Rabu, 20 Jun 2012

AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK



Dalam sebuah majlis ilmu Rasulullah s.a.w, s
uatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman?" Lalu baginda menjawab, "Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan.
Lelaki itu bertanya lagi, "Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam?" Baginda menjawab, "Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan."
Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi, "Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu."
[Potongan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurayrah r.a.]
ASAS AKIDAH
Inilah tiga kerangka asas yang mencirikan Islam. Bermula dengan kepercayaan dan keyakinan yang mendasari hati, kemudian amalan ibadah yang dilakukan dengan lidah dan anggota, lantas diperhalusi dengan penghayatan jiwa dan rohani. Tidak ada sesuatu pun yang boleh berdiri sendiri tanpa yang lain. Iman atau Akidah, tidak akan bernilai tanpa Syariah atau dalam cerita hadis di atas disebut Islam. Syariah yang diamalkan pula tidak akan bernilai, tanpa dihayati dengan penghayatan roh dan jiwa.
Seperti yang disebutkan dalam potongan hadis, Akidah atau Iman itu adalah kepecayaan kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul dan ketentuan-ketentuan Allah. Kepercayaan ini hendaklah atas dasar keyakinan yang teguh, yang mana keyakinan ini akan dizahirkan oleh pengamalan Syariah secara menyeluruh dengan penghayatan pada setiap amalan tersebut.
Dari aspek disiplin ilmu, pengajian Akidah atau biasanya dinamakan sebagai Usuluddin, adalah pengajian yang berkait rapat dengan teologi, pemikiran dan ideologi. Secara disiplin ilmu, kita boleh pecah-pecahkan antara akidah, syariah dan akhlak, tetapi tidak dalam aspek amalan.
Dalam hal akidah, sumbernya ialah al-Quran dan hadis yang mutawatir, ataupun mencapai taraf sahih yang tinggi. Sesetengah ulama' mensyaratkan hanya hadis mutawatir sahaja yang boleh dijadikan asas akidah, kerana perbincangan akidah tidak boleh bersumberkan suatu yang mengandungi unsur zanni atau unsur keraguan. Hanya al-Quran dan hadis mutawatir sahaja yang memberikan ilmu yaqin atau keyakinan yang bersifat qat'i atau keyakinan yang pasti. Hadis yang tidak mutawatir pula tidak boleh dianggap qat'ie,justeru tidak boleh mensabitkan perkara-perkara akidah. Namun begitu, bagi sesetengah sarjana seperti Imam Ahmad, Ibn Hazm, mereka menganggap hadis sahih boleh menjadi asas kepada akidah. Terdapat juga pendapat yang lebih teliti yang menyatakan, hadis sahih boleh menjadi sumber akidah hanya jika adanya sebarang bentuk qarinah atau petanda yang menunjukkan ia adalah sahih bertaraf tinggi (contoh; hadis yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim). Pendapat inilah yang biasanya dipakai oleh sarjana kontemporari.
Perbincangan akidah pula biasanya berkisar tentang sifat-sifat dan perbuatan Allah, para malaikat, para nabi dan kitab-kitab terdahulu sebelum al-Quran. Lalu ia berkembang kepada perbandingan antara agama serta pemikiran-pemikiran moden. Sesetengah para ulama turut membangkitkan isu sirah para rasul dan sahabat pada zaman Rasulullah dalam perbincangan akidah. Hal ini kerana banyak sekali sejarah para sahabat, yang kalau tidak dibincangkan dengan teliti akan merosakkan akidah Islam itu sendiri. Contohnya terdapat kepercayaan bahawa sahabat Rasulullah s.a.w telah murtad kecuali beberapa orang seperti Salman al-Farisi, Miqdad dan Abu Dhar. Kepercayaan ini secara tidak langsung menjatuhkan maruah Nabi Muhammad sebagai seorang rasul yang bersifat dengan sifat tabligh iaitu menyampaikan dan mendidik.
Dalam contoh lain, golongan ini juga turut mendakwa bahawa Sayyidina Umar r.a. telah menghalang Rasulullah daripada menulis 'wasiat' tatkala baginda sedang sakit, sehingga selepas itu baginda tidak sempat menulis 'wasiat' tersebut sampai wafat, sekalipun selepas peristiwa itu, baginda masih hidup beberapa hari lagi dan masih sempat pergi ke masjid. 'Wasiat' yang dianggap tidak sempat ditulis oleh golongan ini ialah perlantikan Ali sebagai khalifah dan Imam dua belas. Mereka ini adalah golongan Syiah yang tidak pernah menghormati sahabat sebagai hasil didikan peribadi agung Rasulullah s.a.w.
Atas alasan ini, para ulama turut menganggap perbincangan tentang sirah para sahabat adalah termasuk dalam perkara akidah, yang mana hanya boleh disabitkan oleh hadis yang sahih yang sangat tinggi mutunya. Manakala sekiranya tidak ada hadis yang sahih, maka adalah wajar tidak ditulis sahaja sirah tersebut, lebih-lebih lagi jika sirah tersebut mengandungi sesuatu yang nampak bertentangan dengan sifat para sahabat Rasulullah seperti yang dijelaskan oleh al-Quran sebagai mereka yang telah diredhai oleh Allah.
Perbincangan akidah juga biasanya menyentuh dalil-dalil yang mensabitkan kebenaran akidah Tauhid serta ciri-cirinya, serta pada masa yang sama menolak sebarang bentuk akidah batil yang bertentangan dengan akidah tauhid. Sebab itu dalam lafaz tauhid LA ILAHA ILLALAH itu sendiri mengandungi PENAFIAN YANG BATIL iaitu lafaz LA ILAHA dan PENYABITAN YANG HAK iaitu ILLA LLAH. Dalam sejarah dakwah akidah tauhid, para ulama' bukan sahaja berusaha untuk memperkukuhkan pegangan kepada akidah tauhid yang BENAR, tetapi pada masa yang sama menolak sebarang bentuk akidah yang BATIL, iaitu akidah para ahli bidaah yang telah wujud sejak zaman para sahabat lagi. Antara akidah yang dianggap bidaah ialah Syiah, Khawarij, Qadariah, Jabariah, Muktazilah, Jahmiyyah dan lain-lain ajaran yang sebenarnya mempunyai ciri yang hampir sama; iaitu bersikap melampau dalam menilai sesuatu perkara bahkan dalam banyak situasi, mereka menolak pemakaian hadis. Akidah kita iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu akidah yang berpegang teguh kepada kitab Allah al-Quran, dan hadis Rasulullah yang sahih (setelah dinilai berasaskan metodologi yang betul).
ASAS SYARIAH
Syariah Islam, kalau mengikut disiplin ilmunya ialah ilmu yang berkaitan dengan amalan zahir manusia. Syariah biasanya perbincangan tentang hukum bagi sesuatu. Hukum pula, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali, ialah komunikasi Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf. Syariah biasanya dipecah-pecahkan kepada fiqh seperti fiqh ibadat yang membicarakan tentang hukum-hukum ibadat, fiqh muamalat yang mengandungi isu hukum dalam bersosial (selalunya berkaitan dengan harta, kontrak dan urus niaga), fiqh jinayat iaitu undang-undang jenayah seperti hukuman hudud, qisas, takzir dan lain-lain, fiqh ahwal syahsiyah iaitu hukum peribadi serta kekeluargaan, seperti nikah cerai dan sekarang ini ada juga pelbagai jenis fiqh yang dikembangkan seperti fiqh kepenggunaan, yang berkaitan dengan isu pemakaian, pemakanan dan kepenggunaan.
Memahami hukum-hukum atau dinamakan sebagai fiqh ini adalah sangat penting untuk menentukan seseorang itu tidak melakukan sesuatu yang haram, atau tidak mengabaikan sesuatu perkara yang wajib. Hukum-hukum dalam Islam terdiri daripada Wajib (berdosa jika tinggalkan, dapat pahala jika dikerjakan), Sunat (dapat pahala jika dilakukan, tidak berdosa jika tidak dikerjakan, tetapi jika langsung diabaikan boleh membawa kepada keingkaran), Harus (tidak berdosa untuk dilakukan atau ditinggalkan, cuma jika berlebihan dilakukan jadi haram dan jika berlebihan ditinggalkan pun jadi haram), Makruh (kalau dilakukan tidak berdosa, tetapi jika ditinggalkan dapat pahala, tetapi kalau terlalu kerap dilakukan bolleh menjadi dosa), Haram (berdosa jika dilakukan, dan mendapat pahala jika ditinggalkan). Inilah hukum-hukum yang terkandung dalam perbincangan Syariah, yang mana dengan mengetahuhi hal ini menjadikan kehidupan manusia lebih tersusun dan bebas daripada belenggu nafsu serta membawa kepada sistem sosial yang lebih stabil.
Syariah Islam sememangnya satu sahaja. Walau bagaimanapun, dalam konteks hukum terdapat hukum-hukum yang berbeza antara mazhab. Hukum yang berbeza ini sebenarnya hukum-hukum cabang sahaja, yang sengaja dibiarkan berlakunya perbezaan oleh Allah, agar manusia dapat menyesuaikan dengan keperluan mereka. Terdapat pelbagai mazhab yang lahir sejak daripada zaman sahabat lagi, akibat pemahaman yang berbeza terhadap nas, ataupun pendekatan yang berbeza dalam menerima nas. Perbezaan ini sebenarnya bukanlah menjadi isu untuk perpecahan sebaliknya suatu bukti bahawa Islam boleh berkembang mengikut kesesuaian tempat serta bukti kehebatan variasi manusia cipaan Allah.
Selepas zaman tabiin, lahir lebih banyak mazhab namun akhirnya, dikehendaki Allah cuma yang masyhur ialah empat sahaja iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Walaupun begitu, masih ada mazhab lain seperti Zahiri namun pengikutnya adalah terlalu kecil. Dengan perkembangan semasa, mazhab yang empat itu pun sekarang ini sudah digabungkan oleh sarjana moden. Agar hukum sentiasa dapat disesuaikan dengan kehendak dan keperluan semasa. Ini tidak bererti hukum mesti mengikut situasi, tetapi hukum itu mestilah membawa kepada kemaslahatan pada setiap situasi. Jika kemaslahatan tidak berlaku, biasanya hukum yang diamalkan itu tidak sesuai dengan keadaan. Namun, sudah tentu, hukum yang telah jelas dan terang lagi bersuluh dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran atau hadis yang sahih, maka hukum itu tidak lagi boleh berubah. Contohnya solat Maghrib 3 rakaat tidak akan menjadi lima atau satu rakaat. Begitu juga solat Isyak tidak akan menjadi dua kecuali pada situasi yang telah ditetapkan menjadi dua seperti dalam keadaan musafir. Hukum-hukum yang khilaf pula biasanya wujud akibat dalil yang tidak jelas maksudnya, atau mempunyai unsur 'konflik zahir' dengan nas yang lain, atau datang daripada dalil yang tidak pasti kesahihannya seperti hadis yang bersifat Ahad, yang mempunyai kemungkinan ia adalah bukan dalil. Apa pun, situasi sebenarnya telah disengajakan oleh Allah untuk memberi kemudahan kepada kita juga. Oleh itu, tidak perlu lah seseorang itu taksub dalam mengamalkan mazhab mereka, sehingga kadang-kala ia boleh memberi imej buruk kepada agama Islam itu sendiri.
ASAS AKHLAK
Dalam hadis di permulaan tadi terdapat unsur Ihsan; beribadah seolah-olah sedang melihat Allah atau setidak-tidaknya merasai bahawa sedang dilihat oleh Alah. Dengan kata lain, jika sekadar menunaikan Sembahyang untuk melepaskan diri daripada hukum berdosa, seseorang itu tidak lagi sempurna agamanya, tanpa menghayati setiap amalan yang dikerjakan dengan teliti. Beribadah seolah-olah melihat Allah maksudnya benar-benar mengenali Allah dan merasai sedang melihat Allah di hadapan, sekalipun maha suci Allah daripada bertempat. Dengan itu, setiap ibadah dilakukan dengan penuh rasa ketelitian, rasa kehambaan, rasa takut, dan penuh khusyuk. Tidak semata-mata menunaikan aktiviti lisan dan gerak badan sahaja, tetapi hati pun sentiasa peka dengan setiap apa yang dilafazkan dan setiap gerakan yang dilakukan.
Perbincangan ihsan ini juga dinamakan sebagai Akhlak. Kerana ia berkait rapat dengan hati seseorang. Akhlak ialah lahir daripada hati. Jika akhlak lahir daripada akal, maka itu bukanlah sebenar-benar akhlak tetapi ia sekadar hukum akal. Hati yang menzahirkan akhlak. Hati yang merendah kepada Allah akan menjadikan seseorang itu tidak sombong walau diangkat manusia, tidak ego walau diberi darjat oleh Allah. Hati yang khusyuk kepada Allah sentiasa berusaha memelihara amalan kepada Allah. Perbincangan tentang pemurnian hati dan roh ini seterusnya menjadi disiplin ilmu yang dinamakan tasawuf, sekalipun terdapat beberapa pandangan yang menolak terus istilah tasawwuf ini kerana bagi mereka membawa kepada bidaah.
Pelbagai buku-buku yang dikarang oleh para sarjana dalam usaha untuk memberi penekanan kepada pendidikan hati. Contohnya Imam al-Ghazali, sebagai ulama' yang masyhur dalam bidang tasawuf menulis buku Ihya Ulumuddin yang telah menjadi rujukan masyhur dalam bidang tasawuf. Walaupun terdapat kritikan terhadap buku ini kerana menggunakan banyak hadis daif dan ada juga palsu, namun keagungan isinya tidak dapat dinafikan lagi. Jelas, bahawa amalan Syariah, mengetahui hukum hakam sahaja tidak bererti tanpa dihiasi dengan akhlak yang bermula daripada hati. Solat tanpa penghayatan kekhusyukan ibarat melakukan sesuatu dengan sia-sia yang akhirnya boleh menempah keburukan juga. Zikir-zikir yang wujud dalam hadis-hadis Rasulullah dikumpulkan untuk diamalkan secara konsisten, kerana dengan zikir yang konsisten, mudah-mudahan dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah untuk hati semakin lama terdidik dengan Syariah yang Allah tetapkan.
Namun terdapat juga golongan yang keterlaluan dalam mengamalkan ilmu akhlak sehingga adakala mereka suka melakukan yang sunat melebihi daripada yang wajib. Mereka amat menyukai zikir-zikir yang diajar oleh guru mereka sehingga menganggap tiada zikir lain yang boleh diamalkan. Mereka juga sanggup bersengkang mata berzikir kepada Allah tetapi meninggalkan solat berjamaah yang lebih utama. Ilmu tasawuf tidak akan bertentangan dengan Syariah. Jika ia bertentangan, maka itu bukan lagi amalan yang benar daripada Islam. Namun tidak semua aliran tasawuf, yang dinamakan sebagai tariqat ini salah dan mengabaikan sunnah Rasulullah s.a.w. Hanya tariqat yang melampau sahaja,atau keterlaluan dalam mempercayai guru, atau terang menerima hadis palsu sebagai panduan atau mengada-ngadakan ibadah yang langsung tidak ada asasnya adalah tariqat yang bidaah. Bidaah inilah yang dikatakan sebagai sesat oleh Rasulullah s.a.w.
Apa pun akhlak yang disuburkan kepada Allah hendaklah disuburkan juga sesama manusia. Hal ini kerana Allah tidak mengganggap orang yang tidak berakhlak dengan manusia sebagai berakhlak dengan Allah. Banyak sekali hadis Rasulullah s.a.w yang menganjurkan supaya seseorang itu menggunakan adab sopan dengan manusia, menjaga hati orang lain dan menjaga maruah mereka.
Sebagai kesimpulan daripada artikel ini, marilah kita hayati firman Allah dalam surah Luqman ini:
[13] Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
[14] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15] Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan
[16] (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17] Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18] Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19] Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Tiada ulasan: