Firman Allah s.w.t:
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang ke luar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) Kerana takut mati; Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamuâ€, Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (al-Baqarah: 243)
Syeikh Sya’rawi berkata: “Selepas Allah menceritakan berkenaan dengan keluarga Muslim dalam merawat episod perpisahan perkahwinan sama ada dengan sebab cerai atau kematian, lantas Allah menghendaki bagi umat Islam mengetahui bahawa tiada seseorang pun yang mampu lari daripada takdir kekuasaan Allahâ€.
Umat Islam merupakan umat yang diamanahkan membawa risalah dan manhaj langit ke bumi hingga kiamat. Justeru tiadalah Nabi selepas Muhammad s.a.w dan nabi dibangkitkan. Semestinya bagi umat ini mentarbiah dengan tarbiah yang baik mengikut kesesuaian tanggungjawabnya yang Allah taklifkannya.
Ini bermaksud hendaklah ia mengambil pelbagai pengajaran yang Allah nyatakan kepada umat zaman dahulu untuk mengikuti perjalanan sunnatullah bukan hanya semata-mata teori yang dibaca tetapi realiti yang dipelajari dalam kemelut masyarakat.
Firman Allah: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang ke luar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) Kerana takut mati; Maka Allah berfirman kepada mereka.
- Apabila Bani Israel ditimpa wabak taun dan ramai dalam kalangan mereka yang mati, mereka pun keluar untuk mengelakkan kematian. Lalu Allah mematikan mereka dalam satu tempoh sebagai hukuman terhadap mereka. Kemudian Allah hidupkan mereka semula untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.
- Ini menunjukkan kematian yang dilakukan oleh Allah s.w.t dengan tujuan hukuman disusuli dengan hidup semula selepasnya, tetapi kematian yang berbentuk sampai ajal tidak akan hidup semula selepasnya (iaitu hidup di dunia).
Diriwayatkan bahawa Bani Israel diwajibkan berperang tetapi mereka meninggalkan kewajipan itu dan keluar melarikan diri.
Al-Sonhaji berkata: Lafaz alam tara dalam ayat ini adalah pertanyaan Tuhan kepada nabi-Nya atau kepada orang yang merupakan isti-fham ta’ajjub(pertanyaan berupa takjub).
Maksudnya: “Dengarkanlah kisah yang menghairankan yang telah masyhur di kalangan Bani Israel yang dikenali dengan orang-orang Yahudi dewasa ini, seolah-olah terbayang di hadapan mata mereka. Katakan pula kepada mereka ya Muhammad! Bahawa engkau pun tahu akan cerita mereka ituâ€.
Adalah dikisahkan bahawa satu puak dari kaum Bani Israel telah lari dari negeri mereka kerana takut mati disebabkan negeri itu ditimpa penyakit taun.
Padahal jika sebuah negeri sedang ditimpa wabak penyakit taun, dilarang (haram hukumnya) orang negeri itu meninggalkannya (keluar), dan dilarang pula orang luar masuk ke dalamnya supaya jangkitan tidak bertambah, kecuali jika wabak penyakit itu telah habis semuanya barulah dibenarkan keluar masuk.
Bagaimanapun, mereka yang diceritakan ini telah keluar dari negeri mereka yang bernama Dawardan dengan beribu-ribu orang banyaknya. Apabila mereka sampai ke sebuah lembah, tiba-tiba Allah berfirman: Matilah kamu. Iaitu dengan perantaraan malaikat yang di bawah dan di atas lembah itu, yang menyeru-nyeru kepada mereka ‘matilah kamu’, maka matilah mereka semuanya di merata-rata tempat.
Dahsyat
Setelah beberapa lama mereka mati dan menjadi bangkai, seorang lelaki yang bernama Hizqil bin Budza melintasi tempat itu, iaitu seorang penganjur kaum Bani Israel selepas Nabi Musa, atau khalifahnya yang ketiga.
Dia menangisi kematian mereka yang dahsyat itu. Maka Tuhan mewahyukan kepadanya dengan memberi kuasa-Nya untuk menghidupkan mereka semula.
Maka berkatalah Hizqil: “Hiduplah kamu semua dengan izin Allahâ€. Maka dengan kuasa Allah, hiduplah mereka setelah lapan hari mati. Demikianlah mereka dapat hidup semula tetapi berkeadaan pucat. Meskipun berpakaian, mereka kelihatan bagaikan berkapan.
Demikianlah keadaan mereka hingga mereka mati mengikut ajal masing-masing, hanya kematian mereka yang mula-mula sebagai hukuman kerana melanggar larangan Allah.
Dalam pada itu Allah mempunyai kurnia atas manusia dengan menghidupkannya supaya berpeluang untuk bertaubat kepada-Nya. Tetapi kebanyakannya mereka tidak berterima kasih. Yang kafir langsung tidak mahu bersyukur, yang mukmin kesyukurannya tidak sampai ke peringkat sebenar-benar bersyukur.
Hal seperti ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Kathir dan ramai ahli tafsir berkenaan kisah di atas dengan sedikit perbezaan berdasarkan pendapat dan riwayat.
Sayyid Qutub berkata: “Saya tidak ingin menjelajah di padang gurun pentafsiran-pentafsiran yang kelam kabut mengenai kaum yang keluar meninggalkan kampung halaman mereka dengan bilangan mereka yang beribu-ribu banyaknya kerana takut mati…siapakah mereka? Dari negeri manakah mereka? Dan di zaman manakah mereka keluar?
“Ini kerana jika Allah mahu menjelaskan hakikat mereka tentulah Dia menjelaskan seperti kisah-kisah tertentu yang lain yang disebut di dalam al-Quran, tetapi kisah ini hanya satu kisah teladan dan pengajaran yang dipentingkan isi tujuannya sahaja, bukannya dipentingkan peristiwa-peristiwanya, tempat-tempatnya dan zaman-zamannya. Penentuan tempat dan zaman di dalam kisah ini tidak menambahkan suatu teladan dan tujuan kisahâ€.
Tujuan yang dikehendaki dari kisah ini ialah membetulkan kefahaman dan kepercayaan terhadap persoalan mati dan hidup serta sebab-sebab keduanya yang lahir dan hakikat-hakikat keduanya yang tersembunyi.
Ia juga memulangkan kedua-dua persoalan ini kepada kudrat Allah s.w.t yang mentadbir serta menaruh kepercayaan yang teguh kepada takdir-takdir Allah dalam dua persoalan itu, dan bertindak terus memikul tanggungan serta kewajipan tanpa takut dan gelisah.
Segala yang ditentukan Allah itu tetap wujud, hidup dan mati pada akhirnya berada di tangan kudrat Allah s.w.t.
Tujuan kisah ini ialah mengatakan bahawa takut kepada maut itu tidak berguna. Ketakutan dan kegelisahan tidak menambah hayat, tidak memanjangkan ajal dan tidak dapat menolak qada Ilahi. Hanya Allah jua yang menganugerahkan hayat dan Dia jugalah yang mengambil hayat. Allah bertindak dengan limpah kurnia-Nya apabila Dia memberi dan mengambil balik.
Di sebalik pemberian dan pengambilan balik itu di sana tersembunyi hikmah Ilahi yang agung dan kepentingan manusia adalah sentiasa tercapai dalam pemberian dan pengambilan balik itu. Limpah kurnia Allah s.w.t terhadap manusia sentiasa tercapai sama ada ia memberi atau mengambil semula.
Firman Allah: Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Al-Baghawi berkata: “Adapun orang kafir mereka tidak bersyukur sebaliknya orang beriman amat bersyukurâ€.
Sayyid Qutub berkata, perhimpunan kaum yang beribu-ribu ramainya itu dan tindakan mereka keluar meninggalkan kampung halaman mereka kerana takut mati tentulah berlangsung dalam suasana yang penuh ketakutan dan kegelisahan.
Mereka bertindak demikian sama ada takut diserang musuh atau takut kepada wabak yang sedang menyerang mereka. Semuanya itu tidak dapat menghalang mereka sedikitpun dari maut.
Iktibar Ayat:
* Syeikh al-Maghari berkata: “Dengan memberi peringatan berkenaan dengan manfaat dan maslahat manusia sudah memadaiâ€.
* Al-Nasafi berkata: “Ia menjadi dalil boleh mati serentak dengan kehendak dan kuasa Tuhan yang keluar dari adat biasa. Justeru memberi semangat kepada orang Islam untuk berjihad pada jalan Allah dan kematian tidak mungkin dapat dielakkan oleh sesiapa punâ€.
* Kekuasaan Allah sama ada menghidup atau mematikan adalah perkara yang mudah bagi-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan