Dubuk
Dubuk adalah sejenis haiwan berwajah bengis seakan-akan anjing dan serigala. Dalam bahasa arab, Dubuk dipanggil Dubu’.
Hukum Memakan Dubuk
Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hukum memakan dubuk kepada dua pendapat:
1. Harus memakan dubuk bagi pendapat Imam Syafie, Hanabilah, Zohiriyyah dan jumhur fuqaha’.
Pendapat ini berdasarkan kepada hadis Abdul Rahman Bin Abi Umar. Beliau telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a berkenaan dubuk. Katanya: Adakah engkau makan? Berkata Jabir: Ya. Kata Abdul Rahman: Adakah engkau memburunya? Kata Jabir: Ya. Beliau berkata: Adakah engkau mendengarnya dari Rasulullah SAW? Kata Jabir: Ya. (Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam sunannya)
2.Tidak boleh makan dubuk bagi mazhab Abi Hanafiah, Abi Yusof Muhammad Ibn Hassan dan pendapat mahsyur dari Imam Malik.
Ini berdasarkan hujjah umum dari kata-kata baginda SAW: “Memakan setiap binatang bertaring daripada binatang buas adalah haram.” Dan Dubuk ini adalah haiwan buas.
Berkata Al-Auza’ei: Sesungguhnya Ulama’ Syam tidak makan binatang buas dan makruh kita memakannya.
Dalam masalah ini, ulama’ telah mengeluarkan pelbagai pendapat samaada dari kalangan yang mengharuskan makan atau pun tidak. Namun begitu, di sana wujud pendapat rajih yang mengatakan bahawa harus memakan haiwan Dubuk mengikut pendapat yang pertama. Manakala pendapat yang kedua adalah dalil umum dan telah dikhususkan oleh dalil yang pertama.
Tidak ada masalah jika sesiapa mahu memakannya ataupun tidak. Wallahu a’lam.
Dhab
Dhab adalah sejenis haiwan yang menyerupai biawak, tetapi saiznya agak besar berbanding biawak biasa. Keistimewaan Dhab menurut penulis kitab ini ialah jangka hayat hidupnya boleh mencecah sehingga 700 tahun. Malahan ia mampu hidup dalam persekitaran panas dan boleh menahan daripada meminum air.
Haiwan ini juga dikatakan kencing selama 40 tahun sekali. Malahan giginya tidak gugur sebagaimana manusia yang bersilih ganti gigi susu kepada gigi kekal. Sungguh ajaib bukan ciptaan Allah SWT? Subhanallah, azim!
Hukum Memakan Dhab
Dalam masalah memakan Dhab, ulama’ pelbagai mazhab telah mengeluarkan tiga pendapat:
1.Mazhab pertama dari kalangan jumhur ulama’ mengatakan bahawa harus memakannya.
Ini berdasarkan hadis Syu’bi dari Ibnu Umar katanya: Sesungguhnya sahabat Nabi Muhammad SAW memakan Dhab, salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW memanggil mereka dan menjamu Dhab, dan Nabi Muhammad SAW berkata: “makanlah, (Dhab) ini bukan makananku..” (Dikeluarkan oleh Muslim)
Menurut riwayat lain, baginda SAW tidak memakannya dan tidak mengharamkan para sahabat memakannya. (Rujuk hadis yang dikeluarkan Ahmad dalam kitab Musnad)
2.Mazhab kedua dari kalangan setengah ulama’ mengatakan bahawa haiwan Dhab haram dimakan.
3.Manakala mazhab ketiga pula mengatakan bahawa makruh memakan haiwan Dhab. Pendapat ini menurut pandangan Abi Hanifah, Abi Yusof , Muhammad, Ali bin Abi Talib, Jabir bin Abdullah.
Kesimpulannya, pendapat rajih ialah pendapat mazhab jumhur iaitu pendapat pertama yang mengatakan bahawa memakan Dhab hukumnya harus. Ini berdasarkan hadis yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW tidak melarang sahabat memakan Dhab. Wallahu a’lam.
Arnab
Arnab atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Rabbit merupakan sejenis mamalia kecil yang comel. Nama saintifik arnab adalah Oryctolagus. Di dalam bahasa arab pula ia dipanggilarnabun.
Arnab adalah benda hidup dari alam haiwan filum kordata dalam kelas mamalia dalam order lagomorpha. Arnab adalah haiwan yang makanan utamanya adalah tumbuh-tumbuhan.
Saya yakin ramai yang tahu haiwan bernama arnab ini. Tambahan pula cerita dogeng kanak-kanak juga menyebut perihal haiwan bernama arnab. Rujuk kisah ‘Perlumbaan arnab dan kura-kura’.
Hukum Memakan Arnab
Baiklah, hukum memakan arnab adalah harus menurut keseluruhan pendapat ulama’. Ini berdasarkan dalil hadis di bawah:
Daripada Anas r.a berkata: …aku tangkap arnab dan dibawa kepada Abi Talha dan disembelihnya lalu dibawa dua peha arnab kepada Nabi Muhammad SAW, dan Nabi SAW menerimanya.
Wallahu a’lam.
Gajah
Gajah adalah mamalia dan merupakan haiwan darat terbesar di dunia. Terdapat 2 spesis gajah di dunia iaitu:
1.Gajah Asia (dulu dikenal dengan nama Gajah India)
2.Gajah Afrika
Tempoh kehamilan gajah adalah 22 bulan. Berat anak gajah pada umumnya 120 kilogram. Seekor gajah boleh hidup selama 70 tahun. Dalam bahasa arab ianya disebut dengan gelaranfiil. Istilah saintifik bagi gajah pula ialah Elephantidae.
Hukum Memakan Gajah
Telah dirwayatkan dari ashab, sesungguhnya tidak mengapa memakan gajah. Berkata Ibnu Hazam: Adapun gajah bukanlah sejenis haiwan dikalangan binatang buas dan tidak didatangkan dalil tentang keharamannya. Ianya halal dimakan menurut pendapatnya. Manakala menurut Al-Hassan ianya makruh kerana mempunyai taring. Wallahu a’lam.
Musang
Musang adalah nama umum bagi sekelompok mamalia pemangsa (bangsa karnivora) dari suku Viverridae. Hewan ini kebanyakan merupakan hewan malam (nokturnal) dan pemanjat yang baik.
Bahasa arab menyebut musang dengan gelaran Sa’labun. Manakala bahasa inggeris pula menggelarkan musang sebagai fox.
Hukum Memakan Musang
Harus memakan musang menurut pendapat Asy-Syafie’ dan Ashabnya. Manakala menurut Abu Hanafiah dan Abu Yusof tidak memakan Dubuk serta tidak memakan Musang kerana keduanya daripada kalangan haiwan liar dan gigi bertaring. Wallahu a’lam.
Kera atau Monyet
Monyet adalah haiwan mamalia. Menurut sumber, kini telah ditemukan lebih kurang 264 spesies monyet di dunia. Kera juga mempunyai persamaan fizikalnya dengan monyet. Terdapat beberapa jenis kera seperti simpanse dan gibbon kadang-kadang disebut juga sebagai monyet. Dalam bahasa arab ianya dipanggil Qardun.
Hukum Memakan Kera atau Monyet
Berkata Abu Umar bin Abdul Birr: Telah disepakati muslimin bahawa tidak harus memakan kera berdasarkan larangan Rasulullah SAW.
Syeikh ad-Damiri menyatakan bahawa:
Makan kera adalah haram disisi kami (ulama Syafie). Ini adalah pendapat ikrimah, ‘ata, Mujahid, Hasan dan Ibnu Habib.
Kesimpulannya hukum memakan kera adalah haram didalam mazhab Syafie berdasarkan ayat:
“Dan Allah mengharamkan perkara-perkara yang menjijikkan.” (56: al-‘Araf)
Wallahu a’lam.
Sumber rujukan:
Fiqhu Hadis Sanah Rabi’ah, Doktor Khaleed Syakir Athiah Sulaiman, Ustaz hadis bikuliyyah Usuluddin Dakwah Al-Islamiyyah Tanta.
Wikipedia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan