkan ini adalah punca kepada rangsangan syahwat baik bagi lelaki mahupun perempuan yang boleh membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial yang tidak diingini.

Memang benar dalam ajaran Islam, naluri seks seseorang itu harus berjalan seiring dengan kehendak agama dan mempunyai cara-cara tertentu untuk mengawalnya. Tetapi sejauh manakah naluri itu akan dapat dikawal apabila berhadapan dengan aurat yang terbuka? Mungkin orang-orang yang mendedahkan aurat itu beralasan bahawa pakaian tidak menunjukkan

seseorang itu lebih Islamik. Alasan mereka ini samalah seperti alasan orang-orang Kristian yang mengatakan bahawa pakaian yang dipakai semasa memasuki gereja tidak penting, walau dengan berseluar pendek dan memakai kasut sekalipun, asalkan niat hatinya bersih.

Tetapi, orang yang menutup aurat dengan kesedaran bahawa pakaian seumpama itu diwajibkan oleh agama, sekurang-kurangnya akan berasa lapang kerana sudah menunaikan salah satu tuntutan agamanya. Walaupun dengan memakai pakaian menutup aurat itu, bukanlah bermakna Islamnya sempurna dan bebas daripada kemungkinan melakukan dosa. Memanglah tidak semua lelaki atau perempuan yang menutup aurat itu baik, ada juga yang melakukan bermacam-macam kesalahan, tetapi itu tidak bermakna kita harus meringankan hukum menutup aurat.

Realiti kehidupan manusia dewasa ini memperlihatkan bahawa banyak perkara mungkar sudah menjadi kelaziman malahan sebati di kalangan masyarakat. Tanpa merasa malu, mereka terus bergelumang dengan kemungkaran demi memenuhi hawa nafsu semata-mata. Sebahagiannya, ada yang sanggup dieksploitasi oleh para pengiklan yang bertujuan untuk melariskan jualan barangan keluaran mereka.

Sebagai agama yang mengamalkan keadilan dan kasih sayang, Islam mengamalkan sikap pencegahan sebelum berlakunya sesuatu. Melanggar sesuatu hukum yang diperintahkan Allah, walaupun mengenai pakaian, bukanlah perkara remeh. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun dipandang remeh oleh manusia.

Tiada ulasan: