Rabu, 20 Jun 2012

Bid’ah Di Maqam Wali Allah?


INI ADALAH BID’AH
“Assalamualaikum ya ahli bait..” Ucapan salam tanda hormat menjadi muqaddimah utama. Wali Allah ini adalah tinggi martabatnya di sisi Allah SWT, lebih-lebih lagi ianya berketurunan Rasulullah SAW. Tidaklah bersalahan dengan nas memberi salam kepada penghuni kubur. Ini jelas diterangkan dalam Sahih Muslim yang dilaporkan oleh Buraidah r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahan: “Assalamualaikum, aku memohon kepada Allah agar memberikan kesejahteraan kepada kami dan kepada kamu sekalian.”
Begitu juga di dalam Musnad Imam Ahmad Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengajar Saidatina ‘Aisyah r.anha berdoa ketika menziarahi kawasan kubur Baqi’:
Terjemahan: “Assalamualaikum penghuni kubur, daripada kalangan orang-orang mukmin dan orang-orang muslim, mudah-mudahan Allah merahmati orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian daripada kita, dan InshaAllah kami sesungguhnya akan mengikuti jejak kamu semua.”
Sebelah kiri pintu masuk, tersergam indah maqam berneonkan silauan hijau. Penuh sesak manusia di sekelilingnya. Bagi pengunjung tempatan, mungkin hadirnya mereka sekadar menunaikan ibadah rutin sebagaimana biasa. Manakalah bagi yang datang dari kejauhan, menziarahi maqam wali Allah Syeikh Said Ahmad al-Badawi r.a adalah kemestian.
“Kenapa pelajar Maleziyyin selalu ke Masjid Badawi?” Tanya seorang pemuda arab Mesir.
“Berdoa dan boleh bertawassul.” Teman pantas menjawab.
“Kenapa tak doa terus kepada Allah? Bid’ah tu, haram.” Tambahnya lagi. Cepat benar manusia sekarang meletakkan hukum.
Ya, isu ini tidak pernah hilang dibicarakan ramai orang. Malah wujud sekelompak manusia yang mengaku Salafi (juga Wahabi) dan berhujjah mengatakan bahawa bertawassul di maqam auliya’ (berdoa untuk mendekatkan diri pada Allah di maqam wali Allah) ia adalah bid’ah. Mereka tidak pernah sunyi daripada menimbulkan kontroversi di celah-celah masyarakat. Hasilnya perbalahan tidak pernah selesai, tetapi menatijahkan perpecahan di kalangan umat Islam pula.
Sebenarnya dalam masalah ini, sudah pun diperjelaskan secara panjang lebar serta dibahaskan oleh para ulama’ terdahulu dan cendikiawan Islam kini. Bukan letak duduk masalah pada bida’ah itu, tetapi pada kesilapan umat Islam mencerna kefahaman dan mengorek khazanah silam itu sebagai satu kaedah menjernihkan pemikiran yang keruh. Atas kesilapan itu, umat Islam terbelenggu dengan perselisihan faham isu kecil yang tak pernah terhenti. Walhal ianya sudah jelas.
Kitab Tahzib al-Tahzib ada menterjemahkan riwayat Yahya bin Yahya al-Naisaburi dengan nukilan daripada kitab Tarikh Naisaburi yang dikarang oleh al-Hakim, dia berkata:
“Aku mendengar Abu Ali al-Naisaburi berkata: Pada suatu ketika aku berada di dalam keserabutan, lalu aku bermimpi Rasulullah SAW seolah-olah baginda berkata kepadaku;
“Pergilah ke kubur Yahya dan beristighfar serta berdoalah nescaya akan ditunaikan hajatmu.”
Maka setelah bangun daripada tidur, aku pun terus melakukan apa yang dicakapkan oleh Nabi SAW. Lalu dikabulkan permintaanku oleh Allah Ta’ala.” (Tahzib al-Tahzib 11/299)
Begitu juga dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ ketika menterjemahkan cerita Sayyidah Nafisah, berkata Imam al-Zahabi:
“Diriwayatkan bahawa Sayyidah Nafisah adalah seorang yang solehah dan kuat beribadat, doa mudah dimakbulkan di kuburnya, di kubur-kubur para nabi dan orang-orang soleh, di masjid-masjid, di Arafah, di Muzdalifah, di dalam permusafiran, dalam solat, di waktu suhur, doa daripada ibu bapa, doa orang yang berjauhan untuk saudaranya, doa orang berada di dalam kesusahan, di kubur orang-orang yang diazab dan juga pada setiap waktu berdasarkan firman Allah SWT:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina. (Al-Mukmin: 60)
Lantas, apakah kehancuran dan perpecahan umat Islam lebih engkau redhai hanya semata-mata kerana masalah DOA?

Tiada ulasan: