Rabu, 20 Jun 2012

Apa ada dengan Aku

Alhamdulillah...Aku merasa sangat bersyukur,karena masih berdiri dan bernyawa dgn gagahnye di bumi Allah ini..Jarang org di beri peluang untuk menikmati hidup yg amat bahagia,kaya,senang,tanpa penyakit,tanpa duka,tanpa masaalah,tanpa  hal2 remeh dan masalah duniawi yg membelenggu semua manusia2 di muka bumi..Tapi Alhamdulillah..aku masih berdiri teguh ape adanya aku..
       
  Hari makin berlalu,musim bertukar musim,thn berganti tahun..Semakin banyak yg aku capai,semakin banyak dugaan yg datang,,Allah takkan menduga hambanya jika hambanya tak mampu untuk menghadapinya..Jd sebarang dugaan yg melanda,Insyaallah jika di selesaikan dgn cara yg sepatutnya,akn berjaya di atasi.


        .Mengapa manusia sering mengeluh apabila menghadapi sebarang dugaan,tk kira sama ada kecil atau besar dugaan itu.Mengapa mereka2 semua ini tidak sanggup hadapi dgn muka yg senyum ? mengapa mereka tidak pernah fikir mengapa Tuhan menduga mereka sedemikian ? yg ada hanyalah mengapa aku ? mengapa bukan org lain ? Adilkah Tuhan ? Tp mereka lupe untuk berkata yg dugaan itu rahmat besar bg mereka yg tau ape nikmat di sebalik dugaan..Bg org2 yg redha,Mereka ini sering bersyukur dgn apa saja dugaan yg bakal menimpa.
       
        Di sebalik semua dugaan,tidak seorang pon yg sedar,nikmat di sebalik dugaan tersebut..Allah akn limpahkan rahmat dan pahala yg berganda apabila setiap kesusahan n kesulitan di iringi dengan rasa bersyukur dan sentiasa bermunajat kepada Tuhan..Hikmah yg dapat di sebalik dugaan takkan boleh di beli dengan wang ribuan ringgt.,Segala pengalaman2 yg di perolehi memang tkkan dapat di jual beli,melalui itulah akan mendewasakan dan mengajar kita ape erti hidup...
       


       Cube lah bermurah hati dgn syukur,syukur setiap ape yg kite makan,hidup,pakai,tinggal n segala macam yg di lakukan selama kite bergelar makhluk di muka bumi Allah ini,kelak kita akan merasa nikmat dalam melayari hidup demi bergelar manusia..kite berjumpa lagi di lain lembaran,Insyaallah..


Hasil Nukilan : Aida Amer

WASIAT NABI


IBNU ABBAS r.a. meriwayatkan bahawa Ali Abu Talib berkata : "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah S.A.W bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1 Hai Ali , takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barangsiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat di jari telunjuk dan di jari tengah.

2. Hai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Hai Ali sesungguhnya Allah mengkagumi hambanya yang melafazkan istighfar; "Rabighfirli fainahu Iayaghfirul-zunuba illa Anta"( Tuhanku ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan engkau). Allah lalu berfirman ,"Hai malaikat Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Ku. Hai malaikat-Ku ,jadilah saksi bahawasanya Aku telah mengampunkan dia".

4. Hai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab(pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidiq(benar) itu berkat dan kazzab(dusta) itu celaka.

5. Hai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajikan ke atasnya siksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.

6. Hai Ali, Janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan dharurah, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau, Sesungguhnya Allah tidak mensucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Hai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah Taala mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Hai Ali, Takutilah engkau daripada berbantah bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Hai Ali, senantiasalah engkau bersugi dan mencolek gigi. Bahawasanya bersugi itu mensucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi oleh malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.

10. Hai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala keatas hamba-Nya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai oleh kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Hai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurnia Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau perolehi peruntukan daripada Allah.

12. Hai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau , maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau , yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

13. Hai Ali, perbaikanlah perhubungan diantara penduduk (jiran) sekampung dan diantara ahli rumahmu. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Hai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan perolehi kemenangan dan kelepasan. InsyaAllah.

Subhanallaah............

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

Sesuatu hukum dalam Islam, memerlukan kepada dalil. Jika mahu dikatakan boleh, dimanakah dalilnya? Dan jika mahu dikatakan tidak boleh, dimanakah dalilnya?

Dalam manhaj istinbat, Imam Ghazali tidak sealiran kaedah dengan Imam Abi Walid Al-Baji. Manhaj Imam Ghazali, sebarang pengistinbatan terhadap kewujudan sesuatu hukum, memerlukan kepada dalil, tetapi dalam menyatakan sesuatu itu tiada hukum, maka ia tidak perlu kepada dalil. Manhaj ini berbeda dengan Imam Abi Walid Al-Baji yang menyatakan, mengistinbatkan hukum dan menyatakan tiada hukum, kedua-duanya perlu kepada dalil.

Walaubagaimana pun, dalam isu menyebut kalimah Allah bagi non Muslim, Apakah dibenarkan atau tidak, ia memerlukan kepada dalil dalam menyatakan keizinannya. Adapun jika kita adalah golongan yang mengatakan tidak boleh, dalam manhaj Imam Ghazali, tidak perlu didatangkan dalil, bahkan sudah memadai dikatakan tidak boleh jika tidak didapati langsung dalil-dalil yang membenarkannya.

KALIMAH ALLAH

Kalimah Allah adalah kalimah ”rahmat” sekelian Alam. Allah SWT adalah tuhan yang bukan sekadar disembah oleh Orang islam, sebaliknya wajib disembah juga oleh orang-orang selain beragama Islam. cumanya, tafsiran bagi kalimah Allah itu pelbagai dikalangan manusia.

Bagi mereka yang beragama Islam, Allah itu merujuk kepada tuhan yang esa. Adapun bagi mereka yang beragama kristian, ia merujuk kepada triniti. Begitu pula yahudi, merujuk kepada tuhan bapa kepada Uzair.

Justeru, dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, apakah ia dibenarkan atau tidak? Apa yang dapat kita perhatikan, banyak nas-nas Al-Quran, dan hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, berbanding nas-nas Quran dan Hadis yang melarangnya.

Pertama : Surah Al-Ankabut : 61

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”

(Surah Al-Ankabut : 61)

Ayat ini, dengan jelas orang bukan Islam menjawab “Allah” dikala ditanya oleh Nabi SAW tentang siapa pencipta langit dan bumi. Selepas menyebut kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, Allah tidak pernah menyuruh Nabi SAW menyerang atau menghalang mereka daripada menyebut kalimah “Allah” tersebut.

Kedua : Surah Al-Ankabut : 63

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”

(Surah Al-Ankabut : 63)

Sama juga dengan ayat ini, ia mempunyai maksud yang sama dengan ayat di atas. Bahkan, di akhir ayat ini, Allah menyatakan kepada Muhammad agar mengucapkan syukur terhadap apa yang orang bukan Islam sebutkan – iaitu menyebut kalimah Allah. cumanya, Allah memerli mereka dengan alasan mereka tidak menggunakan akal dengan sihat disebalik pengakuan Allah sebagai tuhan yang menurunkan air daripada langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.

Ketiga : Surah Al-Haj : 40

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya;
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah”

(Surah Al-Haj : 40)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa rumah-rumah ibadat yang menyebut kalimah Allah ini, bukan hanya digunakan di masjid-masjid sahaja, bahkan digunakan juga di rumah-rumah ibadat agama selain Islam, seperti gereja dan biara yahudi. Ia merupakan satu pengi’tirafan dari Allah, atas keizinan bagi non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam peribadatan mereka.

Keempat : Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda;

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya;
“Tidak akan berlaku kiamat, melainkan tidak ada lagi di bumi orang menyebut, Allah, Allah[1]”

Dalam bahasa arab, kalimah ‘assa’ah’ yang diterjemah sebagai ‘kiamat’. Ia juga boleh diterjemah sebagai ‘kebinasaan’. Hal ini merujuk kepada hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“apabila amanah dikhianati, maka tunggulah kebinasaan”

Ditanya, ”bagaimana amanah dikhianati?”

”apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kebinasaan” Jawab Nabi SAW ringkas tapi padat[2].

Daripada ini, kita fahami bahawa kebinasaan akan berlaku, jika tiada lagi manusia yang menyebut kalimah Allah atas muka bumi. Dalam hadis ini, tidak pernah wujud satu pengkhususan bahawa keizinan menyebut kalimah Allah ini hanya khusus kepada orang islam sahaja.

Justeru, dari segala dalil-dalil yang dikemukakan ini, difahami bahawa tidak ada larangan dari Islam bahawa orang bukan islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Bahkan, yang wujudnya adalah, nas sendiri memberikan keizinan untuk disebut kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

Bahkan, ini dikuatkan lagi sirah Nabawiyyah, yang mana di awal-awal dakwah Nabi SAW, kalimah Allah sudah digunakan oleh orang-orang quraish ketika itu. apabila kedatangan Islam, nabi SAW tidak pernah menghalang atau melarang orang-orang Quraish daripada menyebut kalimah Allah. Malahan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah, baginda SAW memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah dari sudut yang betul.

Perlu diingat, Nabi SAW datang ketika itu, bukan menghalang dari mereka memggunakan kalimah Allah, tetapi Nabi SAW datang memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah itu sendiri. Inilah tugas nabi, yang wajib dicontohi oleh seluruh umat-umatnya.

ISYKAL DAN JAWAPAN

Pertama :

Mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah dapat melahirkan keraguan umat Islam terhadap maksud kalimah Allah SWT.

Jawapan;

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sepatutnya tidak difikirkan sebagai ruang non Muslim untuk meragukan umat Islam. bahkan, yang wajib difikirkan oleh umat Islam adalah, bagaimana kalimah Allah ini dijadikan sebagai kalimah yang sering disebut oleh non Muslim, kemudian diberikan kefahaman kepada mereka tentang maksud sebenar terhadap kalimah Allah yang mereka sebut itu. dan inilah, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah di marhalah Makkiyyah dahulu.

Kedua:

Lebih baik menghalang dari mereka menggunakan kalimah Allah, kerana ia dibawah maksud ”sad Az-Zarai’”

Jawapan;

Kaedah ”sad Az-Zarai’” digunakan untuk menutup sebarang ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram. Adapun dalam kes non Muslim menggunakan kalimah Allah, ia merupakan ruang untuk mendekatkan non Muslim terhadap kefahaman maksud ”Allah”.

Ketiga:

Ramai orang Islam pada hari ini yang lemah aqidah, justeru, dibimbangi mereka terpengaruh dengan agama non Muslim, apabila mereka dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”

Jawapan;

Apabila lemah aqidah, maka perkara yang perlu dilakukan adalah, perkuatkan aqidah mereka. berikan kefahaman kepada mereka tentang aqidah yang sahihah.

Tindakan melarang penggunaan kalimah ”Allah” dari kalangan Non Muslim dalam usaha hendak menyelamatkan aqidah orang Islam, merupakan dakwaan yang terlalu dangkal. Ini kerana, tindakan tersebut samalah seperti doktor yang memberi ubat pening kepala kepada pesakit yang sedang sakit perut.

Keempat:

Tindakan non Muslim yang kini baru sahaja mahu menuntut mahu menggunakan kalimah Allah terkandung agenda tersembunyi

Jawapan:

Apakah wujud agenda tersembunyi atau tidak, ia bukan isu yang wajar dibangkitkan. Apa yang pasti, Nabi SAW ada bersabda;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang untuk dia bercakap[3]”

Justeru, dalam isu menggunakan kalimah ”Allah” bagi orang bukan islam, ia merupakan hak yang dibenarkan dalam agama mereka. justeru, hak ini hendaklah diberikan kepada mereka. jika mereka mahu menuntut hak itu, wajib diberikan ruang kepada mereka bersuara dalam menyatakan hak mereka.

Adapun sekiranya benar wujud agenda tersembunyi tersebut, maka ia perlu dihadapi dengan segala kebijaksanaan. Bukannya dengan melarang terus mereka daripada bersuara. Kerana, tindakan sebegitu akan memberi gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim.

KESIMPULAN

Secara asasnya, tindakan membenarkan kalimah Allah kepada Non Muslim bukanlah perkara yang dilarang dalam syarak, sama ada menerusi Al-Quran, atau Hadis nabi SAW.

Sebagai umat Islam, keizinan terhadap non Muslim dalam menggunakan kalimah Allah ini, sewajibnya diambil kesempatan dalam memberi penjelasan dan penerangan yang sebenar terhadap maksud kalimah “Allah” itu sendiri. Kerana, inilah yang sebenarnya dilakukan oleh Nabi SAW.

Tindakan melarang mereka dari menggunakan kalimah Allah, ia merupakan satu tindakan yang boleh melahirkan gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim, yang sudah pasti, ia tidak memberi keuntungan kepada Islam sedikit pun.

jika mahu difikirkan balik, mengapa tidak dijadikan kalimah “Allah” ini sebagai cara untuk melahirkan penyatuan manusia di seluruh dunia. Sekiranya Najib Tun Razak boleh menggunakan tema 1 Malaysia dalam usaha hendak menutup politik perkauman UMNO, mengapa tidak digunakan “esa Allah” dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang bangsa?

“ALLAH FOR ALL”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Penggunaan kalimah “Allah”


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

HUKUM ALLAH

Kita mengaku islam,menunaikan rukun islam,tapi kita menolak hukum Allah.Kita ingkar dalam kesyukuran.Firman Allah maksudnya dalam surah Al Maaidah;

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."SURAH AL MAAIDAH:38:39:40
Dalam situasi sekarang di Malaysia,dimana kadar jenayahnya semakin meningkat,pihak kerajaan harus mengorak langkah yang berani untuk menegakkan hudud Allah.Rata-rata rakyat Malaysia dimomokkan oleh media arus perdana tentang kononnya hudud Allah ini tidak adil,tidak berperikemanusiaan(kononnya tidak sesuai dengan hak asasi manusia).Soalan untuk golongan anti hudud Allah khususnya yang mengaku dirinya islam yang begitu lantang mempertikaikan hukum hudud Allah.

Tidak sedarkah mereka bahawa kita ini milik Allah,Allah yang mencipta kita.Jika kita gunakan perumpamaan mudah.Seorang jurutera pakar,telah mencipta sebuah kapal selam perang.Jurutera pakar ini lebih tau tentang ciptaannya,kelemahan ciptaannya dan kekuatan ciptaannya berbanding kita yang tidak memiliki ilmu kejuruteraan kapal selam perang.Bayangkanlah pula ilmu Allah,umpama lautan luas,kita hanya mampu perolehi apa yang tinggal di sebatang pen apabila decelup didalam lautan luas itu.

Sama-samalah kita fikirkan,jika kita telah melengkapkan lima rukun islam kita,adakah kita masih mahu menafikan dan mempertikaikan hukum Allah ini.

Ciri-ciri Orang Munafik


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.

Riwayat Ahmad



Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

Ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

Iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.