Rabu, 20 Jun 2012

Soal Jawab Ringkas Sekitar Masalah Wanita dan Kelahiran


1. Mengazankan bayi
Soalan: Apa yang harus diucapkan selepas bayi dilahirkan?
Jawapan: Hendaklah dilaungkan azan pada telinga kanannya seperti azan untuk Solat, sebagaimana yang dilakukan Nabi s.aw. ketika Hasan anak Fatimah dilahirkan, agar kalimat pertama yang masuk ke telinganya adalah kalimat takbir dan tauhid.
2. Solat Jenazah bagi Bayi Gugur
Soalan: Adakah bayi yang gugur wajib disolatkan?
Jawapan: Bayi yang gugur tidak perlu disolatkan kecuali jika dia lahir dalam keadaan hidup, meskipun hanya beberapa minit.
3. Hukum Menggugurkan Kandungan
Soalan: Sebahagian orang beranggapan bahawa menggugurkan kandungan dibolehkan asalkan janin belum berusia tiga bulan. Apakah pendapat ini benar? Apa yang harus dilakukan oleh orang yang membantu menggugurkan kandungan yang belum berusia tiga bulan, jika pada waktu itu dia belum mengetahui hukumnya? Adakah dia harus membayar kafarat pembunuhan satu nyawa kerana perbuatannya itu?
Jawapan: Pada dasarnya -menurut pendapat yang saya pandang kuat- menggugurkan kandungan tidak dibolehkan kecuali kerana uzur. Apabila dilakukan sebelum kandungan berusia empat puluh hari, maka hal itu masih ringan, lebih-lebih jika uzur, maka alasannya kuat. Adapun setelah kandungan berusia lebih dari empat puluh hari yang ketiga (iaitu 120 hari) maka tidak boleh digugurkan sama sekali.
4. Hukum Memasang Alat Cegah Hamil
Soalan: Bagaimana hukum memasang alat-alat kontrasepsi pada wanita dan lelaki untuk mencegah kehamilan, baik terhadap Muslim mahupun terhadap non-Muslim?
Jawapan: Tidak boleh, kerana hal itu sama seperti mengubah ciptaan ALLAH, serta termasuk perbuatan dan hiasan syaitan. Kecuali dalam keadaan sangat darurat, misalnya jika kehamilan membahayakan si ibu, sedangkan cara pencegahan lain tidak ada. Maka hal ini merupakan darurat kepada individu yang jarang terjadi, dan diukur dengan kadarnya, serta tidak boleh dijadikan kaedah atau amalan umum.

Tiada ulasan: