Rabu, 20 Jun 2012

MENGULANGI SEJARAH KAUM LUT


Al-Quran pernah mengisahkan kepada kita bahawa tidak ada perubahan dalam hukum Allah.

Dalam firman-Nya:

“Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat sumpah; sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang pemberi peringatan, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk daripada salah satu umat-umat (yang lain). Tatkala datang kepada mereka pemberi peringatan, maka kedatangannya itu tidak menambah mereka kecuali jauhnya mereka daripada (kebenaran), kerana kesombongan (mereka) di muka bumi dan karena rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan melainkan (berlakunya) sunnah (Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu.” (Surah al Faathir, 35:42-43).

Begitulah, “…sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah…”
Walau sesiapapun yang menentang hukum Allah dan berusaha melawan ketentuan-Nya, dia akan ditimpa azab yang sama seperti yang diterima oleh kaum yang terdahulu.

Cuba kita renung tragedi silam di Pompeii. Pompeii adalah sebuah bandar semasa pemerintahan Rom, merupakan simbol dari keburukan akhlak masyarakat ketika itu yang menjadi pusat perzinaan dan homoseks. Nasib Pompeii adalah mirip dengan nasib kaum Nabi Lut. Akibatnya Pompeii lenyap di bawah letusan gunung berapi Vesuvius.

Gunung Vesuvius adalah simbol negara Itali, malah paling utama turut berada di situ ialah kota Naples yang menjadi lambang peringatan bagi rakyat Itali terhadap sejarah yang telah tercipta.. Gunung yang telah membisu sejak dua ribuan tahun yang lalu itu juga dinamai ´The Mountain of Warning´ (Gunung Peringatan).

Tentunya pemberian nama ini bukanlah tanpa sebab tetapi azab seperti yang pernah diterima oleh penduduk Sodom dan Gommorah, iaitu kaum Nabi Luth a.s, malah ia amat mirip dengan dengan bencana yang menghancurkan kota Pompeii.

Di sebelah kanan gunung Vesuvius pula terletak kota Naples, manakala kota yang hilang, Pompeii juga turut berada di situ di sebelah timur gunung tersebut.

Pemusnahan kota Pompeii dari muka bumi oleh bencana tentunya hadir dengan maksud kerana dalam catatan sejarah, kota tersebut menjadi pusat kemaksiatan dan kemungkaran.

Kota ini juga pernah dilaporkan menjadi pusat pelacuran dan penzinaan kerana itu juga tumbuh dengan banyak rumah-rumah pelacuran. Setiap pintu rumah pelacuran tersebut telah digantung organ-organ kemaluan lelaki sebagai lambang dan tradisi kepercayaan Mitharaic bahawa perbuatan penzinaan itu seharusnya dipertontonkan kepada khalayak bukanlah secara tertutup.

Kemusnahan tersebut juga memaparkan peristiwa menarik apabila tidak seorang pun penduduk Pompeii yang terselamat daripada bencana yang menimpa ketika letusan Vesuvius terjadi.

Lava dan debu daripada letusan maha dahsyat gunung tersebut lalu membumihanguskan penduduk kota dan ketika malapetaka itu terjadi, ia tidak pernah dijangkakan sebelum ini dan peninggalan kota masih boleh dilihat sehingga kini walaupun ia telah berusia dua ribu tahun lamanya.

Malah dengan kuasa Allah s.w.t aktiviti semasa bencana yang sekelip mata itu berlaku kekal sehingga kini dan boleh dilihat oleh masyarakat kini.

Dalam erti kata lain, keadaan mayat yang terawet semasa bencana tersebut jelas memperlihatkan aktiviti sedang dilakukan oleh masyarakat ketika itu.

Semasa kejadian itu, ada mayat yang sedang menikmati hidangan bersama keluarga dan paling mengejutkan, begitu banyak mayat terawet itu seolah-olah dalam keadaan sedang melakukan penzinaan dan juga homoseksual.

Maha suci Allah yang telah memperlihatkan kejadian pada masa itu kepada kita hari ini dengan menggunakan kebesaranNya. Hasil fosil yang telah digali, mayat tersebut masih utuh raut muka semasa kejadian tersebut dan jelas memperlihatkan kekejutan mayat terhadap bencana yang tidak diundang itu datang secara tiba-tiba.

Melihat konteks ini, amat menghairankan dan menjadi persoalan, mengapa kesemua penduduk Pompeii tidak mendengar sesuatu sebagai tanda akan terjadinya bencana tersebut?

Aspek kemusnahan ini amat mirip dengan peristiwa-peristiwa yang diterangkan dalam al-Quran yang mengisyaratkan pemusnahan secara tiba-tiba seperti yang tersebut dalam surah Yaasin ayat 13, ´penduduk suatu negeri´.

"Tidak ada seksaan atas mereka melainkan satu teriakan saja; maka tiba-tiba mereka semuanya mati´ (Surah Yaasin 36:29)

Dalam surah al-Qamar ayat 31, pemusnahan dalam waktu yang singkat kembali disebut ketika kehancuran kaun Tsamud dikisahkan:

“Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang keras mengguntur, maka jadilah mereka seperti rumput-rumput kering (yang dikumpulkan oleh) yang punya kandang binatang.”

Merujuk kembali bencana yang menimpa kota Pompeii yang berlaku dengan tempoh yang sangat dangkal adalah amat mirip dengan azab yang pernah diceritakan dalam al-Quran.

Kematian secara besar-besaran penduduk kota Pompeii terjadi dalam waktu yang sangat singkat persis sebagaimana azab yang dikisahkan dalam kedua-dua ayat di atas.

Walaupun pengajaran telah diberikan oleh Allah menerusi tragedi kota Pompeii ini, ia tidak langsung merubah sikap manusia kerana apa yang ada di Pompeii pada masa dahulu masih kekal sehingga sekarang.

Kini seluruh dunia turut mengulangi apa yang pernah dilakukan di kota Pompeii dan sayangnya mereka tetap tidak mahu mengambil pengajaran daripada pengalaman pahit yang pernah dialami oleh kaum-kaum terdahulu.

Tiada ulasan: