Rabu, 20 Jun 2012

Hukum Berdiri Kerana Hormat Orang Yang Datang Atau Ketika Melihat Seseorang



Para ulama telah berselisih pendapat berhubungan dengan perkara ini seperti berikut :

Di antara mereka ada yang melarang berdiri secara mutlak. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah : Ahmad bin Muhammad Al Azdi yang lebih dikenali dengan : IBnu Al Haj.

Beliau berhujah dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abu Umamah radiyaLlahu anhu katanya :

"RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah keluar untuk menemui kami dalam keadaan berpapahkan tongkat, lalu kami bangun berdiri kepadanya. Lalu RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :

Ertinya "Janganlah kamu berdiri sebagaimana orang-orang ajam (bukan Arab) bangun berdiri sesama mereka."

At Tabari menjawab berhubung dengan hadith tadi bahawa ia adalah hadith dhaif mudhtarib (hadith lemah yang bercanggah) dan di dalam sanadnya terdapat seorang yang tidak dikenali. Ini berhubung dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula, di dalam sanadnya pula terdapat Abu Ghalib. Sebahagian ulama hadith berpendapat, Abu Ghalib adalah seorang yang 'mungkar' (riwayatnya bercanggah degan perawi thiqah yang lain). Menurut AN NAsa'ie, Abu Ghalib hanya seorang yang 'dhaif'.

Seandainya hadith tadi tidak terdapat sebarang kecacatan, larangan berdiri padnaya bukanlah satu larangan yang mutlak, tetapi yang dilarang ialah berdiri yang ada unsur-unsur penyerupaan dengan orang-orang 'ajam(orang-orang bukan Arab yang kafir) yang disertakan dengan takzim (pengagungan). Itu dapat diketahui pada lafaz hadith iaitu"..sebagaimana orang-orang ajam (bukan Arab) bangun berdiri sesama mereka."

Kalaulah yang dilarang oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam itu ialah berdiri untuk menghormati, sudah tentu baginda menyebut: "jangalah kamu berdiri (tanpa menyebut orang-orang 'ajam).

Tetapi ia dikaitkan dengan cara berdiri orang-orang 'ajam. Sebab itu ia disentuh oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam kepada para sahabat ketika mana mereka bangun berdiri.

Selain hadith di atas, golongan yang melarang bangun berdiri itu juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan dariada Muawiyah radiyaLLahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda ertinya :

Sesiapa yang suka diwujudkan satu kumpulan lelaki bangun berdiri untuknya, maka sediakanlah tempat duduknya daripada api neraka."

(Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad sahih dan menurut at Tirmidzi, ia adalah hadith hasan.) Hujah di atas (golongan yang melarang) dapat disangkal seperti berikut :

Penjelasan

1. 
Hadith tadi tidak menunjukkan larangan bangun berdiri daripada seseorang, tetapi larangan ditujukan kepada seorang yang orang lain berdiri untuknya, supaya dia tidak mengharapkan orang lain berdiri untuknya sehingga menjadi tertipu atau takabbur (bangga diri) dengan sebab itu.

2. Hadith tadi juga tidak melarang seorang lelaki daripada bangun berdiri untuk menghormati saudaranya, tetapi yang dimaksudkan ialah membentuk sekumpulan lelaki iaitu dengan cara dia duduk sedangkan orang lain berdiri di hadapannya sebagaimana dilakukan terhadap raja-raja bukan Arab. Tafsiran inilah yang disokong oleh Al Munziri, Al Khattabi, At Tabrani dan An Nawawi.

Tafsiran ini dikuatkan dengan sebuah athar yang dikeluarkan oleh At Tabrani di dalam Mu'jam al Awsat daripada Anas radiyaLlahu 'anhu katanya :
"Sesungguhnya sebab binasanya umat-umat yang terdahulu, kerana mereka mengagungkan raja-raja mereka dengan cara, bangun berdiri sedangkan raja-raja itu dalam keadaan duduk."


Jumhur ulama mengharuskan bangun berdiri kepada seseorang sekiranya di atas dasar melakukan kebaikan dan memuliakannya bukannya untuk mengagung-agungkannya. Mereka mengeluarkan hujah terhadap pendapat itu seperti berikut :

1. Hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Said Al Khudri radiyaLlahu 'anhu bahawa ketika Banu Quraizah (satu puak Yahudi) selepas menyerah kalah sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh Saad bin Muaz radiyaLlahu 'anhu, lalu RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengutuskan utusan untuk menjemputnya (Saad). Tak lama kemudian Saad pun tiba, lalu RasuluLlah bersabda: "Bangunlah berdiri untuk tuan kamu." Atau di dalam satu riwayat:"....seorang yang terbaik di kalangan kamu."
Arahan ini adalah jelas supaya berdiri bangun untuk Saad.

Menurut Imam An Nawawi di dalam kitabnya 'Syarah Sahih Muslim' (12/93): 'Padanya anjuran memuliakan mereka yang memiliki kelebihan dan menyambut mereka denganc ara bangun berdiri ketika mereka tiba. Inilah dijadikan hujah oleh jumhur ulama untuk menyatakan sunatnya berdiri. 


Al Qadhi berkata :

Ini bukanlah termasuk di dalam kategori berdiri yang ditegah, tetapi tegahan ditujukan kepada mereka yang mengarah orang lain berdiri untuknya sedangkan dia dalam keadaan duduk dan berdiri itu sepanjang masa dia duduk." Saya (An Nawawi) berpendapat, bangun berdiri untuk seorang yang datang yang memiliki kelebihan adalah sunat. Anjuran itu dinyatakan dalam beberapa hadith, manakala larangan mengenainya tidak dinyatakan dengan jelas."


Golongan yang melarang berdiri tetap menolak hujah di atas dengan mengatakan bahawa arahan bangun berdiri itu dengan tujuan untuk menurunkannya dari kenderaannya, kerana di waktu itu beliau masih tercedera... Kerana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Yazid daripada Muhammad bin Amru daripada bapanya daripada datuknya Al Qamah bin Waqqas katanya: "Aishah (radiyaLLahu 'anhu) menceritakan kepadaku....(sebagaimana kisah di atas)...Terdapat tambahan pada riwayat itu:....maka mereka menurunkannya (menurukan Saad daripada kenderaannya)."

(Lihat Al Fath Ar Rabbani:26/83)

Pada hematku hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad pada beberapa tempat tanpa menyebut tambahan seperti di atas. Begitu juga, al Bukhari dan Muslim meriwayatkan tanpa ada tambahan itu. Kesemua mereka meriwayatkan daripada Syu'bah daripada Saab bin Ibrahim. (Lihat Fath Al Bari : 7/49)

Seandainya kita menerima kaedah (ulum hadith) yang mengatakan " Ziadah at thiqah maqbulah) iaitu penambahan yang dibuat oleh perawi hadith diterima, tidaklah menjadi tegahan sekiranya arahan RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam suaya bangun berdiri itu bermaksud dua tujuan iaitu :

Menurunkannya daripada kenderaan dan menghormatinya. Kerana arahan bangun berdiri untuk tujuan menurunkannya daripada kenderaan bukanlah begitu penting, kerana Saad pada waktu itu masih tercedera dan tidak tergambar beliau datang seorang diri tanpa ada seorang yang membantu menaikkannya ke atas kenderaannya dan menurunkannya daripada kenderaan atau mengiringinya sepanjang perjalanan. Maka sudah tentu beliau mempunyai pengiring untuk tujuan itu dan memadai dengan pertolongan mereka sahaja untuk membantunya turun daripada kenderaan tanpa memerlukan pertolongan daripada hadirin yang lain.

2. Hadith yang diriwayatkan oleh An NAsaie, Abu Daud dan At Tirmidzi daripada Aishah binti Thalhah daripada Aisyah radiyaLLahu 'anhu katanya (bererti):

"RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam apabila melihat anak perempuannya, Fatimah tiba, baginda akan mengucapkan aluan kepadanya, kemudian baginda bangun lalu mengucupkan, kemudian memegang tangannya sehinggalah mendudukannya di tempat duduk baginda."


3. Bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam, tatkala tibanya Jaafar dari Habsyah (di waktu itu baginda berada di Khaibar), baginda bangun berdiri dan mengucupnya dan baginda bersabda :
"Aku tidak tahu yang manakah lebih aku sukai di antara kepulangan Jaafar dengan pembukaan Khaibar,"


4. Hadith yang diriwayatkan daripada Aishah radiyaLlahu 'anhu: Zaid bin Harithah ketika tiba di Madinah sedangkan pada waktu itu RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berada di dalam rumahnya, lalu beliau mengetuk pintu, segera RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bangun berdiri ke arahnya, kemudian memeluk dan mengucupnya.

5. Imam An Nawawi mengeluarkan hujahnya dengan dalil-dalil umum yang menganjurkan supaya meletakkan manusia sesuai di tempatnya, memuliakan orang tua dan menghormati orang yang lebih tua umurnya daripada kita.

Abu Al Walid Ibnu Rusy telah mengeluarkan satu pendapat yang terbaik yang mana beliau mengkategorikannya kepada empat hukum :


1. Haram 
iaitu jika bangun berdiri berlaku ke atas seorang yang ingin orang lain berdiri untuknya, untuk bertakabbur atau merasa diri lebih besar daripada mereka yang berdiri untuknya.

2. Makruh
 iaitu jika ia berlaku ke atas seorang bukan untuk bertakabbur dan tidak berasa diri lebih besar daripada orang-orang yang berdiri, tetapi ditakutkan dirinya terjebak dengan sesuatu yang dilarang dengan sebab itu, dan kerana ia ada unsur penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

3. Harus iaitu sekiranya ia berlaku di atas dasar kebaikan dan memuliakan seorang yang bukan menghendaki perkara itu dilakukan kepadanya dan dapat mengelakkan dirinya daripada penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

4. Sunat iaitu bangun berdiri bagi seorang yang tiba dari safar (perjalanan yang jauh) sebagai melahirkan kegembiraan di atas kedatangannya supaya dia dapat mengucapkan salam keatasnya, atau kepada seorang yang baru mendapat nikmat supaya dia dapat mengucapkan tahniah di atas penerimaan nikmat itu. Atau kepada seorang yang mendapat musibah supada dia dapat mengucapkan takziah terhadap musibah itu.

(Rujukan : Fath al Bari: 11/45-49, Al Fath al Rabbani: 6/83, 22/256, 7/325, Syarah Sahih Muslim: 12/93)

Sumber Ambilan : 
Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Tiada ulasan: