Rabu, 20 Jun 2012

7 Keajaiban Baru Dunia


Pada 7.7.07 lepas, tujuh keajaiban baru dunia telah diisytiharkan olehNew Seven Wonders setelah undian dilakukan melalui Internet, telefon dan SMS premium. Tujuh keajaiban baru dunia tersebut ialah Tembok Besar China, Christ Redeemer (Brazil), Taj Mahal, Colosseum (Itali), Chichen Itza (Mexico), Machu Picchu (Peru) dan Petra (Jordan).

Walau bagaimanapun, keputusan ini telah mencetuskan pelbagai kontroversi kerana ramai menganggap keputusan ini hanya berasaskan keuntungan yang diraih dan bukan berdasarkan pengamatan saintifik. Cara pengundian juga diragukan dan keputusan yang diperolehi tidak menggambarkan pemilihan yang dibuat adalah tepat.

Kebanyakan undi yang diperolehi pastinya datang dari negara yang mempunyai kadar ketembusan Internet yang tinggi dan ini tidak menyeluruh ke seluruh dunia. Pastinya ada sentimen tersendiri semasa undian dibuat.

Di Brazil, satu promosi besar-besaran telah dilakukan untuk mempastikan Christ Redeemer tersenarai sebagai salah satu tujuh keajaiban baru dunia. Pihak operator telefon bimbit telah memberikan SMS percuma buat para pengundi menghantar undian untuk Christ Redeemer tersebut. Banyak juga iklan disiarkan seperti di TV dan di tiket bas. Maka, Christ Redeemer telah berhasil disenaraikan.

Melihat kepada senario di atas, antara faktor penentu ialah kesedaran orang ramai tentang undian ini. Pihak pengelola undian ini juga pernah menemui bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas PM itu mencadangkan Menara Berkembar Petronas disenaraikan sebagai calon.

Ketika itu, The Sun telah mempromosikan pengundian ini. Namun The Sun bukanlah akhbar nasional dan terhad pengedarannya. Maka, rakyat Malaysia tidak ramai yang tahu. Aku sendiri pun tidak mengetahui akan hal ini sehinggalah heboh tentang pengumuman yang bakal diwar-warkan pada 7.7.07 yang lalu.

Di India pula, tidak ramai yang tahu sehinggalah di saat-saat akhir. Pada mulanya Taj Mahal tidak termasuk di kedudukan tujuh teratas. Namun, promosi besar-besaran dilakukan termasuklah oleh artis Bollywood sendiri berjaya menaikkan Taj Mahal ke tujuh kedudukan teratas. Mungkin juga di saat-saat akhir, dek Taj Mahal yang memang sudah tersohor, ramai yang mahukan Taj Mahal tersenarai juga.

Menteri Kebudayaan Mesir pula menyelar pihak penganjur kerana telah memasukkan Piramid untuk bertanding dengan calon-calon lain. Atas desakan itu, pihak penganjur telah memasukkan Piramid sebagai calon kehormat dan dikecualikan daripada pengundian.

UNESCO pula awal-awal lagi tidak mahu dikaitkan dengan pengundian ini dan menjelaskan ini tidak terbabit dengan senarai warisan dunia UNESCO.

Pihak penganjur juga diselar kerana pengundian bukanlah percuma dan jelas unsur keuntungan menjadi matlamat pengundian ini. Pengundian juga tidak adil kerana pengundi boleh mengundi lebih dari sekali.

Beberapa calon yang dianggap terkenal juga tidak termasuk dalam pusingan akhir. Antaranya Candi Borobudur di Indonesia. Mungkin tiada lobi daripada pihak tertentu.

p/s - Sepatutnye Kaabah tersenarai dalam salah satu "keajaiban" dunia..tiada tempat yg paling ajaib..Kaabah la tempat pertama yg ptt di senaraikan ajaib..
Renungkanlah

Tiada ulasan: