Rabu, 20 Jun 2012

Hukum Memakai Rambut Palsu


Pertanyaan :
Apa hukumnya wanita yang menyambung rambutnya dengan rambut tambahan (wig/sanggul/) ?
Jawapan :
Alhamdulillah, kaum wanita diharamkan/dilarang menyambung rambut mereka dengan rambut tambahan(wig/sanggul, red) atau dengan benda lainnya yang menyerupai rambut. Berdasarkan dalil-dalil yang melarang hal tersebut. (“Hadits Asma binti Abu Bakar radiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya (Muttafaqun ‘alaihi)”, red)
Dan disisi Allah-lah seluruh kejayaan dan semoga Allah memberikan sholawat dan salam ke atas Nabi kita (Shalallahu `alaihu wasallam) dan keluarganya dan sahabatnya.

Bagaimana hukum mengenai seorang perempuan yang memakai rambut palsu (wig/sanggul/) untuk mempercantikkan dirinya untuk suaminya?
Jawapan :
Memang setiap pasangan harus mempercantik dirinya (si suami) atau dirinya (si isteri) untuk pasangannya, di dalam rangka menyenangkan pasangannya dan memperkuat perasaan (kasih/cinta, ) diantara keduanya.
Bagaimanapun, hal ini harus dilakukan dengan cara yang tercakup dalam batas syariah sehingga tidaklah terlarang. Adapun memakai rambut palsu (wig/sanggul) adalah model yang dipraktisi wanita-wanita non-Muslim dan menjadi cara yang popular dalam usaha untuk mereka mempercantikkan diri. Jika wanita muslimah memakai dan mempercantikkan dirinya dengan itu, sekalipun hanya untuk (didepan,) suaminya, maka dia sedang meniru wanita-wanita kafir dan Nabi telah melarangnya. Beliau berkata (Barangsiapa menyerupai satu kaum maka dia termasuk golongan mereka.)
Terlebih lagi, hal tersebut sama ertinya “menyambung rambut palsu atas seseorang”. Nabi (Shalallaahu `alaihi wassallam) telah melarang perbuatan tersebut dan mengutuk orang yang melakukannya. (“Hadits Asma binti Abu Bakar radiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya (Muttafaqun ‘alaihi)”, red)
Dan disisi Allah-lah seluruh kejayaan dan semoga Allah memberikan sholawat dan salam atas Nabi kita (Shalallahu `alaihu wasallam) dan keluarganya dan sahabatnya. (aa)

Pertanyaan:
Apakah diperbolehkan untuk seorang perempuan untuk menggunakan rambut palsu guna mempercantikkan dirinya untuk suami nya? Apakah ini termasuk di dalam larangan menyambung rambut ke rambut seseorang?
Jawapan :
Rambut palsu terlarang dan dikategorikan suatu model menyambung rambut ke rambut seseorang. Walaupun tidaklah sama persis, namun hal itu membuat rambut perempuan nampak lebih panjang dan menjadi mirip menyambung rambut. Nabi (Shalallaahu `alaihi wasallam) telah melaknat pekerja yang menyambung rambut demikian juga ke atas seseorang yang meminta disambungkan. (Hadits Asma binti Abu Bakar radiyallahu ‘anha, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu/konde) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya.” (HR. Bukhari dan Muslim dalam Shahih keduanya), red). Namun, jika seorang wanita tidak mempunyai rambut dikepalanya sama sekali, sebagai contoh, dia seorang yang botak, maka dia boleh menggunakan suatu rambut palsu untuk menutupi seluruh cacatnya, ini kerana adanya pertimbangan diizinkan untuk menghilangkan kecacatan. 
              Sebagai contoh, Nabi (Shalallaahu `alaihi wasallam) yang telah membolehkan seorang lelaki yang mempunyai hidungnya terpotong dalam suatu pertempuran, untuk memakai hidung palsu emas. Keadaannya dapat lebih fleksibel berbanding itu. Yakni boleh juga meliputi permasalahan menjalani perawatan plastik (bedah plastik) untuk memperbaiki hidung yang kecil dan sebagainya. Bagaimanapun, proses mempercantik tidaklah sama halnya menghilangkan cacat. Jika masalahnya berkenaan menghilangkan kecacatan, maka tidak ada kejelekan didalamnya, seperti ketika hidung bengkok dan perlu diluruskan atau menghilangkan tanda/tahi lalat. Tidak ada kejelekan dalam tindakan yang demikian. 
      Akan tetapi, bukanlah termasuk menghilangkan kecacatan, seperti membat tatoo (rajah) atau menghilangkan rambut alis mata, hal itu terlarang. (Allah melaknat wanita yang membuat tato, wanita yang minta dibuatkan tato, wanita yang mencabut alisnya, wanita yang minta dicabutkan alisnya, dan melaknat wanita yang mengikir giginya untuk tujuan memperindahnya, wanita yang merubah ciptaan Allah Azza wa Jalla.” (HR. Bukhari dan Muslim dari shahabat Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu), red). Penggunaan rambut palsu, walau dengan izin dan persetujuan suami, adalah terlarang izin atau persetujuan didalam hal-hal yang Allah telah melarangnya. (aa)
(Syaikh Ibn ‘Utsaimin, Fataawa Al-Mar’ah)

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah



عن ابن عباس قال: قالت ميمونة:
 وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.
Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)
Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:
ثم أتيته بالمنديل فرده
Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.
Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:
1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.
2) Membaca ‘Bismillah’.
3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.
6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:
ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”
Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):
. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر
Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.
Bagi wanita yang dalam keadaan junub, diblehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.
عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين
Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)
Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:
دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره
Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)
9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)
10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.
Wallahu’alam.
Rujukan:
طهور المسلم في ضوء الكتاب و السنة مفهوم و فضائل وآداب و احكام
Terjemahan Indonesia bertajuk: Thaharah Nabi, tuntunan bersuci lengkap oleh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani

Seks Dalam Keadaan Berbogel



Apakah hukum berjimaa’ dlm keadaan bogel merupkan perbuatan yang terdapat hadith yang melarangnya? Bagaimana pula dengan ayat al-Qur:an ” Perempuan2 kamu seperti ladang bagi kamu”?
jawapan:
Wassalam
1. Hukum berbogel ketika bersetubuh.
Prof Dr Abdul Halil Abu Syuqqah, sahabat Dr Yusof alQardhawi dari universiti Qatar menjelaskan kekeliruan umat Islam:
” …ramai yang faham jima’ (hubungan seks) hendaklah dilakukan dalam malam yang gelap gulita, jika jima’ di siang hari pula, hendaklah dilakukan dengan hanya membuka sedikit sahaja pakaian dan menutupi sebahagian besarnya, ada pula fatwa, tidak boleh memandang aurat satu sama lain dan hendaklah menjauhkan (mata) dari memandang alat kelamin masing-masing. Ini semua tidak disandarkan kepada dalil yang sahih. Sedangkan amalan ini bercanggah dengan keumuman nas-nas yang membolehkan:
” dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri dan sahaya miliknya.” AQT 23:5
mafhum alhadith:
” jagalah kemaluanmu, kecuali terhadap isterimu dan budakmu.” al-Albani, sahih Sunan Abu Daud, No 3391
alHafidz Ibn Hajar meriwayatkan hadith dari Aisyah ra. Sulaiman bin Musa pernah bertanya Atha’ akan bagaimana seorang lelaki yang memandang faraj isterinya, lalu aku (Atha’) bertanyakan akan Aisyah, lalu Aisyah meriwayatkan bahawa dia dan RasuluLlah saw pernah mandi bersama-sama. (alFath, 1/378)
Maka jelaslah bahawa boleh rupanya pasangan saling melihat aurat masing-masing.
2. Maksud ayat: AQT 2:223 (isteri-isteri kamu adalah sawah-ladang, maka kerjakanlah ladang itu sebagaimana yang engkau sukai.”)
Ibn Abbas berkata, ayat ini turun menjelaskan kekeliruan mengenai tatacara jima’ berhubung dgn kedudukan atau positioning semasa hubungan seks. Kaum Ansar (penduduk asal Madinah) mencontohi amalan Yahudi yang hanya bersetubuh dgn posisi miring sahaja. Jika suami mendatangi isterinya dari arah belakang, maka mata anak akan juling (mengikut kepercayaan Yahudi). Sedangkan kaum Muhajirin tidak mengetahui akan pantang larang penduduk Ansar dan Yahudi, lalu turunlah ayat ini membatalkan kepercayaan Yahudi itu. Maka dengan turunnya ayat ini, hubungan seks boleh dinikmati dengan apa jua posisi dan stail mengikut selera masing-masing. (al-Albani, Adab azZifaaf, 28)
sekian

Niat Puasa, Qadha puasa dan lain-lain


Assalamualaikum wbt…
Saya telah mencari jawapan di ruangan arkib tapi masih ada beberapa soalan yg masih saya keliru berkenaan hal puasa ini. Diharap pihak Al-Ahkam atau sesiapa saja dapat membantu saya.
1) Bagaimanakah niat puasa sunat dan niat qada puasa? (saya ada mencari dalam beberapa buku agama, cuma yg diterangkan niat puasa Ramadhan sahaja).
2) Apakah hukum berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mengambil wuduk di bulan puasa?
3) Benarkah pernyataan seperti di bawah ini:
a) Menelan air liur tidak batal puasa kecuali air liur di antara 2 bibir?
b) Menelan hingus/kahak batal puasa kerana ianya boleh dihindar?
c) Menggosok gigi, miswak dan berkumur tidak batal puasa asalkan tidak sampai masuk ke dalam perut?
d) Masuk air ke dalam telinga tidak batal puasa?
e) Keluar mani kerana mimpi ketika tidur di siang hari bulan puasa, tidak batal puasa tetapi kena mandi wajib?
f) Utk menggantikan puasa Ramadhan yg ditinggalkan dahulu, memadai dgn qada saja, tidak perlu bayar fidyah?
g) Boleh berpuasa di Hari Syak jika ianya kebetulan jatuh pada hari kebiasaan kita berpuasa sunat seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis?
Wassalam….jawapan:
wa’alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr Al-Hafiz dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.
1) Bagaimanakah niat puasa sunat dan niat qada puasa?
- Niat merupakan azam untuk melakukan sesuatu ibadat, dan letaknya di hati. Jika anda berazam ingin melakukan qadha’ puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat.
2) Apakah hukum berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mengambil wuduk di bulan puasa?
- Imam al-Bukhari didalam sahihnya menyatakan hadith :-
إذا توضا فليستنشق بمنخره الماء
“Apabila seseorang mengambil wudhu’ maka hendak beristinsyaq (masuk air kedalam hidung)” – bermaksud ‘Tidak dibezakan diantara orang yang berpuasa dan tidak berpuasa’ (Fath al-Bari, 7/62). Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa ada dikalangan salaf mengatakan ia tidak membatalkan puasa tetapi perbuatan tersebut dilarang.
3) Benarkah pernyataan seperti di bawah ini:
a) Menelan air liur tidak batal puasa kecuali air liur di antara 2 bibir?
- Benar, Menelan air liur didalam mulut tidak membatalkan puasa. Ibn Qudamah mengatakan bahawa perkara ini agak sukar dielakkan sepertimana debu dijalan atau dilantai (al-Mughni 3/16). Jika lidah yang mengandungi air liur terjulur keluar sebentar dan masuk kembali, ia tidak membatalkan puasa, oleh kerana pergerakan lidah dikira sebagai sebahagian dari pergerakan mulut.(Haashiyat Qalyoobi, 2/72).
- Menurut Mazhab Syafie, air liur yang diluar mulut atau berada diantara 2 bibir menelannya boleh membatalkan puasa, kerana perkara ini boleh dielakkan.
b) Menelan hingus/kahak batal puasa kerana ianya boleh dihindar?
- Tidak batal puasa menurut Lajnah al-Daa’imah (1/270) kerana hukum menelan lendir hingus semasa puasa adalah sama hukum telan air liur. Ulama’ menasihatkan agar lendir (mucus) tersebut dikeluarkan kerana menurut Sheikh Utsaimin lendir ini sebagai sesuatu benda yang kotor, dan tidak wajar ditelan.
c) Menggosok gigi, miswak dan berkumur tidak batal puasa asalkan tidak sampai masuk ke dalam perut?
- Tidak batal puasa kalau bersiwak, menggosok gigi atau berkumur dengan syarat tidak menelan air tersebut. Syiekh bin Baaz mengatakan boleh menggunakan ubat gigi asalkan dapat mengelak dari menelannya (Fataawa Bin Baaz, 4/247). Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan, lebih elok memberus gigi diwaktu malam (Al-Sharh al-Mumti, 6/407, 408).
d) Masuk air ke dalam telinga tidak batal puasa?
- Syiekh Ibn Taimiyah mengatakan bahawa menggunakan ubat mata (eyedrops) dan ubat telinga (eardrops) tidak membatalkan puasa (Majmu’ Fataawa, 25/233, 25/245).
e) Keluar mani kerana mimpi ketika tidur di siang hari bulan puasa, tidak batal puasa tetapi kena mandi wajib?
- Syiekh Ibn Qudaamah menyatakan bahawa :’Jika seseorang mengalami mimpi sehingga terkeluar mani tidak membatalkan puasa, kerana ini merupakan tindakan tidak sengaja dari pihaknya; sama seperti kes sesesuatu yang yang keluar dari tekaknya semasa di sedang tidur’ (al-Mughni, 3/22). Maka hendaklah dia meneruskan puasa dan mandi (wajib) menghilangkan janabah.
f) Utk menggantikan puasa Ramadhan yg ditinggalkan dahulu, memadai dgn qada saja, tidak perlu bayar fidyah?
- Pendapat ini (Qadha’ tanpa fidyah) didokong oleh al-Nakha’i, Abu Hanifah dan sahabat2nya. Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi dialam kitab Fiqh al-Shiyam mengatakan bahawa hukum mengqadha’ dan membayar fidyah tidaklah datang dari dalil yang sahih dan hanya melalui atsar para sahabat. Hendaklah kita mengambil dari sahabat perkara2 yang berkenaan dengan sunnah dan bukan perkara wajib, sebab yang wajib memerlukan dalil dari Rasulullah saw.
g) Boleh berpuasa di Hari Syak jika ianya kebetulan jatuh pada hari kebiasaan kita berpuasa sunat seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis?
- Dr Mustafa al-Bugha (Fiqh al-Manhaji, 1/361) mengatakan bahawa tidak boleh berpuasa pada hari syak, sebagaimana dithabitkan dari hadith Abu Daud #2334 dan al-Tirmudzi (686) :-
وقال عمار بن ياسر من صام اليوم الذي يُشك فيه فقد عصى أبا القاسم صلى الله عليه وسلم 
“Ammar ibn Yaasir berkata : barangsiapa berpuasa pada hari syak oleh manusia maka dia telah mengkianati Abu al-Qaasim (Rasulullah saw)”
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata :”difahami dari perkara ini bahawa adalah haram berpuasa pada hari syak, kerana Sahabat tidak akan berkata demikian berdasarkan pandangan pribadi, maka riwayat yang sedemikian mempunyai status yang sama dengan marfu’ hadith.”
WA. wassalam

Cara Solat taubat


Assalamu’alaikum Wr.Wb.
Barangkali ada diantara ikhwan dan akhwat yang mengetahui tentang tata cara sholat taubat beserta dengan do’a nya.
Wassalamu’alaikum Wr.Wb.
jawapan:
Wa’alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh,
Tatacara shalat taubat sama dengan shalat sunnah yang lain, yang membezakan hanyalah niatnya. Jadi jika seseorang melakukan perbuatan dosa maka disunnahkan untuk segera melakukan shalat taubat dan berdoa meminta ampun kepada Allah Ta’ala. Semoga tulisan berikut dapat bermanfaat.
Shalat Taubat
Allah Ta’ala berfirman,
Dan (juga) orang – orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa – dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui” (QS. Ali Imran : 135)
Sudah sepatutnya bagi seorang muslim untuk sentiasa berusaha bertakwa kepada AllahTa’ala, juga selalu merasa dalam pengawasan-Nya, serta tidak terjerumus ke dalam maksiat. Jika pun seorang muslim berbuat dosa, maka sudah menjadi kewajipan baginya untuk segera bertaubat dan kembali ke jalan Allah Ta’ala. Dan Rasulullah ShallallaHu alaiHi wa sallam telah mensyari’atkan shalat ini ketika saat bertaubat.
Dari Ali radhiyallaHu ‘anHu, bahawa Rasulullah ShallallaHu alaiHi wa sallam bersabda,
Tidaklah seseorang melakukan perbuatan dosa lalu dia bangun dan bersuci, kemudian mengerjakan shalat, dan setelah itu memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan memberikan keampunan kepadanya” (HR. At Tirmidzi no. 406, lafazh ini miliknya, Abu Dawud no. 1521, Ibnu Majah no. 1395 dan lainnya, hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Albani dalam Shahih Sunan At Tirmidzi I/128)
Berikut beberapa doa mohon ampunan kepada Allah Ta’ala yang dapat dibaca setelah shalat :
Rabbanaa dzalamnaa anfusanaa wa illam taghfirlanaa war hamnaa lakuunanna minal khaasiriin” yang ertinya “Ya Rabb kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang – orang yang merugi” (QS Al A’raaf : 23)
AllaHumma innii zhalamtu nafsii zhulman katsiiran wa laa yaghfirudz dzunuuba illa anta, faghfirlii maghfiratan min ‘indika warhamnii innaka antal ghafuurur rahiim” yang artinya“Ya Allah, sesungguhnya aku banyak menganiaya diriku dan tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Oleh karena itu ampunilah dosa – dosaku dengan ampunan dari sisi-Mu dan berikan rahmat kepadaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang” (HR. Al Bukhari no. 834 dan Muslim no. 2705)
Maraji’ :
Meneladani Shalat – shalat Sunnah Rasulullah, Syaikh Muhammad bin Umar bin Salim Bazmul, Pustaka Imam Syafi’i, Bogor, Cetakan Kedua, Rabiul Awal 1425 H/ April 2004.

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)



Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al--no comment-, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/ 

AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK



Dalam sebuah majlis ilmu Rasulullah s.a.w, s
uatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman?" Lalu baginda menjawab, "Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan.
Lelaki itu bertanya lagi, "Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam?" Baginda menjawab, "Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan."
Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi, "Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu."
[Potongan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurayrah r.a.]
ASAS AKIDAH
Inilah tiga kerangka asas yang mencirikan Islam. Bermula dengan kepercayaan dan keyakinan yang mendasari hati, kemudian amalan ibadah yang dilakukan dengan lidah dan anggota, lantas diperhalusi dengan penghayatan jiwa dan rohani. Tidak ada sesuatu pun yang boleh berdiri sendiri tanpa yang lain. Iman atau Akidah, tidak akan bernilai tanpa Syariah atau dalam cerita hadis di atas disebut Islam. Syariah yang diamalkan pula tidak akan bernilai, tanpa dihayati dengan penghayatan roh dan jiwa.
Seperti yang disebutkan dalam potongan hadis, Akidah atau Iman itu adalah kepecayaan kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul dan ketentuan-ketentuan Allah. Kepercayaan ini hendaklah atas dasar keyakinan yang teguh, yang mana keyakinan ini akan dizahirkan oleh pengamalan Syariah secara menyeluruh dengan penghayatan pada setiap amalan tersebut.
Dari aspek disiplin ilmu, pengajian Akidah atau biasanya dinamakan sebagai Usuluddin, adalah pengajian yang berkait rapat dengan teologi, pemikiran dan ideologi. Secara disiplin ilmu, kita boleh pecah-pecahkan antara akidah, syariah dan akhlak, tetapi tidak dalam aspek amalan.
Dalam hal akidah, sumbernya ialah al-Quran dan hadis yang mutawatir, ataupun mencapai taraf sahih yang tinggi. Sesetengah ulama' mensyaratkan hanya hadis mutawatir sahaja yang boleh dijadikan asas akidah, kerana perbincangan akidah tidak boleh bersumberkan suatu yang mengandungi unsur zanni atau unsur keraguan. Hanya al-Quran dan hadis mutawatir sahaja yang memberikan ilmu yaqin atau keyakinan yang bersifat qat'i atau keyakinan yang pasti. Hadis yang tidak mutawatir pula tidak boleh dianggap qat'ie,justeru tidak boleh mensabitkan perkara-perkara akidah. Namun begitu, bagi sesetengah sarjana seperti Imam Ahmad, Ibn Hazm, mereka menganggap hadis sahih boleh menjadi asas kepada akidah. Terdapat juga pendapat yang lebih teliti yang menyatakan, hadis sahih boleh menjadi sumber akidah hanya jika adanya sebarang bentuk qarinah atau petanda yang menunjukkan ia adalah sahih bertaraf tinggi (contoh; hadis yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim). Pendapat inilah yang biasanya dipakai oleh sarjana kontemporari.
Perbincangan akidah pula biasanya berkisar tentang sifat-sifat dan perbuatan Allah, para malaikat, para nabi dan kitab-kitab terdahulu sebelum al-Quran. Lalu ia berkembang kepada perbandingan antara agama serta pemikiran-pemikiran moden. Sesetengah para ulama turut membangkitkan isu sirah para rasul dan sahabat pada zaman Rasulullah dalam perbincangan akidah. Hal ini kerana banyak sekali sejarah para sahabat, yang kalau tidak dibincangkan dengan teliti akan merosakkan akidah Islam itu sendiri. Contohnya terdapat kepercayaan bahawa sahabat Rasulullah s.a.w telah murtad kecuali beberapa orang seperti Salman al-Farisi, Miqdad dan Abu Dhar. Kepercayaan ini secara tidak langsung menjatuhkan maruah Nabi Muhammad sebagai seorang rasul yang bersifat dengan sifat tabligh iaitu menyampaikan dan mendidik.
Dalam contoh lain, golongan ini juga turut mendakwa bahawa Sayyidina Umar r.a. telah menghalang Rasulullah daripada menulis 'wasiat' tatkala baginda sedang sakit, sehingga selepas itu baginda tidak sempat menulis 'wasiat' tersebut sampai wafat, sekalipun selepas peristiwa itu, baginda masih hidup beberapa hari lagi dan masih sempat pergi ke masjid. 'Wasiat' yang dianggap tidak sempat ditulis oleh golongan ini ialah perlantikan Ali sebagai khalifah dan Imam dua belas. Mereka ini adalah golongan Syiah yang tidak pernah menghormati sahabat sebagai hasil didikan peribadi agung Rasulullah s.a.w.
Atas alasan ini, para ulama turut menganggap perbincangan tentang sirah para sahabat adalah termasuk dalam perkara akidah, yang mana hanya boleh disabitkan oleh hadis yang sahih yang sangat tinggi mutunya. Manakala sekiranya tidak ada hadis yang sahih, maka adalah wajar tidak ditulis sahaja sirah tersebut, lebih-lebih lagi jika sirah tersebut mengandungi sesuatu yang nampak bertentangan dengan sifat para sahabat Rasulullah seperti yang dijelaskan oleh al-Quran sebagai mereka yang telah diredhai oleh Allah.
Perbincangan akidah juga biasanya menyentuh dalil-dalil yang mensabitkan kebenaran akidah Tauhid serta ciri-cirinya, serta pada masa yang sama menolak sebarang bentuk akidah batil yang bertentangan dengan akidah tauhid. Sebab itu dalam lafaz tauhid LA ILAHA ILLALAH itu sendiri mengandungi PENAFIAN YANG BATIL iaitu lafaz LA ILAHA dan PENYABITAN YANG HAK iaitu ILLA LLAH. Dalam sejarah dakwah akidah tauhid, para ulama' bukan sahaja berusaha untuk memperkukuhkan pegangan kepada akidah tauhid yang BENAR, tetapi pada masa yang sama menolak sebarang bentuk akidah yang BATIL, iaitu akidah para ahli bidaah yang telah wujud sejak zaman para sahabat lagi. Antara akidah yang dianggap bidaah ialah Syiah, Khawarij, Qadariah, Jabariah, Muktazilah, Jahmiyyah dan lain-lain ajaran yang sebenarnya mempunyai ciri yang hampir sama; iaitu bersikap melampau dalam menilai sesuatu perkara bahkan dalam banyak situasi, mereka menolak pemakaian hadis. Akidah kita iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu akidah yang berpegang teguh kepada kitab Allah al-Quran, dan hadis Rasulullah yang sahih (setelah dinilai berasaskan metodologi yang betul).
ASAS SYARIAH
Syariah Islam, kalau mengikut disiplin ilmunya ialah ilmu yang berkaitan dengan amalan zahir manusia. Syariah biasanya perbincangan tentang hukum bagi sesuatu. Hukum pula, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali, ialah komunikasi Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf. Syariah biasanya dipecah-pecahkan kepada fiqh seperti fiqh ibadat yang membicarakan tentang hukum-hukum ibadat, fiqh muamalat yang mengandungi isu hukum dalam bersosial (selalunya berkaitan dengan harta, kontrak dan urus niaga), fiqh jinayat iaitu undang-undang jenayah seperti hukuman hudud, qisas, takzir dan lain-lain, fiqh ahwal syahsiyah iaitu hukum peribadi serta kekeluargaan, seperti nikah cerai dan sekarang ini ada juga pelbagai jenis fiqh yang dikembangkan seperti fiqh kepenggunaan, yang berkaitan dengan isu pemakaian, pemakanan dan kepenggunaan.
Memahami hukum-hukum atau dinamakan sebagai fiqh ini adalah sangat penting untuk menentukan seseorang itu tidak melakukan sesuatu yang haram, atau tidak mengabaikan sesuatu perkara yang wajib. Hukum-hukum dalam Islam terdiri daripada Wajib (berdosa jika tinggalkan, dapat pahala jika dikerjakan), Sunat (dapat pahala jika dilakukan, tidak berdosa jika tidak dikerjakan, tetapi jika langsung diabaikan boleh membawa kepada keingkaran), Harus (tidak berdosa untuk dilakukan atau ditinggalkan, cuma jika berlebihan dilakukan jadi haram dan jika berlebihan ditinggalkan pun jadi haram), Makruh (kalau dilakukan tidak berdosa, tetapi jika ditinggalkan dapat pahala, tetapi kalau terlalu kerap dilakukan bolleh menjadi dosa), Haram (berdosa jika dilakukan, dan mendapat pahala jika ditinggalkan). Inilah hukum-hukum yang terkandung dalam perbincangan Syariah, yang mana dengan mengetahuhi hal ini menjadikan kehidupan manusia lebih tersusun dan bebas daripada belenggu nafsu serta membawa kepada sistem sosial yang lebih stabil.
Syariah Islam sememangnya satu sahaja. Walau bagaimanapun, dalam konteks hukum terdapat hukum-hukum yang berbeza antara mazhab. Hukum yang berbeza ini sebenarnya hukum-hukum cabang sahaja, yang sengaja dibiarkan berlakunya perbezaan oleh Allah, agar manusia dapat menyesuaikan dengan keperluan mereka. Terdapat pelbagai mazhab yang lahir sejak daripada zaman sahabat lagi, akibat pemahaman yang berbeza terhadap nas, ataupun pendekatan yang berbeza dalam menerima nas. Perbezaan ini sebenarnya bukanlah menjadi isu untuk perpecahan sebaliknya suatu bukti bahawa Islam boleh berkembang mengikut kesesuaian tempat serta bukti kehebatan variasi manusia cipaan Allah.
Selepas zaman tabiin, lahir lebih banyak mazhab namun akhirnya, dikehendaki Allah cuma yang masyhur ialah empat sahaja iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Walaupun begitu, masih ada mazhab lain seperti Zahiri namun pengikutnya adalah terlalu kecil. Dengan perkembangan semasa, mazhab yang empat itu pun sekarang ini sudah digabungkan oleh sarjana moden. Agar hukum sentiasa dapat disesuaikan dengan kehendak dan keperluan semasa. Ini tidak bererti hukum mesti mengikut situasi, tetapi hukum itu mestilah membawa kepada kemaslahatan pada setiap situasi. Jika kemaslahatan tidak berlaku, biasanya hukum yang diamalkan itu tidak sesuai dengan keadaan. Namun, sudah tentu, hukum yang telah jelas dan terang lagi bersuluh dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran atau hadis yang sahih, maka hukum itu tidak lagi boleh berubah. Contohnya solat Maghrib 3 rakaat tidak akan menjadi lima atau satu rakaat. Begitu juga solat Isyak tidak akan menjadi dua kecuali pada situasi yang telah ditetapkan menjadi dua seperti dalam keadaan musafir. Hukum-hukum yang khilaf pula biasanya wujud akibat dalil yang tidak jelas maksudnya, atau mempunyai unsur 'konflik zahir' dengan nas yang lain, atau datang daripada dalil yang tidak pasti kesahihannya seperti hadis yang bersifat Ahad, yang mempunyai kemungkinan ia adalah bukan dalil. Apa pun, situasi sebenarnya telah disengajakan oleh Allah untuk memberi kemudahan kepada kita juga. Oleh itu, tidak perlu lah seseorang itu taksub dalam mengamalkan mazhab mereka, sehingga kadang-kala ia boleh memberi imej buruk kepada agama Islam itu sendiri.
ASAS AKHLAK
Dalam hadis di permulaan tadi terdapat unsur Ihsan; beribadah seolah-olah sedang melihat Allah atau setidak-tidaknya merasai bahawa sedang dilihat oleh Alah. Dengan kata lain, jika sekadar menunaikan Sembahyang untuk melepaskan diri daripada hukum berdosa, seseorang itu tidak lagi sempurna agamanya, tanpa menghayati setiap amalan yang dikerjakan dengan teliti. Beribadah seolah-olah melihat Allah maksudnya benar-benar mengenali Allah dan merasai sedang melihat Allah di hadapan, sekalipun maha suci Allah daripada bertempat. Dengan itu, setiap ibadah dilakukan dengan penuh rasa ketelitian, rasa kehambaan, rasa takut, dan penuh khusyuk. Tidak semata-mata menunaikan aktiviti lisan dan gerak badan sahaja, tetapi hati pun sentiasa peka dengan setiap apa yang dilafazkan dan setiap gerakan yang dilakukan.
