Rabu, 20 Jun 2012

Berkenaan dengan puasa di bulan Rejab berdasarkan Quran dan Sunnah


Disini saya mengeluarkan pendapat2 para ulama berkenaan dengan Kelebihan puasa dibulan rejab yang di uar-uarkan...Semua kenyataan ini disertakan dengan sumber2 nya agar semua para pembaca dapat membuat rujukan.....Diharap artikel ini dapat memberikan kita kesedaran didalam mengamalkan sesuatu ibadah dalam agama Islam..sekian.



Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:


a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:[4]
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.
b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:


Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.
c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.


Shaikh al-Sayid Saabiq:
Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:[5]
Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.

Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?
Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:[6]
Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”
Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.

Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:[7]
Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.

Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[8]
Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.[9]


Kesimpulan
1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[10]
2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).
3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.
4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.
_____________________________________
Nota Kaki:
[1] Budiman Radzi - Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar: Muzakkir Enterprise, 1990.
[2] Tafsir al-Jalalain. Harf.com. (URL: http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp)
[3] Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab.
(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249)
[4] Fatwa IslamOnline - Kesahihan Fadilat Rejab.
(URL : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308)
[5] Fiqh al-Sunnah (Beirut: Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995. Cetakan khas dari manar Al-Dauliyah), jld. 1, ms. 596.
[6] Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371
Sanad hadis ini dha‘if, rujuk Musnad Ahmad yang disemak oleh Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan, hadis no: 1322 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib). Walaubagaimana ia memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1163 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Puasa pada bulan Haram) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” (Hafiz Firdaus)
[7] Majmu' Fatawa (Riyadh: Dar Al-Watan, 1996) ms. 269
[8] Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab
(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310)

[9] Untuk memudahkan kefahaman para pembaca, orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:
1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.
2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.
3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.
4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini bukanlah sunnah.
5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.
6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).
[10] Kenapakah ia satu bentuk pendustaan? Rujuk risalah berikutnya berjudul Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya.....Sama2 sebarkan pd sesama  muslimm..

Tiada ulasan: