Rabu, 20 Jun 2012

Berat atau ringannya jenazah tidak menunjukkan apa-apa petanda


Ust. Abdul Kadir

Tidak terdapat sebarang bukti dari syariat Islam yang menunjukkan orang yang jahat jenazahnya akan menjadi berat manakala orang baik jenazahnya menjadi ringan. Cuma sebahagian ahli fekah kemudian ini ada yang menukilkan apa yang terdapat di dalam Hasyiah kepada Nihayah al-Muhtaj(2/446) yang ada menyebut:

إذا خفت فصاحبها شهيد ; لأن الشهيد حي ، والحي أخف من الميت
Maksudnya: “Jika ringan (sesuatu jenazah), maka orang itu mati syahid, kerana orang yang mati shahid itu sebenarnya hidup, dan orang yang hidup lebih ringan daripada mayat…”
Sebenarnya kenyataan ini tidak ada bukti sama sekali. Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mayat lebih berat daripada orang yang hidup, tidak ada bukti dari sudut agama mahupun dari sudut akal, apatah lagi untuk dijadikan sebagai tanda kepadahusnul khatimah (mati dalam keadaan baik) atau suul khatimah (Mati dalam keadaan buruk). Ia tidak tidak boleh dijadikan tanda jenazah tersebut orangnya dahulu baik ataupn jahat. Terutamanya kebelakangan ini ada sebahagian orang yang beranggapan buruk kepada jenazah yang berat, sedangkan perkara itu tidak ada dalil sama sekali.
Di dalam fatwa Majlis Fatwa Arab Saudi (9/86) terdapat soalan yang bertanyakan:
“Sekumpulan orang-orang yang baik dan memiliki pandangan yang lurus menceritakan kepada saya yang mereka pernah menyaksikan jenazah seorang lelaki muslim yang benar-benar ringan, manakala yang seorang lagi benar-benar berat, dan yang seorang lagi, ketika mereka hendak mengeluarkannya dari rumah, jenazah itu terangkat dan bergerak-gerak di atas kepada orang ramai, apakah pandangan islam dalam persoalan ini?
Jawapan:

لا نعلم لخفة الجنازة وثقلها أسبابا سوى الأسباب الحسية ، وهي نحافة الميت ، وضخامة الجسم ، أما من يزعم أن ذلك يدل على كرامة الميت إذا كان خفيفاً ، وعلى فسقه إذا كان ثقيلا، فهذا شيء لا أصل له في الشرع المطهر فيما نعلم . وأما حركة الجنازة على النعش فيدل ذلك على حياته ، وأنه لم يمت ، فلينظر في شأنه ، وليعرض على الطبيب المختص حتى يقرر موته وحياته ، ولا يستعجل في دفنه حتى يعلم يقينا أنه ميت
Maksudnya: “Tidak kami ketahui berat dan ringannya jenazah sebarang petunjuk melainkan petunjuk kepada fizikalnya samaada kurus ataupun gemuk. Adapun orang yang beranggapan perkara tersebut menunjukkan kemulian mayat jika ia ringan, dan keburukan mayat jika dia berat, maka kepercayaan ini termasuk perkara yang tidak ada asasnya di dalam agama berdasarkan pengetahun kami. Adapun tentang pergerakan jenazah, ia menunjukkan orang itu masih lagi hidup dan belum lagi meninggal dunia. Hendaklah dilihat keadaan jenazah itu, dan rujuklah kepada doctor yang berkeahlian sehingga disahkan dia masih hidup atau sudah meninggal dunia, dan jangan tergopoh-gapah hendak mengebumikannya dia sehingga diyakini dia benar-benar mati.”
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya Ahkam al-Jana-iz telah memasukkan: “Kepercayaan sebahagian orang yang beranggapan jenazah orang soleh menjadi ringan ke atas orang yang membawanya dan lebih cepat dapat dibawa.” Sebagai salah satu daripada perkara bid’ah yang direka-rekakan.
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: