Selasa, 19 Jun 2012

Penjelasan Berkenaan Dengan Isu Surat Berantai


Dengan Nama ALlah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Penjelasan Oleh

Syaykh Yusuf al-Qaradawi
Berkenaan Dengan Isu Surat Berantai
Saya rasa perlu menjelaskan perkara ini kepada sdr/i semua. Berikut adalah soalan dan jawapan berkenaan "wasiat Sheikh Ahmad" yang berlegar di ruang E-mail baru-baru ini. Apakah menurut Islam perkara seumpama ini boleh atau tidak? Saya ringkaskan jawapan daripada Syaykh Dr Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama' terkenal apabila ditanya berkenaan perkara seumpama ini. Ringkasnya, beliau menjawab, "Perkara ini adalah khurafat" dan tidak boleh dilakukan oleh seorang muslim.

Di bawah diberikan huraian perinci mengenai isu ini.

Soalan:

Saya telah terbaca satu surat (wasiat) dan amat terkejut dgn isi kandungannya. Ia dikatakan sebagai satu wasiat daripada Sheikh Ahmad (pemegang anak kunci makam RasuluLlah s.a.w.) kepada semua umat di seluruh dunia. Di akhir wasiat itu beliau berkata: "Di Bombay terdapat seorang yang telah menyalin wasiat itu sebanyak 30 salinan dan dia telah dikurniakan ALlah rezeki sebanyak 25000 rupiah. Seorang lagi menyebarkan wasiat itu diberikan rezeki 6000 rupiah oleh ALlah. Terdapat seorang yang mendustakan wasiat ini, maka dia telah kematian anaknya pada hari itu juga." Dia berkata bahawa sesiapa yang menerima wasiat ini dan tidak menyebarkannya akan ditimpa musibah yang besar. Apakah pandangan tuan terhadap wasiat ini? Adakah ia benar atau dusta?

Jawapan Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi:

Ramai orang tertanya-tanya tentangg wasiat ini. Sebenarnya ia bukanlah perkara baru. Saya telah melihatnya semenjak puluhan tahun dahulu. Wasiat ini dikaitkan dengan seorang lelaki bernama Sheikh Ahmad, pemegang kunci makam RasuluLlah s.a.w. Jika kita bertanya kepada penduduk Madinah atau Hijaz tentang Sheikh Ahmad ini dan tugasnya, kita tidak akan dapat mengesannya atau mendengar khabar berita mengenainya. Ianya tidak pernah dikenali dan tidak pernah dilihat oleh penduduk Madinah. Tetapi terdapat orang yang menyebarkan apa yang dikatakan sebagai wasiat ke negara-negara Islam.

Wasiat itu tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi agama. Persoalan yang dikemukakan dalam surat itu tidaklah berhajat kepada wasiat Sheikh Ahmad atau Sheikh Omar. Sesungguhnya al-Qur`an dengan jelas telah menyatakan sebahagian daripada itu. Kita sudah ada al-Qur`an dan Sunnah, kedua-duanya sudah lebih daripada mencukupi. ALlah berfirman dalam al-Ma`idah:
"Hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu (Islam) dan Aku sempurnakan ke atasmu nikmat-Ku serta Aku ridha Islam sebagai agamamu"

Sesiapa yang menyangka bahawa agama Islam, setelah disempurnakan dan dilengkapkan oleh ALlah, masih lagi berhajat kepada wasiat orang yang tidak diketahui asal-usulnya, sesungguhnya telah timbul keraguan dan syak di hatinya akan kesempurnaan dan kesyumulan Islam itu. Terdapat tanda-tanda pembohongan dan kejahatan pada wasiat tersebut. Orang yang melakukannya telah mengancam serta menakut-nakutkan orang ramai, iaitu sekiranya wasiat itu tidak disebarkan, mereka akan ditimpa musibah, kematian anak-anak atau kehilangan harta benda. Inilah yang tidak pernah diucapkan oleh manusia bahkan tidak ada dalam kitab ALLAH dan sunah Rasul-Nya.

Manusia tidak pernah menerima perintah seperti "sesiapa yang membaca Al-Quran hendaklah disalin 25 salinan dan menyebarkannya. Jika tidak melakukan demikian, dia akan ditimpa musibah". Maka bagaimana pula dengan wasiat yang khurafat ini? Perkara ini tentulah tidak dapat diterima oleh akal muslim yang memahami Islam dengan kefahaman yang sebenar.
Wasiat tersebut menyatakan bahawa si-fulan dari negeri tertentu yang menyebarkan wasiat itu telah memperolehi puluhan ribu rupiah. Ini adalah usaha untuk menyeleweng dan menyesatkan org2 Islam dari jalan yang sebenar. Juga menyelewengkan umat dari sunnah alam dan konsep sebab dan musabab yang telah dijadikan ALlah sebagai undang-undang alam ini.

Memperolehi rezeki ada cara-caranya. Berpegang kepada perkara-perkara khurafat seumpama ini menyelewengkan pemikiran umat Islam. Kita bimbang kalau-kalau umat Islam mempercayai khurafat ini dan menyangka bahawa sesiapa yang menyebarkannya akan mendapat syafa'at khusus daripada RasuluLlah s.a.w. Sesungguhnya syafa'at RasuluLlah adalah untuk orang-orang yang tidak melakukan dosa-dosa besar di kalangan umat-umatnya sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis:

Orang yang paling merasa bahagia dengan syafaatku di hari kiamat adalah orang yang mengatakan "tiada tuhan yang lain daripada ALlah" dengan penuh keikhlasan hatinya.
Kita memohon kepada ALlah memberikan kefahaman yang benar tentang urusan agama, menunjukkan jalan yang lurus serta dijauhkan daripada mempercayai khurafat, rekaan-rekaan dan kebatilan.

Wassalam

Tiada ulasan: