Rabu, 20 Jun 2012

JANGAN DISANDINGKAN SIFAT IKHLAS DENGAN BAKHIL

Ya akhi,
Amalan sedekah merupakan tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam selain daripada sistem zakat. Umat dituntut malah disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Lalu kita keluarkanlah sebahagian daripada harta benda dan wang kita untuk diisi ke dalam tabung-tabung masjid, peti-peti derma dan dana-dana perjuangan serta kantung para fakir miskin. 

Kita sedar dan sentiasa menyedari tentang pentingnya keikhlasan dalam amalan derma. Tidak dinafikan bahawa insan yang memahami agama selalu mengutamakan keikhlasan dalam beramal. Lantas ada di kalangan kita yang menghulurkan kepingan syiling lebihan belanja. Ada yang menyumbangkan RM 1 dan RM2 dan ada pula yang sanggup menyumbangkan sehingga beribu-ribu ringgit dalam dana-dana tertentu.

Ya akhi,
Persoalannya ialah siapakah kita, berapakah pendapatan kita dan banyak manakah harta kita? Persoalannya ialah wajarkah kita dermakan sekadar seringgit dua asalkan ikhlas sedangkan wang dalam dompet kita terselit beratus-ratus ringgit. Masihkah akhi amalkan lagi teori ‘biarlah 10 sen asalkan ikhlas’? Wajarkah kita sumbangkan RM10 sedangkan kita mempunyai wang dalam bank puluhan ribu ringgit? Inilah persoalan dalam anjakan pemikiran ini. 

Semasa kita memasukkan syiling-syiling lebihan belanja untuk tabung masjid, apakah yang tersembunyi di hati kita? Semasa kita mengambil RM1 daripada ratusan ringgit di dalam dompet kita untuk didermakan kepada jihad, apakah yang tersembunyi di hati kita? Apakah yang bermain di hati ketika kita telah berasa banyak dengan RM10 daripada puluhan ribu ringgit di dalam bank untuk membantu perjuangan Islam dan meringankan beban fakir miskin? Dan apabila kita sudah menderma RM100 untuk mendaulatkan hukum Allah sedangkan kita adalah seorang hartawan, maka kita sudah berasa lebih daripada orang lain? Dan persoalan utamanya ialah berapa persenkah kita belanjakan wang pendapatan bulanan kita untuk jalan-jalan agama Allah seperti yang tersebut di atas.

Ya akhi, 
Sebenarnya apakah yang tersembunyi di hati kita selain keikhlasan? Inilah yang biasanya tidak kita sedari kerana syaitan telah memasang tabir yang melindungi pandangan mata hati kita. Jawapannya ialah tak lain tak bukan; itulah sifat yang dinamakan bakhil. Tilik pandanglah sifat kedekut yang terselit rapi di lipatan amal kita ini.

Ya akhi,
Wajarkah kita sandingkan sifat ikhlas bersama sifat bakhil di persada iman kita? Bukankah satu itu sifat mahmudah dan satu lagi sifat mazmumah? Sedarlah bahawa perjuangan menegakkan hukum Tuhan dan usaha meninggikan syiar Islam memerlukan umat yang mempunyai hati seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf. Hati insan seperti mereka boleh dimiliki oleh seorang nelayan dan petani, buruh kasar dan pegawai tinggi dan apatah lagi seorang hartawan atau jutawan. Soalnya berapa kadar yang akhi dapat hulurkan untuk fisabilillah nisbah dengan harta yang akhi miliki. Ingatlah, apakah yang masih tersembunyi di lipatan hati ketika di lipatan yang satu lagi kita telah mengatakan ‘saya ikhlas’. Mudah-mudahan ia bukanlah sifat bakhil yang Allah benci. Renung-renungkanlah dan tilikpandanglah.

Tiada ulasan: