Rabu, 20 Jun 2012

Paderi Kristian Kaji Ilmu Islam?


Pameran Buku Antarabangsa Kaherah (Ma’rad al-Qahirah ad-Dauli Lil kitab) diadakan setiap tahun bermula Januari sehingga Februari. Justeru, pembekal mahupun syarikat-syarikat buku tidak melepaskan peluang untuk menyertai pameran buku ini serta mempamerkan produk-produk ilmiah mereka.
Kepelbagaian manusia yang datang itu bermacam-macam. Ada yang mahu membeli, ada yang datang melihat-lihat, ada yang sekadar memenuhi kalendar tahunan mereka bersama keluarga tersayang.
Bagi kami mahasiswa dan mahasiswi al-Azhar ataupun pelajar perubatan, tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk berkunjung ke sana. Biarpun jarak Kaherah berbanding wilayah lain – Tanta, Mansurah, Iskandariah, Damanhur, Zaqaziq, Shibin El-Kom, Dumyat dan Tafahana agak jauh, ia tetap tidak menghalangi kami berbondong-bondong ke sana.
Suatu saat, sedang saya membelek kitab di penjuru bilik pameran Pustaka Darus Salam. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berjubah hitam. Tengkuknya jelas kelihatan seutas rantai, dan bersimbolkan salib besar di hadapannya. Mata menyeluruhi gerak-gerinya seketika.
“Paderi Kristian..” Hati berbisik sambil mengelih ke arahnya. Tangannya membelek-belek sebuah buku tebal setebal kamus alih bahasa. Saya terus mengamati dalam diam.
“Ermm, kitab sejarah Islam karangan cendiakawan Islam rupanya.” Saya terkilat sejenak. Sememangnya diakui, orientalis dan pendakyah kristian tidak leka dalam merencanakan agenda mereka saban waktu. Mereka rajin berusaha untuk mengkaji dan mendalami kitab ilmu-ilmu Islam, dengan tujuan dijadikan bekalan hujah balas untuk berdepan golongan cendikiawan dan ulama’ Islam khususnya. Bahkan, sudah diketahui umum, di Kota Kaherah sendiri terdapat berpuluh-puluh buah Universiti yang dibiayai oleh para orientalis luar dan dalam.
Keperihalan itu mengingatkan saya tentang kisah armada perang yang diketuai oleh seorang panglima empayar Perancis suatu ketika dahulu. Napoleon Bonaparte. Dahulu sewaktu Napoleon Bonaparte cuba menyerang Mesir, dia telah mengirimkan dua buah kapal. Kapal pertama dipenuhi pemikir-pemikir barat yang telah mengetahui selok-belok tentang agama Islam. Tujuannya adalah untuk menyerang umat Islam secara melalui cara fikir – Ghazwatul fikri (peperangan pemikiran). Kapal kedua pula, dipenuhi barisan tentera-tentera perang untuk menyerang umat Islam secara fizikal – peperangan biasa.
Akhirnya, Napoleon Bonaparte mampu menakluk Mesir dan menguasai wilayah-wilayah Mesir. Akan tetapi bukan itu sahaja, dia juga Berjaya memetakan serta mencorakkan pemikiran umat Islam di Mesir. Penjajahan ini menatijahkan, pemisahan Negara Mesir daripada empayar besar Khilafah Uthmaniyyah, Turki.
Bermula titik tolak dari situlah, mereka tidak pernah sunyi menyerang para pemikir Islam yang dinaungi oleh Universiti al-Azhar sehingga kini. Malah, pusat-pusat pengajian tinggi berfahaman barat dan orientalis turut didirikan bagi mengimbangi arus deras ulama’ Islam diardul Kinanah.
Pernah berlaku suatu ketika dahulu di Mesir, seorang paderi bernama Samuel Zwimmer telah menyamar sebagai mahasiswa pengajian Islam di Universiti al-Azhar Kaherah. Paderi itu juga merupakan salah seorang ahli gerakan Missionari dan fasih berbahasa Arab. Kesempatan itu, dia telah merencanakan propagandanya dengan menyebarkan risalah-risalah berunsur fitnah hingga memecah belahkan serta menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam!
LUASNYA ILMU ALLAH
“Memang besar sungguh pameran kitab ini, kalah Malaysia..” Seorang rakan bersuara.
“Itulah, kaki ana dah lenguh tak larat jalan… Berapa kali pusing, bila tengok ma’rad sebesar ini rasa terlalu banyak ilmu para ulama’ Islam dan cendikiawan seluruh dunia. Itu belum masukbook fair dekat Amerika ke, dekat United Kingdomke..” Saya menyampuk.
“Agaknya ada tak manusia yang boleh habiskan baca semua kitab sebesar ma’rad ini?” Soal saya pula. Masing-masing terkelu. Khali. Perjalanan daripada bilik pameran Solah Sittah diteruskan menuju ke bilik pameran milik Pustaka Darus Salam.
Memang agak luas, besar dan terlalu banyak buku-buku yang dipamerkan. Apabila memerhati deretan kitab yang tersusun di rak-rak pameran, tergambar di fikiran betapa luasnya ilmu Allah SWT, tidak terhitung nilaian manusia. Maha Suci Allah yang memiliki seluas lautan ilmu, dari timur ke barat, dari utara ke selatan merentasi sempadan-sempadan geografi benua seluruhnya. Ilmu yang kita miliki ini, barangkali tidak layak untuk disamakan dengan zarah sekalipun.
Duhai, atas alasan apakah untuk kita mendabik dada bahawa kita memiliki keajaiban ilmu yang tinggi? Sedangkan Allah SWT Maha memadamkan ilmu yang kita miliki itu sekelip mata sahaja. Bersyukurlah, berdoalah, semoga Allah SWT sentiasa menganugerahkan kita semua dengan limpahan ilmu dan rahmat-Nya.
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”. (Al-Kahfi: 109)
Langit persih tanpa awan yang bergumpal. Baki angin musim sejuk masih setia berhembus. Perut pula rancak berbunyi menginginkan sedikit makanan. Sementelah, seharian tidak menjamah nasi. Tengahari itu sempat saya berehat menjamu selera di café bersama rakan-rakan. Roti Shawarma menjadi santapan menggantikan sepinggan nasi.

Tiada ulasan: