Rabu, 20 Jun 2012

Islam Memelihara 5 Perkara



Sebagaimana diketahui, bahawa semua agama di dunia ini mengharamkan arak. Islam mengharamkan arak kerana ia merosakkan akal, membawa kepada ketagihan dan mensia-siakan harta. Islam telah meletakkan 5 perkara yang perlu dijaga iaitu menjaga akal dengan mengharamkan meminum arak dan seumpamanya termasuk penagihan dadah. Menjaga harta dengan perlaksanaan hukum mencuri dan merompak. Menjaga keturunan dengan melaksanakan hukuman bagi orang yang melakukan perzinaan dan menuduh berzina. Menjaga nyawa iaitu dengan perlaksanaan qisas ( balasan seimbang ) bagi pembunuhan dan mencederakan anggota. Juga menjaga agama dengan melaksanakan hukum murtad( keluar agama). Ini semua tersebut dalam Hukum Jinayah Islam.

Apa Itu Arak?

Para fuqaha' berselisih pendapat dalam menentukan takrif arak. Apakah ia memberi erti apa sahaja bahan yang memabukkan atau nama khas bagi minuman yang tertentu sahaja.



Menurut pendapat jumhur, Arak disini bererti segala bahan yang memabukkan samaada diberi nama khamru atau memakai nama apapun juga dan samaada ia diproses dari bahan-bahan tertentu seperti buah anggur atau lain-lainnya seperti tamar, gandum dan sebaginya. Samaada ia dapat memabukkan apabila banyak ataupun tidak memabukkan ketika sedikit.

Islam Mengharamkan Arak

Pengharaman Arak amat jelas disebut oleh Allah dam Al-Quran dan Sunnah Nabi S.a.w:
" Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan yang keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (haramkanlah) perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan "
(Surah Al-Maidah:90)

" Mereka bertanyakan kepada kamu( wahai Muhammad) tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa keduanya lebih besar(banyak) dari kebaikan "
(Surah Al-Baqarah:219)

Sabda Rasulullah s.a.w:
" Apa-apa yang banyaknya memabukkan maka sedikitnya juga haram (walaupun belum memabukan )"
(Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Hibban )

Berdasarkan ayat di atas, arak ada mempunyai kebaikan tetapi keburukan lebih besar maka Islam mengharamkannya.

Keburukan Arak

Diantara kesan dari minum arak ialah membawa kepada kerosakan mental, penagfihan, mensia-sikan harta dan menjadi punca kepada kejahatan.
Menurut statistik rasmi di United Kingdom, alcohol-related crime adalah seperti berikut:

1. Hampir 45% kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa peyerangnya di bawah pengaruh alkohol(arak)
2. 39% keganasan rumahtangga melibatkan alkohol.
3. Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008 dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

Manakala di Rusia pula, sekitar 72% kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42% kes mati bunuh diri hasil dari arak.

Nabi menyatakan:
" Arak itu adalah ibu kepada kejahatan"
(Hadis Hasan )

Hukuman Bagi Peminum Arak

Hukum minum arak adalah termasuk dalam Hukum Hudud. Hukuman ini dapat disabitkan melalui keterangan saksi, pengakuan dan bukti.
Nabi bersabda:
" Barangsiapa yang minum arak maka sebatlah dia "
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda rasulullah lagi:
" Allah s.w.t telah melaknat arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa arak kepadanya "
(Hadis Riwayat Abu Daud )

Jumlah Sebatan

Banyak hadis-hadis nabi yang menerangkan jumlah sebatan yang dikenakan kepada orang yang telah disabitkan dengan kesalahan minum arak.
" Nabi telah didatangkan seorang lelaki yang telah minum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali"
(Hadis Riwayat Muslim)
" Sesungguhnya dipukul(sebat) bagi arak(peminum) dengan kasut dan pelepah tamar sebanyak 40 kali "
(Hadis Riwayat muslim)

" Sesungguhnya nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian abu bakar(dizamannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan. Diketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan dari orang ramai. Apa pandangan kamu tentang sebatan bagi orang yang minum arak?. Lalu Abdul Rahman bin Auf berkata: Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan ( qazaf ), maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan "
(Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud )

Beberapa Pandangan Ulamak

Jumhur fuqaha' mengatakan bahawa sebatan 40 kali kepada pesalah arak adalah hukuman hudud manakala Saidina Umar menjatuhkannya sebanyak 80 kali itu adalah bercampur hukuman ta'azir ( hukuman pengajaran atas pertimbangan hakim ) Maksudnya 40 kali adalah hudud dan selebihnya adalah ta'azir.

Peruntukan Hukuman Arak

Undang-undang Jenayah Syariah dinegeri-negeri ada memperuntukan undang-undang dengan kaedah Denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi 3 tahun , sebatan tidak melebihi 6 kali.
Walau bagaimanapun sekiranya hukuman itu adalah hudud maka peruntukan itu tidak mencukupi. Tetapi jika ia adalah Ta'azir maka peruntukan itu wajib dihormati sebagai hukum Allah.

Hukum Sebatan Syariah Islam

Hukuman sebatan Syariah amat berbeza dengan sebatan sivil kerana sebatan untuk kesalahan seperti meminum arak bukanlah bertujuan untuk menyiksa, tetapi lebih kepada memberi pengajaran. Bahkan cara-cara menyebat mengikut Islam telah diperincikan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Negeri Pahang, Seksyen 125 dan 126. Garis panduan perlaksanaan hukuman sebatan mengikut Islam adalah seperti berikut:
1. Mahkamah atau Kerajaan Negeri menentukan dimana hukuman itu hendak dilaksanakan.
2. Pesalah mesti diperiksa oleh Doktor Kerajaan tentang tahap kesihatannya untuk menjalani hukuman sebat itu.
3. Alat untuk digunakan adalah rotan atau ranting kecil pokok yang berukuran panjang tidak lebih dari 1.22 meter (4 kaki) dan tebalnya 1.25cm (1/4 inci).
4. Orang yang akan menyebat itu mestilah seorang yang adil dan matang.
5. Tukang sebat itu mesti gunakan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya lebih dari paras kepala supaya tidak melukakan kulit.
6. Selepas mengenakan satu sebatan dia hendaklah angkat alat sebatan itu keatas dan tidak menariknya.
7. Sebatan boleh dikenakan ke seluruh badan kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
8. Pesalah yang disebat hendaklah berpakaian mengikut Hukum Syarak.
9. Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuansecara duduk.
10. Perempuan yang hamil tidak boleh disebat dan mesti tunggu selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

Kesimpulan

Perbezaan antara sebatan dipenjara yang ada pada hari ini( sangat berat ) jika dibandingkan dengan sebatan Syariah ( lebih ringan ) maka Hukum Islam amat adil sekali jika dibandingkan dengan hukum ciptaan manusia. Tetapi mengapa ada orang Islam yang mempertikai Hukum Allah. Tanyalah diri kita sendiri.........


Disediakan Oleh:
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor


Tiada ulasan: