Rabu, 20 Jun 2012

HUKUM BERTATU

Hukum bertatu adalah haram ke atas lelaki dan wanita. Walaupun baginda merujuk kepada golongan wanita, ini tidak bermaksud harus bagi kaum lelaki. Namun hari ini kita dapat melihat bahawa bertatu ini menjadi satu trend di kalangan remaja dan segelintir orang dewasa.

Ada yang bertatu dengan alasan tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa. Sedangkan bertatu bukan dari budaya orang Islam malahan budaya jahiliah. Sebab itulah Rasulullah saw mengharamkan amalan jahiliah ini.

Nas yang dijadikan sandaran bagi pengharaman tatu pertamanya daripada hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh kita bersegera kepada seruan Allah dan Rasul-Nya SAW.

Maksud firman Allah: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (al-Nur: 51).

Ada pula di kalangan orang Islam apabila ditanya kenapa bertatu diberi alasan tidak tahu bahawa tatu itu haram.

Beginilah sikap manusia yang sering mencipta alasan untuk menghalalkan cara. Tetapi dalam persoalan kawan saudari yang berbangsa iban itu bertatu sebelum Islam.

Mungkin bertatu adalah budaya masyarakat iban. Namun demikian selepas dia menganut Islam bukan itu yang pertama kena buat.

Persoalan yang pertama perlu diberi penekanan adalah persoalan akidah, membina keyakinan dan kepercayaan yang mutlak terhadap ketuhanan Allah dan menafikan selainnya dari dianggap menjadi tuhan.

Sekiranya penekanan terhadap keimanan dan pengEsaan terhadap Allah lebih utama. Walaupun demikian perlu juga difikirkan bagaimana dapat membantu beliau yang baru Islam untuk memahami Islam yang syumul ini. Termasuklah juga persoalan-persoalan fikah dan akhlak.

Merujuk kepada tatu yang terdapat di lengan kaki lelaki tersebut perlu dilihat kepada bentuk ukirannya.

Sekiranya ukiran tersebut bentuk objek makhluk atau bentuk berhala maka hendaklah dibuang. Namun sekiranya tatu itu sekadar ukiran corak yang tidak membentuk makhluk terpulang kepada lelaki tersebut sama ada ingin buang atau tidak.

Ini kerana Allah mengampun segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebelum Islamnya, yang demikian dapat dilihat dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: ...Sesungguhnya Islam menghapuskan kesalahan dan dosa seseorang itu sebelum Islam….(riwayat Muslim, no:121, jld:1, hlm:112)

Hadis ini memberi petunjuk sesungguhnya kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu sebelum menerima hidayah adalah dihapuskan serta merta dengan terlafaznya syahadah (pengakuan masuk Islam).

Namun demikian pandangan peribadi saya eloklah dibuang tatu yang ada di lengan kaki bagi mengelak fitnah dan buruk sangka. Tidak semua mengetahui yang saudara itu baru masuk Islam.

Pada masa yang sama sekiranya proses membuang tatu boleh memudaratkan nyawa atau boleh mengundang masalah lain pada kesihatan, tidak perlu dibuang biarpun tatu itu berbentuk makhluk.

Namun, jangan pula didedahkan atau ditayangkan tatu itu kepada orang lain. Di dalam kepesatan teknologi perubatan ada di sana pencapaian teknologi perubatan yang tidak perlu menggunakan asid. Malahan tatu boleh dihilangkan dengan menggunakan sinar infra merah seperti yang dinyatakan melalui petikan berikut: “Pada tahun 1991, Dr. Tolbert Wilkinson dari San Antonio, Texas telah mengemas kini sejenis prosedur yang menggunakan sinar infra merah yang tidak memberi kesan parut yang ketara serta kurang mahal…”.

Proses membuang tatu adalah rumit dan memakan masa. Prosedur tradisional seperti dermabrasion atau pembedahan akan meninggalkan kesan parut. Justeru itu prosedur tersebut sudah jarang digunakan hari ini.

Penyingkiran tatu menggunakan laser pula adalah pendekatan paling umum. Tetapi ia memerlukan kepakaran profesional dan adalah agak mahal khasnya bagi penduduk di negara Dunia Ketiga. Untuk membuang tatu mesti mendapatkan bantuan nasihat daripada doktor dan jangan bertindak menjadi doktor kerana dikhuatiri akan timbul masalah yang lain pada kulit, ini sebab tisu kulit sangat sensitif.

Hukum Membaca Surah Yasin Pada Malam Jumaat


Antara amalan yang sudah cukup sebati dalam masyarakat kita ialah membaca Yaasiin dan tahlilan yang dilakukan beramai-ramai setiap malam Jumaat di surau dan masjid. Dahulu kerap juga diadakan pembacaan mawlid pada malam tersebut, kat tempat aku lumrahnya dibaca Barzanji dan amalan ini dikenali sebagai "berjikir" i.e. kat tempat aku jika dikatakan " urang berjikir" maka yang dimaksudkan ialah "orang membaca mawlid Barzanji dan qasidah-qasidahnya. Tapi sekarang, amat langka aku lihat surau-surau dan masjid-masjid kat tempat aku yang masih berjikir malam Jumaat, melainkan dalam bulan Mawlid di mana majlis berjikir meriah. Nampaknya masyarakat aku kini lebih suka nonton tv dari melantunkan pujian kepada Allah dan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu...Allah.

Nasib baiklah, upacara membaca Yaasiin dan tahlilan masih menjadi program utama antara Maghrib - Isya` malam Jumaat kat tempat aku. Tetapi sedihnya kini timbul pula orang yang anti-yaasinan dan anti-tahlilan serta mengeluarkan fatwa membid`ah-dholalah sesiapa yang melakukannya. Tuan-tuan bayangkanlah dahsyatnya fatwa tersebut, siapa baca Yaasiin malam Jumaat bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat dan setiap kesesatan masuk neraka. Jadi langsung tak langsung, rumusannya sesiapa baca Yaasiin malam Jumaat masuk neraka. Hebat sungguh ilmu mufti ini.

Sudahlah kita ni jenis malas baca Quran, bila nak baca Yaasiin malam Jumaat dah dibid`ahkan. Aduh poning kepalo ese, bisa palak aku, kata orang kampung aku. Daie mende yang menjauhkan orang dari membaca al-Quran? Adakah membaca Yaasiin malam Jumaat itu maksiat ? Adakah majlis membaca Yaasiin tersebut satu kemungkaran ? Takkan nak samakan hukum majlis baca Yaasiin malam Jumaat dengan karnival JomHeboh tempat Tok Shahidan isytihar Perlis Darul Sunnah? Kita biarkan Tok Shahidan terojun dengan labu-labunya, Tok Shahidan daripada hang dok pikiaq nak bid`ahkan orang, elok hang pikiaq mana nak cari duit bayaq hutang Majlis Perbandaran Kangaq. Jangan marah noooo.

Kalau ikhwah masih ingat kat Ustaz Abdullah al-Qari tempohari, kalau kome tak ingat, aku habaq mai sikit bagi refresh hang pa punya memory. Ustaz Dollah ni salah seorang tokoh 'sunnah (baca : salafi)' i.e. adik - beradik golongan kaum muda. Dia ni banyak terjemah buku-buku golongan yang sewaktu dengannya, pernah dianugerahkan dengan Tokoh Ma`al Hijrah Negeri Kelantan (kalau tak silap akulah) dan merupakan besan Tok Guru Haji 'Abdullah bin 'Abdur Rahman, Lubok Tapah. Aku nak habaq mai kat korang, Ustaz Dollah yang mempunyai pemikiran `salafi' telah menulis dalam bukunya "Kursus Qari` dan Qari`ah" mukasurat 145:- "Malam Jumaat : Kedapatan Rasulullah s.a.w. membacakan surah Yaa Siin, ad-Dukhaan dan al-Kahfi." Aku rujuk hangpa semua kepada Ustaz Dollah Qari ni bukan apa, saja nak habaq bahawa dalam kumpulan so-called 'salafi/sunnah' pun ada perbezaan pendapat mengenai hukum baca Yaasiin malam Jumaat. Jadi buat apa nak perbesarkan isu-isu remeh seperti ini. Apa faedahnya? 

Biarlah hamba-hamba Allah yang lemah macam aku ni membaca Yaasiin malam Jumaat, sebab nak baca tiap malam tak larat. Membaca Yaasiin itu ibadah yang punya sumber dalam Syara`, maka sekali-kali tidaklah boleh dikatakan sebagai bid`ah, jika nak kata bid`ah maka ianya hanya bid`ah dari segi bahasa sahaja. Sunnah membacanya setiap malam, tapi berapa ramai yang kuat atau berkesempatan nak baca setiap malam ? Jadi ikutlah kaedah "apa yang tak leh nak diamalkan semua, jangan ditinggalkan semua".
Bagi kita pendokong ulama mazhab, kita tidak ragu lagi bahawa para ulama kita memandang elok akan amalan tersebut. Imam kita as-Sayuthi dalam kitabnya "Khushushiyyaat Yawmil Jumu`ah" menulis:-

  • Imam al-Baihaqi dalam kitab "asy-Syu`ab" telah mentakhrijkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a., katanya:- Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "MAN QARA-A LAILATAL JUMU`ATI HAAMIIM AD-DUKHAAN WA YAASIIN ASHBAHA MAGHFURAN LAHU (Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat surah ad-Dukhan dan surah Yaasin, maka berpagi-pagilah dia dalam keadaan terampun)".

  • Al-Ashbihani meriwayatkan dengan lafaz:- "MAN QARA-A YAASIIN FI LAILATIL JUMU`ATI GHUFIRA LAHU ( Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam Jumaat, nescaya diampunkan baginya).

Maka teruskanlah beramal dengan membaca surah Yaasiin yang terlalu besar pahala dan fadhilatnya. Jadikanlah ia sebahagian wirid kamu, siang dan malam, atau setidak-tidaknya pada hari atau malam Jumaat. Janganlah kalian termakan dengan dakwaan pihak yang anti-yaasinan dan anti-tahlilan. Peganglah ajaran para ulama kita terdahulu, yang berkat mereka hidayah Islam dapat kita rasai sekarang. Penutup posting aku kali ini biar aku nak nukil wasiat Imam al-Haddad, tapi sebelum tu, kalau aku lambat nak update blog, kome bawak-bawaklah bersabo, bukan apa tugasan aku banyak dan masa hanya ada 24 jam, doakanlah kebaikan yeee.
Syaikh Ahmad bin 'Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar, murid Imam al-Haddad dalam karangannya "Tatsbitul Fuad" yang menghimpun kalam nasihat dan wasiat gurunya itu menyebut bahawa mengenai surah Yaasin, Imam al-Haddad ada berpesan dengan katanya:-

  • Surah Yaasiin dan kalimah La ilaha illa Allah adalah penawar bagi segala sesuatu. Jika engkau payah untuk menghafal (i.e. membaca) surah tersebut dengan lengkap, maka bacalah sehingga ayat ke-9. Yaasiin adalah hati al-Quran, dan bagi orang beriman surah tersebut amat besar ertinya. Bahkan jika ada orang yang sakit, yang terpelosok, yang dipermalukan, yang jatuh, yang tertimpa musibah atau yang mengharapkan kasih sayang, maka kepadanya selalu dikatakan "Hendaklah engkau membaca Yaasiin untuk mendapat lindungan Ilahi." Demikian besar dan pentingnya kedudukan Yaasiin bagi orang beriman, dan mereka sesungguhnya amat memuliakannya, bahkan hal ini berterusan sehinggalah sekarang.
Sumber : BahrusshofaDi antara fadilat membaca surah Yasin ialah:

Nabi Muhammad s.a.w menyifatkan surah itu jantung al-Quran.


“Pernyataan Rasulullah s.a.w itu menyebabkan naluri hati kita ghairah membacanya dengan sempurna, secara beramai-ramai di masjid atau di surau.
“Pembacaan ini lazimnya dipimpin seorang imam atau syeikh dan dilakukan pada malam Jumaat,” katanya.

“Inilah sebahagian bentuk amalan yang sudah lama difahami, diamal dan dijadikan tradisi dalam masyarakat Melayu kita di Nusantara.

“Amalan ini banyak mendatangkan kebaikan dan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang sia-sia, maksiat dan dosa.

“Pendek kata, amalan membaca Yasin umpamanya mempunyai khasiat lapan dalam satu, manakala pihak yang mencela golongan mengamalkan bacaan Yasin secara hakikatnya berada jauh dari rahmat Allah.

Surah Yasin satu daripada surah yang dimulakan dengan huruf abjad dan dinamakan dengan demikian kerana ia dimulakan dengan lafaz Yasin, termasuk dalam surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah al-Jin dengan 83 ayat. Ada pendapat mengatakan ia mengandungi 82 ayat.

Amalan membaca surah Yasin mempunyai banyak kelebihan, sebagaimana diterangkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Imam al-A’jiri menyebut satu riwayat dari Ummul Darda, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Mana-mana mayat yang dibacakan padanya surah Yasin, nescaya Allah akan mempermudahkan kematiannya.”

Abu Hurairah meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membacakan surah Yasin pada satu malam bertujuan mencari keredaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam berkenaan.”

Anas bin Malik meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Setiap sesuatu mempunyai hati, hati al-Quran adalah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah akan menulis pahala membaca al-Quran baginya sebanyak 10 kali.”

Imam al-Sya’labi menyebutkan satu riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat nescaya dia akan diampunkan Allah.”

“Terdapat beberapa hadis menunjukkan kelebihan membaca surah tertentu di dalam al-Quran sebagaimana diisyaratkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin,” kata Zamihan.

Dalil umum ini menggalakkan umat Islam membaca mana-mana surah di dalam al-Quran. Ia turut merangkumi surah Yasin memandangkan ia satu surah di dalam al-Quran.

“Perhatikanlah kepada sanad dan matannya secara terperinci. Sekiranya dalil terbabit muncul dengan sanad yang lemah, ia dapat dijadikan hujah kerana masih ada sanad sahih menjelaskan kelebihannya.

“Manakala sanad yang daif tadi jika dihimpun dan dihubungkan dengan kesaksian yang lain nescaya ia akan mencapai taraf hasan sebagaimana diperakui oleh ulama hadis seperti Imam al-Tirmidzi dan selainnya,” katanya.

Surah ini mempunyai banyak intipati yang sepatutnya direnung dan dihayati di samping membacanya, seperti kritikan dan penjelasan sikap kaum musyrikin (ayat 7 -12, 60-68), iaitu menggesa kita mengikis hati dari sifat keji.

Turut diceritakan bukti kewujudan hari berbangkit (ayat 31-54), perbincangan mengenai ilmu, rahmat dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas (ayat 71-83) dan sifat syurga yang disediakan untuk orang beriman (ayat 55-59).

“Selepas kita memahami dan menyedari kedudukan al-Quran, kandungan surah Yasin, tuntutan, galakan dan kelebihannya, kita perlulah membina penghayatan yang mantap dalam diri kita.

“Ternyata kepada kita, amalan membaca surah Yasin bukan sesuatu yang diharamkan ataupun dihukum sesat dalam agama. Bahkan ia satu kelebihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya
.

Apa Yang Berlaku Di Thailand?


- Tidak cukup dengan tekanan pihak berkuasa Thailand, masyarakat Islam di selatan negara itu kini berdepan pula dengan penyebaran mazhab Wahabi yang ditolak oleh kebanyakan umat Islam di Narathiwat.

Penularan mazhab Wahabi, yang antara ajarannya terdapat yang bertentangan dengan amalan ahli sunnah seperti haram melagukan bacaan Al-Quran dan azan serta tidak boleh mengadakan perayaan agama, dikhuatiri boleh mencetuskan bibit-bibit perpecahan di kalangan penduduk Islam di sini, kata seorang pegawai Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN).

Beliau memberitahu Bernama bahawa terdapat pihak tertentu cuba mengembangkan mazhab Wahabi sehingga menimbulkan kecelaruan dan konflik di kalangan majoriti penduduk Islam di sini yang telah lama berteras kepada mazhab ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita tahu fahaman itu sengaja disebarkan oleh musuh Islam dengan tujuan untuk memecahbelahkan perpaduan Islam di sini," kata pegawai itu.

Katanya strategi golongan anti-Islam ini mula menunjukkan kejayaan kerana telah terdapat tanda-tanda perpecahan antara dua kumpulan Islam itu apabila golongan muda yang lebih didedahkan kepada mazhab Wahabi mula berani cuba menafikan amalan-amalan sunat yang dijalankan oleh golongan ahli sunnah.

"Kumpulan pengamal Wahabi mula menganggap banyak amalan dan perlakuan ahli-ahli agama yang lama sebagai bidaah hingga timbul rasa kurang senang," katanya.

Amalan kumpulan Wahabi yang didakwa bertentangan dengan ajaran asal Islam antaranya ialah berzikir, bertahlil dan menyambut Maulidul Rasul.

Pengamal Wahabi juga mengharamkam foto, muzik dan peralatannya, nyanyian malahan video termasuk perlakuan pengebom berani mati.

Wahabi menentang kesemua perkara itu kerana mendakwa perkara itu tidak dibuat semasa pemerintahan Rasullullah dan para sahabat baginda yang mewarisi pemerintahan Islam.

Pegawai MAIN itu berkata mazhab Wahabi yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Arab khususnya di Arab Saudi cuba dikembangkan di sini bertujuan untuk menimbulkan perbalahan di kalangan masyarakat Islam Thai yang keseluruhannya bermazhab Sunni.

"Kekuatan utama umat Islam di selatan Thailand ialah mampu bersatu padu dengan fahaman Islam yang satu hingga tidak boleh digugat sejak beratus-ratus tahun dulu. Sebab itu musuh Islam sekarang berusaha hendak musnahkan Islam dengan menggunakan Islam itu sendiri setelah pelbagai cara lain gagal," katanya.

Beliau berkata MAIN telah banyak kali mengeluarkan ingatan supaya masyarakat Islam di sini berwaspada terutama terhadap berkembangnya mazhab Wahabi kerana ia boleh menimbulkan perbalahan antara mereka.

Kira-kira 90 peratus daripada enam juta penduduk di Selatan Thailand terdiri daripada umat Islam yang secara tradisinya telah menetap di tiga wilayah utamanya iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat sejak Islam berkembang di rantau ini sejak berkurun-kurun lagi.

Wilayah di selatan Thailand juga unik berbanding dengan kawasan lain Thailand kerana majoriti penduduknya lebih selesa menggunakan bahasa Melayu yang seakan-akan sama dengan loghat Kelantan dalam perbualan harian sesama mereka dan bukannya bahasa Thai, yang menjadi bahasa wajib di semua sekolah.

Imam Masjid Al Muhammadiah di Bacho di sini, Abdul Rahman Nassir, 63, ketika ditemui berkata pengamal fahaman Wahabi mula meluas sejak beberapa tahun lepas setelah dibawa oleh pelajar-pelajar Islam yang balik dari Arab Saudi.

Katanya amalan Wahabi sukar diterima sepenuhnya oleh masyarakat Islam di sini kerana ia seolah-olah menafikan peranan ulama dan amalan-amalan sunat yang dijalankan sebelum ini.

"Adakalanya berlaku perpecahan (antara golongan agama tua dan muda) kerana ada perbezaan pandangan antara ahli Sunni dan Wahabi. Tapi sehingga ini kita dapat selesaikan," kata Abdul Rahman.

Beliau menasihati masyarakat Islam supaya menghindarkan diri daripada bertelingkah pendapat kerana ia boleh meretakkan perpaduan mereka.

Hukum Melabuhkan Pakaian (Isbal)

Isbal - melabuhkan pakaian hingga menutupi jari kaki, ada ulamak yang mengatakan orang yang melabuhkan pakaian seperti itu adalah lambang orang yang sombong berjalan di muka bumi.

Tetapi ada juga ulamak yang mengatakan bahawa ia bergantung pada niat, sekiranya tujuannya untuk menyombong maka ia dilarang.

Keterangan dari ustaz al bakistani :

Dr ’Ali Jumaah pernah berkata bahawa ulama usul fiqh menyatakan, hukum yang lahir dari Nas, terbahagi kepada dua, iaitu ”Al-hukm Lizatih” dan ”Al-hukm lighairih”.

”Hukum lizatih” bermaksud, hukum yang sememangnya wujud pada diri atau zat sesuatu nas, seperti pengharaman arak, kewajipan solat, berpuasa dan sebagainya.

Adapun ”hukum lighairih” pula adalah, hukum yang difahami dari sudut yang lain, iaitu tidak memadai dengan merujuk kepada sesuatu nas sahaja, seperti hukum pengharaman terhadap memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali.

Merujuk kepada hadis-hadis nabi SAW, didapati bahawa Nabi SAW melarang memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali. Antara hadis tersebut adalah;

Ù„َا ÙŠَÙ†ْظُرُ اللَّÙ‡ُ ÙŠَÙˆْÙ…َ الْÙ‚ِÙŠَامَØ©ِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ Ù…َÙ†ْ ÙŠَجُرُّ Ø«َÙˆْبَÙ‡ُ Ø®ُÙŠَÙ„َاءَ

Maksudnya;
”Pada hari kiamat nanti, Allah tidak akan melihat mereka yang melabuhkan pakaiannya dalam keadaan sombong” (Muwatta’ : 1425)

Dari sudut ”hukum Lizatih”, daripada hadis ini, maka ulama mengeluarkan hukum bahawa haram memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali. Pun begitu, jika difahami hadis ini dari sudut ”Al-Hukm Lighairih”, pengharaman itu bukanlah dari sudut semata-mata melabuhkan pakaian, tetapi pengharaman itu bersebab wujudnya unsur sombong dikala memakai pakaian yang labuh.

Justeru itu, ulama menyatakan, keharaman melabuhkan pakaian bukannya bersifat mutlak, tetapi bersifat ”Lighairih” iaitu pengharaman yang mempunyai ”sebab”, iaitu ”sombong”.

Dengan itu, apabila seseorang memakai pakaian yang labuh sehingga menutup buku lali, tetapi tidak terdapat unsur sombong, maka ketika itu, hukumnya tidak haram.

Diterangkan juga di dalam laman web era muslim :

dan ada juga hadith yang menyentuh mengenai isbal ini iaitu :

“Siapa yang memanjangkan pakaiannya karena khaila’(karena sombong dan bangga diri), Allah tidak melihatnya pada hari kiamat.” Abu Bakar As-Shiddiq ra berkata, “Ya Rasulullah, kainku ini longgar namun aku tetap menjaganya.” Rasulullah SAW bersabda,”Kamu bukan termasuk orang yang sombong dan bangga diri.” (HR Bukhari dan Muslim)

WaLlahua'lam

Hukum Berdiri Kerana Hormat Orang Yang Datang Atau Ketika Melihat Seseorang



Para ulama telah berselisih pendapat berhubungan dengan perkara ini seperti berikut :

Di antara mereka ada yang melarang berdiri secara mutlak. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah : Ahmad bin Muhammad Al Azdi yang lebih dikenali dengan : IBnu Al Haj.

Beliau berhujah dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abu Umamah radiyaLlahu anhu katanya :

"RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah keluar untuk menemui kami dalam keadaan berpapahkan tongkat, lalu kami bangun berdiri kepadanya. Lalu RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :

Ertinya "Janganlah kamu berdiri sebagaimana orang-orang ajam (bukan Arab) bangun berdiri sesama mereka."

At Tabari menjawab berhubung dengan hadith tadi bahawa ia adalah hadith dhaif mudhtarib (hadith lemah yang bercanggah) dan di dalam sanadnya terdapat seorang yang tidak dikenali. Ini berhubung dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula, di dalam sanadnya pula terdapat Abu Ghalib. Sebahagian ulama hadith berpendapat, Abu Ghalib adalah seorang yang 'mungkar' (riwayatnya bercanggah degan perawi thiqah yang lain). Menurut AN NAsa'ie, Abu Ghalib hanya seorang yang 'dhaif'.

Seandainya hadith tadi tidak terdapat sebarang kecacatan, larangan berdiri padnaya bukanlah satu larangan yang mutlak, tetapi yang dilarang ialah berdiri yang ada unsur-unsur penyerupaan dengan orang-orang 'ajam(orang-orang bukan Arab yang kafir) yang disertakan dengan takzim (pengagungan). Itu dapat diketahui pada lafaz hadith iaitu"..sebagaimana orang-orang ajam (bukan Arab) bangun berdiri sesama mereka."

Kalaulah yang dilarang oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam itu ialah berdiri untuk menghormati, sudah tentu baginda menyebut: "jangalah kamu berdiri (tanpa menyebut orang-orang 'ajam).

Tetapi ia dikaitkan dengan cara berdiri orang-orang 'ajam. Sebab itu ia disentuh oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam kepada para sahabat ketika mana mereka bangun berdiri.

Selain hadith di atas, golongan yang melarang bangun berdiri itu juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan dariada Muawiyah radiyaLLahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda ertinya :

Sesiapa yang suka diwujudkan satu kumpulan lelaki bangun berdiri untuknya, maka sediakanlah tempat duduknya daripada api neraka."

(Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad sahih dan menurut at Tirmidzi, ia adalah hadith hasan.) Hujah di atas (golongan yang melarang) dapat disangkal seperti berikut :

Penjelasan

1. 
Hadith tadi tidak menunjukkan larangan bangun berdiri daripada seseorang, tetapi larangan ditujukan kepada seorang yang orang lain berdiri untuknya, supaya dia tidak mengharapkan orang lain berdiri untuknya sehingga menjadi tertipu atau takabbur (bangga diri) dengan sebab itu.

2. Hadith tadi juga tidak melarang seorang lelaki daripada bangun berdiri untuk menghormati saudaranya, tetapi yang dimaksudkan ialah membentuk sekumpulan lelaki iaitu dengan cara dia duduk sedangkan orang lain berdiri di hadapannya sebagaimana dilakukan terhadap raja-raja bukan Arab. Tafsiran inilah yang disokong oleh Al Munziri, Al Khattabi, At Tabrani dan An Nawawi.

Tafsiran ini dikuatkan dengan sebuah athar yang dikeluarkan oleh At Tabrani di dalam Mu'jam al Awsat daripada Anas radiyaLlahu 'anhu katanya :
"Sesungguhnya sebab binasanya umat-umat yang terdahulu, kerana mereka mengagungkan raja-raja mereka dengan cara, bangun berdiri sedangkan raja-raja itu dalam keadaan duduk."


Jumhur ulama mengharuskan bangun berdiri kepada seseorang sekiranya di atas dasar melakukan kebaikan dan memuliakannya bukannya untuk mengagung-agungkannya. Mereka mengeluarkan hujah terhadap pendapat itu seperti berikut :

1. Hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Said Al Khudri radiyaLlahu 'anhu bahawa ketika Banu Quraizah (satu puak Yahudi) selepas menyerah kalah sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh Saad bin Muaz radiyaLlahu 'anhu, lalu RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengutuskan utusan untuk menjemputnya (Saad). Tak lama kemudian Saad pun tiba, lalu RasuluLlah bersabda: "Bangunlah berdiri untuk tuan kamu." Atau di dalam satu riwayat:"....seorang yang terbaik di kalangan kamu."
Arahan ini adalah jelas supaya berdiri bangun untuk Saad.

Menurut Imam An Nawawi di dalam kitabnya 'Syarah Sahih Muslim' (12/93): 'Padanya anjuran memuliakan mereka yang memiliki kelebihan dan menyambut mereka denganc ara bangun berdiri ketika mereka tiba. Inilah dijadikan hujah oleh jumhur ulama untuk menyatakan sunatnya berdiri. 


Al Qadhi berkata :

Ini bukanlah termasuk di dalam kategori berdiri yang ditegah, tetapi tegahan ditujukan kepada mereka yang mengarah orang lain berdiri untuknya sedangkan dia dalam keadaan duduk dan berdiri itu sepanjang masa dia duduk." Saya (An Nawawi) berpendapat, bangun berdiri untuk seorang yang datang yang memiliki kelebihan adalah sunat. Anjuran itu dinyatakan dalam beberapa hadith, manakala larangan mengenainya tidak dinyatakan dengan jelas."


Golongan yang melarang berdiri tetap menolak hujah di atas dengan mengatakan bahawa arahan bangun berdiri itu dengan tujuan untuk menurunkannya dari kenderaannya, kerana di waktu itu beliau masih tercedera... Kerana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Yazid daripada Muhammad bin Amru daripada bapanya daripada datuknya Al Qamah bin Waqqas katanya: "Aishah (radiyaLLahu 'anhu) menceritakan kepadaku....(sebagaimana kisah di atas)...Terdapat tambahan pada riwayat itu:....maka mereka menurunkannya (menurukan Saad daripada kenderaannya)."

(Lihat Al Fath Ar Rabbani:26/83)

Pada hematku hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad pada beberapa tempat tanpa menyebut tambahan seperti di atas. Begitu juga, al Bukhari dan Muslim meriwayatkan tanpa ada tambahan itu. Kesemua mereka meriwayatkan daripada Syu'bah daripada Saab bin Ibrahim. (Lihat Fath Al Bari : 7/49)

Seandainya kita menerima kaedah (ulum hadith) yang mengatakan " Ziadah at thiqah maqbulah) iaitu penambahan yang dibuat oleh perawi hadith diterima, tidaklah menjadi tegahan sekiranya arahan RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam suaya bangun berdiri itu bermaksud dua tujuan iaitu :

Menurunkannya daripada kenderaan dan menghormatinya. Kerana arahan bangun berdiri untuk tujuan menurunkannya daripada kenderaan bukanlah begitu penting, kerana Saad pada waktu itu masih tercedera dan tidak tergambar beliau datang seorang diri tanpa ada seorang yang membantu menaikkannya ke atas kenderaannya dan menurunkannya daripada kenderaan atau mengiringinya sepanjang perjalanan. Maka sudah tentu beliau mempunyai pengiring untuk tujuan itu dan memadai dengan pertolongan mereka sahaja untuk membantunya turun daripada kenderaan tanpa memerlukan pertolongan daripada hadirin yang lain.

2. Hadith yang diriwayatkan oleh An NAsaie, Abu Daud dan At Tirmidzi daripada Aishah binti Thalhah daripada Aisyah radiyaLLahu 'anhu katanya (bererti):

"RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam apabila melihat anak perempuannya, Fatimah tiba, baginda akan mengucapkan aluan kepadanya, kemudian baginda bangun lalu mengucupkan, kemudian memegang tangannya sehinggalah mendudukannya di tempat duduk baginda."


3. Bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam, tatkala tibanya Jaafar dari Habsyah (di waktu itu baginda berada di Khaibar), baginda bangun berdiri dan mengucupnya dan baginda bersabda :
"Aku tidak tahu yang manakah lebih aku sukai di antara kepulangan Jaafar dengan pembukaan Khaibar,"


4. Hadith yang diriwayatkan daripada Aishah radiyaLlahu 'anhu: Zaid bin Harithah ketika tiba di Madinah sedangkan pada waktu itu RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berada di dalam rumahnya, lalu beliau mengetuk pintu, segera RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bangun berdiri ke arahnya, kemudian memeluk dan mengucupnya.

5. Imam An Nawawi mengeluarkan hujahnya dengan dalil-dalil umum yang menganjurkan supaya meletakkan manusia sesuai di tempatnya, memuliakan orang tua dan menghormati orang yang lebih tua umurnya daripada kita.

Abu Al Walid Ibnu Rusy telah mengeluarkan satu pendapat yang terbaik yang mana beliau mengkategorikannya kepada empat hukum :


1. Haram 
iaitu jika bangun berdiri berlaku ke atas seorang yang ingin orang lain berdiri untuknya, untuk bertakabbur atau merasa diri lebih besar daripada mereka yang berdiri untuknya.

2. Makruh
 iaitu jika ia berlaku ke atas seorang bukan untuk bertakabbur dan tidak berasa diri lebih besar daripada orang-orang yang berdiri, tetapi ditakutkan dirinya terjebak dengan sesuatu yang dilarang dengan sebab itu, dan kerana ia ada unsur penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

3. Harus iaitu sekiranya ia berlaku di atas dasar kebaikan dan memuliakan seorang yang bukan menghendaki perkara itu dilakukan kepadanya dan dapat mengelakkan dirinya daripada penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

4. Sunat iaitu bangun berdiri bagi seorang yang tiba dari safar (perjalanan yang jauh) sebagai melahirkan kegembiraan di atas kedatangannya supaya dia dapat mengucapkan salam keatasnya, atau kepada seorang yang baru mendapat nikmat supaya dia dapat mengucapkan tahniah di atas penerimaan nikmat itu. Atau kepada seorang yang mendapat musibah supada dia dapat mengucapkan takziah terhadap musibah itu.

(Rujukan : Fath al Bari: 11/45-49, Al Fath al Rabbani: 6/83, 22/256, 7/325, Syarah Sahih Muslim: 12/93)

Sumber Ambilan : 
Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Adakah Tatu Di Tubuh Badan Wajib Dihilangkan ?

Tatu Di Tubuh Badan Adakah Wajib Dihilangkan?

Bahawa hukum bertatu itu adalah haram. Namun bagaimana pula hukum menghilangkan tatu di tubuh badan, adakah ia wajib ataupun tidak? Dalam perkara ini ada beberapa keadaan seperti
berikut:-

(i) Orang yang mukallaf (baligh dan berakal) bertatu dengan kehendak atau kerelaannya. Jika dia dapat menghilangkan tatu itu dengan perubatan atau dengan cara pembedahan walau
menurut doktor ia mendatangkan mudharat seperti hilang anggota atau fungsinya atau menyebabkan keadaan anggota zahirnya buruk dan jelik akan tetapi dia tidak takut akan
mudharat tersebut, maka wajib dia menghilangkan tatu itu. Adapun jika dia takut akan mudharat tersebut, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu itu dan dia tidak
akan berdosa setelah dia bertaubat.

(ii) Orang yang dipaksa untuk bertatu bukan kehendak atau kerelaannya adalah tidak diwajibkan dia menghilangkan tatu di tubuh badannya itu.

(iii) Orang yang belum ada taklif ke atasnya seperti kanak-kanak dan orang gila. Jika seseorang itu bertatu ketika keadaannya belum ada taklif maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu tersebut.

(iv) Orang kafir yang memeluk agama Islam. Jika dia bertatu sebelum Islamnya adalah diwajibkan menghilangkan tatu tersebut, sebagaimana keadaan orang yang mukallaf bahagian
(i) di atas.

Sumber : Mufti Brunei