Perbincangan ihsan ini juga dinamakan sebagai Akhlak. Kerana ia berkait rapat dengan hati seseorang. Akhlak ialah lahir daripada hati. Jika akhlak lahir daripada akal, maka itu bukanlah sebenar-benar akhlak tetapi ia sekadar hukum akal. Hati yang menzahirkan akhlak. Hati yang merendah kepada Allah akan menjadikan seseorang itu tidak sombong walau diangkat manusia, tidak ego walau diberi darjat oleh Allah. Hati yang khusyuk kepada Allah sentiasa berusaha memelihara amalan kepada Allah. Perbincangan tentang pemurnian hati dan roh ini seterusnya menjadi disiplin ilmu yang dinamakan tasawuf, sekalipun terdapat beberapa pandangan yang menolak terus istilah tasawwuf ini kerana bagi mereka membawa kepada bidaah.
Pelbagai buku-buku yang dikarang oleh para sarjana dalam usaha untuk memberi penekanan kepada pendidikan hati. Contohnya Imam al-Ghazali, sebagai ulama' yang masyhur dalam bidang tasawuf menulis buku Ihya Ulumuddin yang telah menjadi rujukan masyhur dalam bidang tasawuf. Walaupun terdapat kritikan terhadap buku ini kerana menggunakan banyak hadis daif dan ada juga palsu, namun keagungan isinya tidak dapat dinafikan lagi. Jelas, bahawa amalan Syariah, mengetahui hukum hakam sahaja tidak bererti tanpa dihiasi dengan akhlak yang bermula daripada hati. Solat tanpa penghayatan kekhusyukan ibarat melakukan sesuatu dengan sia-sia yang akhirnya boleh menempah keburukan juga. Zikir-zikir yang wujud dalam hadis-hadis Rasulullah dikumpulkan untuk diamalkan secara konsisten, kerana dengan zikir yang konsisten, mudah-mudahan dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah untuk hati semakin lama terdidik dengan Syariah yang Allah tetapkan.
Namun terdapat juga golongan yang keterlaluan dalam mengamalkan ilmu akhlak sehingga adakala mereka suka melakukan yang sunat melebihi daripada yang wajib. Mereka amat menyukai zikir-zikir yang diajar oleh guru mereka sehingga menganggap tiada zikir lain yang boleh diamalkan. Mereka juga sanggup bersengkang mata berzikir kepada Allah tetapi meninggalkan solat berjamaah yang lebih utama. Ilmu tasawuf tidak akan bertentangan dengan Syariah. Jika ia bertentangan, maka itu bukan lagi amalan yang benar daripada Islam. Namun tidak semua aliran tasawuf, yang dinamakan sebagai tariqat ini salah dan mengabaikan sunnah Rasulullah s.a.w. Hanya tariqat yang melampau sahaja,atau keterlaluan dalam mempercayai guru, atau terang menerima hadis palsu sebagai panduan atau mengada-ngadakan ibadah yang langsung tidak ada asasnya adalah tariqat yang bidaah. Bidaah inilah yang dikatakan sebagai sesat oleh Rasulullah s.a.w.
Apa pun akhlak yang disuburkan kepada Allah hendaklah disuburkan juga sesama manusia. Hal ini kerana Allah tidak mengganggap orang yang tidak berakhlak dengan manusia sebagai berakhlak dengan Allah. Banyak sekali hadis Rasulullah s.a.w yang menganjurkan supaya seseorang itu menggunakan adab sopan dengan manusia, menjaga hati orang lain dan menjaga maruah mereka.
Sebagai kesimpulan daripada artikel ini, marilah kita hayati firman Allah dalam surah Luqman ini:
[13] Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
[14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15] Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan
[16] (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17] Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18] Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19] Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.